Kehadiran budaya Jepun sebenarnya saling melengkapi

Kini makanan seperti susyi, ramen dan takoyaki digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Feature Image (1)

KEHADIRAN sushi di pasar raya, populariti anime dalam kalangan remaja serta kecenderungan terhadap gaya hidup minimalis menjadi bukti jelas bahawa budaya Jepun semakin mengakar dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Apa yang dahulunya dianggap asing, kini menjadi sebahagian daripada rutin harian. Keupayaan Jepun mengekalkan tradisi sambil memodenkan masyarakatnya menjadikan budaya negara itu mudah diterima, sekali gus memberi kesan mendalam terhadap pelbagai aspek kehidupan kita.

Pengaruh paling ketara dapat dilihat melalui perubahan dalam corak pemakanan. Jika dahulu hidangan Jepun hanya dinikmati dalam kelompok tertentu, kini makanan seperti susyi, ramen dan takoyaki digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Restoran berkonsep Jepun tumbuh pesat di bandar besar, malah bahan masakan Jepun seperti miso, rumpai laut dan soya kini mudah diperoleh di pasar raya tempatan. Masakan Jepun pula terkenal dengan keseimbangannya, memadukan protein, serat dan karbohidrat dengan cara ringkas tetapi berkhasiat.

Penerimaan meluas ini bukan sekadar memperkayakan cita rasa, malah melambangkan keterbukaan masyarakat Malaysia terhadap kepelbagaian budaya pemakanan global.

Dalam kalangan generasi muda, budaya pop Jepun membawa pengaruh yang lebih mendalam. Anime, manga dan muzik Jepun bukan sekadar hiburan tetapi menjadi arus global yang merentas sempadan bahasa dan budaya.

Di Malaysia, lahir komuniti peminat yang aktif menganjurkan festival cosplay, pertandingan seni dan pertemuan sesama peminat. Aktiviti ini memberi peluang kepada anak muda mengekspresikan kreativiti, malah ada yang melangkah lebih jauh dengan menghasilkan ilustrasi, komik dan animasi berinspirasikan gaya Jepun.

Pada masa sama, drama dan filem Jepun yang sering menonjolkan nilai persahabatan, semangat juang dan kekeluargaan memberikan inspirasi positif kepada penonton tempatan.

Selain itu, bahasa Jepun turut mempunyai tarikan tersendiri. Permintaan terhadap bahasa ketiga semakin meningkat, bukan sahaja di sekolah menengah dan universiti, malah di institusi swasta. Minat ini didorong oleh peluang pendidikan serta kerjaya, khususnya dalam bidang teknologi, automotif dan perniagaan.

Penguasaan bahasa Jepun bukan sekadar membuka laluan akademik dan pekerjaan tetapi juga memberi kefahaman lebih mendalam terhadap falsafah hidup masyarakatnya. Dalam erti kata lain, bahasa berperanan sebagai jambatan budaya yang mempererat hubungan dua negara, sekali gus mengukuhkan ikatan antara Malaysia dan Jepun.

Aspek gaya hidup juga memperlihatkan pengaruh Jepun yang kian ketara. Gaya minimalis yang menekankan susun atur ringkas, penggunaan warna neutral dan keseimbangan ruang semakin mendapat tempat, khususnya dalam kalangan generasi muda bandar.

Seni bina berinspirasikan Jepun, dengan penekanan pada cahaya semula jadi dan keharmonian ruang, turut mendapat sambutan. Nilai estetika berasaskan kesederhanaan ini mudah disesuaikan dengan cita rasa tempatan, menjadikannya sebahagian daripada identiti masyarakat moden Malaysia. Fenomena ini membuktikan bahawa budaya asing boleh berkembang dalam konteks tempatan tanpa menghilangkan ciri asalnya.

Dalam dunia pekerjaan pula, etika kerja masyarakat Jepun sering dijadikan penanda aras. Mereka terkenal dengan disiplin, ketepatan masa, kerja berpasukan dan penekanan terhadap kualiti. Konsep penambahbaikan berterusan serta layanan mesra pelanggan menjadi teladan kepada organisasi di Malaysia, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan perindustrian.

Nilai sebegini, apabila diamalkan secara konsisten, berpotensi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing tenaga kerja tempatan. Dalam suasana persaingan global yang semakin mencabar, pendekatan Jepun memberi inspirasi berguna untuk memperkukuh budaya kerja di negara kita.

Selain itu, pengaruh Jepun jelas dalam bidang teknologi dan media. Produk elektronik, permainan video serta animasi Jepun mempunyai pengikut setia di Malaysia. Akses mudah kepada drama dan filem Jepun melalui platform penstriman menjadikan masyarakat lebih dekat dengan budaya negara matahari terbit itu.

Kejayaan Jepun mengekalkan tradisi sambil mencapai kemajuan teknologi membuktikan bahawa pembangunan moden boleh dicapai tanpa mengorbankan identiti bangsa. Malaysia, dalam konteks ini, boleh mencontohi keupayaan tersebut dengan cara tersendiri.

Secara keseluruhannya, pengaruh budaya Jepun dalam kehidupan masyarakat Malaysia semakin meluas dan berakar. Ia hadir dalam pelbagai bentuk, daripada pemakanan, hiburan, pendidikan, gaya hidup hinggalah kepada nilai kerja yang secara tidak langsung memperkayakan corak kehidupan moden.

Walaupun membawa pelbagai manfaat, kita tetap perlu mengekalkan jati diri agar tidak hanyut dalam arus budaya luar. Budaya asing wajar dilihat sebagai unsur yang memperkayakan pengalaman hidup, bukannya menggantikan warisan sendiri.

Gelombang ini mencerminkan keterbukaan masyarakat Malaysia terhadap kepelbagaian budaya. Integrasi sedemikian bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun, malah memperkayakan masyarakat dengan nilai, idea dan gaya hidup baharu.

Justeru, pengaruh Jepun boleh dianggap sebagai aset budaya yang memberi manfaat bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada pembangunan negara secara menyeluruh.

Fazrina Said ialah Pensyarah Bahasa di Ambang Asuhan Jepun, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di fazrina@um.edu.my