Memperkasa modal insan OKU dalam mencapai matlamat pembangunan lestari

Di Malaysia, dasar pembangunan seperti RMK12 dan Malaysia Madani turut mengiktiraf OKU.

Feature Image (4)

MATLAMAT Pembangunan Lestari (SDG) yang diperkenalkan pada tahun 2015 merupakan rangka kerja pembangunan global yang menekankan keseimbangan antara pemeliharaan alam sekitar, kemajuan sosial dan pertumbuhan ekonomi. Ia merangkumi 17 matlamat bagi menangani pelbagai cabaran pembangunan seperti kemiskinan, ketidaksamarataan dan perlindungan ekosistem menjelang 2030. Prinsip asas yang mendasari agenda ini ialah konsep ‘leaving no one behind’ iaitu memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada arus pembangunan.

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) disebut secara jelas di dalam beberapa matlamat, khususnya SDG 4, 8, 10, 11 dan 17 yang menyentuh pendidikan, pekerjaan, ketidaksamarataan dan kerjasama inklusif. Di Malaysia, dasar pembangunan seperti RMK12 dan Malaysia Madani turut mengiktiraf OKU sebagai kumpulan yang berperanan dalam pembangunan negara, sejajar dengan komitmen global terhadap inklusiviti.

Menurut Pelan Tindakan OKU 2016–2022, OKU ditakrifkan sebagai individu dengan ketidakupayaan jangka panjang yang mungkin menghadapi halangan untuk melibatkan diri secara efektif dalam masyarakat. Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan peningkatan pendaftaran OKU daripada 751,421 individu pada 2024 kepada 772,090 pada April 2025, menandakan keperluan mendesak terhadap pembangunan kapasiti dan sokongan sistematik buat golongan ini.

Namun, cabaran yang dihadapi OKU masih ketara. Laporan ‘United Nations Disability and Development Report’ mendedahkan risiko kemiskinan lebih tinggi dalam kalangan OKU, dipengaruhi stigma masyarakat, kurang akses pendidikan dan peluang pekerjaan.

Penglibatan OKU dalam pasaran kerja juga rendah, dan mereka yang bekerja sering menerima pendapatan lebih rendah berbanding rakan sejawat bukan OKU. Kebanyakan OKU hanya mempunyai kemahiran asas yang terhad serta tidak mendapat latihan yang bersesuaian dengan keupayaan mereka, sekali gus mengekang penyertaan dalam aktiviti ekonomi dan meningkatkan jurang sosial.

Di Malaysia, hak bekerja bagi OKU dijamin oleh Akta Orang Kurang Upaya 2008, yang menekankan layanan samarata terhadap akses pekerjaan. Pelan Tindakan OKU pula menggariskan sepuluh teras strategik, termasuk meningkatkan penyertaan OKU dalam pasaran kerja.

Namun pelaksanaannya berdepan kekangan seperti diskriminasi, kurang peluang setara, ketidaksesuaian antara keperluan pekerjaan dan keupayaan fizikal atau kognitif serta kelemahan pengurusan hak pekerja OKU di peringkat organisasi. Isu seperti upah tidak adil, kurang laluan kenaikan pangkat dan persekitaran kerja yang tidak kondusif turut menjejaskan keterlibatan mereka.

Sehubungan itu, strategi lebih berkesan perlu diperkenalkan untuk menyokong penyertaan OKU dalam sektor pembangunan. Pemerkasaan kemahiran yang sesuai dengan kemampuan OKU adalah langkah penting bagi membuka pilihan kerjaya lebih luas. Latihan kemahiran adaptif, fleksibel dan berasaskan teknologi berpotensi menjadi pemangkin kepada sumbangan OKU dalam pembangunan ekonomi.

Dalam era digital, akses kepada teknologi serta penyertaan dalam ekonomi digital boleh merapatkan jurang ekonomi dan sosial yang dihadapi mereka.

Satu lagi elemen penting ialah kerjasama antara pemegang taruh, meliputi agensi latihan, industri, NGO dan komuniti OKU. Ekosistem pembangunan modal insan yang saling melengkapi perlu diwujudkan. Majikan misalnya perlu digalakkan mewujudkan tempat kerja inklusif dengan menyediakan kemudahan bersesuaian dan menerima OKU sebagai pekerja sebenar, bukan pengisi kuota. Penyedia latihan pula perlu melibatkan komuniti OKU dalam pembangunan kurikulum agar ia relevan dan mudah diakses.

Teknologi juga memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan kapasiti OKU. Penggunaan platform e-pembelajaran inklusif dan perisian adaptif mengurangkan halangan pembelajaran. Dengan kemajuan teknologi sokongan dan kecerdasan buatan (AI), lebih banyak peluang pembelajaran, pekerjaan dan penyertaan global boleh dibuka kepada komuniti OKU.

Pada masa sama, masyarakat perlu membina budaya yang lebih inklusif dengan mengubah persepsi terhadap OKU, iaitu bukan sebagai individu yang memerlukan belas kasihan, tetapi sebagai individu yang memiliki potensi luar biasa jika diberi ruang dan peluang sewajarnya. Pendidikan masyarakat mengenai cabaran dan kekuatan OKU adalah kunci kepada penerimaan dan penghormatan tulen.

Setiap warga negara tanpa mengira keupayaan fizikal atau mental harus diberi peluang untuk berkembang dalam kerangka masyarakat inklusif. Pembangunan modal insan OKU bukan isu kebajikan semata-mata, tetapi peluang strategik untuk membina masyarakat yang adil dan seimbang. Dalam dunia yang sedang berdepan perubahan ekonomi dan cabaran tenaga kerja, memperkasa OKU bermakna memperluas sumber manusia negara. Malaysia tidak harus mensia-siakan bakat dan keupayaan warganya.

Dengan komitmen semua pihak, negara mampu melangkah menuju masyarakat inklusif di mana tiada siapa yang ketinggalan selaras dengan prinsip ‘leaving no one behind’.