Refleksi rimba, inspirasi pendidik dekati Pencipta
Refleksi Rimba Ilmu bukan sekadar lawatan santai tetapi sebuah perjalanan ilmu yang menyatukan akal, emosi dan spiritual.
Oleh MONIKA @ MUNIRAH ABD RAZZAK
LAWATAN sambil belajar ke Rimba Ilmu Universiti Malaya membuka ruang pembelajaran luar dewan kuliah yang sangat bermanfaat kepada mahasiswa. Aktiviti sebegini bukan sahaja menyegarkan minda, malah menghubungkan teori yang diperoleh dalam dewan kuliah dengan pengalaman nyata di lapangan.
Dalam kedamaian pagi, lawatan dimulakan dengan menikmati cahaya matahari dan udara segar sambil melakukan senaman ringan. Cahaya matahari pagi yang lembut mempunyai manfaat kesihatan yang besar. Ia kaya dengan vitamin D yang penting untuk kesihatan tulang, gigi dan sistem imun serta membantu tubuh menyerap kalsium dengan lebih berkesan. Pendedahan selama sepuluh hingga tiga puluh minit antara jam lapan hingga sepuluh pagi sudah mencukupi untuk memberi kesan positif kepada tubuh.
Selain itu, cahaya matahari meningkatkan penghasilan serotonin yang berkait rapat dengan kestabilan emosi dan pengurangan stres, menjadikannya terapi semula jadi yang mudah diamalkan. Lebih menarik, cahaya matahari turut membantu proses pembaikan sel kulit, mempercepat penyembuhan luka serta mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser dan penyakit jantung.
Semua ini mengingatkan kita bahawa nikmat kesihatan tidak datang dengan sendiri tetapi hadir melalui amalan kecil yang konsisten dan selari dengan sunnatullah. Justeru, mahasiswa yang mengikuti lawatan ini bukan sahaja mendapat ilmu tetapi turut memahami kepentingan menjaga tubuh badan sebagai amanah. Aktiviti luar seperti ini wajar dijadikan rutin pembelajaran agar pelajar lebih cergas, produktif dan positif.
Selepas sesi senaman pagi, lawatan diteruskan ke Galeri Pameran Rimba Ilmu yang memperlihatkan keajaiban biodiversiti Malaysia. Di sinilah mahasiswa dapat belajar secara langsung mengenai sejarah Hutan Hujan Indo Malaya yang merentang dari India hingga Australia.
Malaysia berada pada titik tengah kawasan ini dan menempatkan antara hutan hujan tertua di dunia berusia lebih 130 juta tahun. Menyedari bahawa negara Malaysia memainkan peranan penting dalam ekosistem global memberi rasa bangga dan insaf bahawa bumi ini adalah anugerah yang mesti dijaga.
Bagi pensyarah, galeri seperti ini sangat sesuai digunakan sebagai sumber pembelajaran autentik untuk mata pelajaran biologi, sains alam sekitar, sains kesihatan, malah pendidikan agama.
Di galeri ini juga mahasiswa dapat mengenali pelbagai flora dan fauna unik negara seperti bunga Rafflesia yang terkenal sebagai bunga terbesar di dunia serta pelbagai spesies burung dan rama rama yang mewarnai ekosistem rimba Malaysia.
Ribuan spesies orkid, periuk kera dan tumbuhan tropika turut memperlihatkan betapa kayanya khazanah alam negara. Malaysia meskipun kecil, tergolong sebagai antara dua belas negara mega biodiversiti dunia. Kesedaran ini membina rasa bangga dan syukur dalam diri mahasiswa kerana mereka menyedari bumi ini adalah amanah yang besar daripada Allah SWT.
Memasuki kawasan rimba sebenar di Rimba Ilmu Universiti Malaya menguatkan lagi kesedaran tentang keajaiban ciptaan Allah SWT. Di dalam kedinginan rimba yang tenang, mahasiswa dapat melihat bagaimana flora dan fauna saling melengkapi. Serangga membantu proses pendebungaan, manakala bunga dan buah-buahan yang dihasilkan tumbuhan menjadi rezeki kepada haiwan.
Kitaran kehidupan yang berlangsung tanpa henti ini menjadi bukti jelas kepada firman Allah SWT yang bermaksud sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi serta pergantian malam dan siang terdapat tanda tanda bagi orang yang berakal. Pengalaman ini membuka ruang tadabbur yang jarang diperoleh dalam suasana akademik biasa.
Selain itu, lawatan sebegini memberi peluang kepada mahasiswa untuk merasai manfaat penyembuhan alam melalui bau hutan, sentuhan bumi dan interaksi langsung dengan persekitaran hijau. Kajian menunjukkan aroma seperti bau tanah lembap, daun dan resin pokok mengandungi phytoncides yang membantu meningkatkan imuniti, mengurangkan tekanan dan memberi kesan menenangkan.
Aktiviti memeluk pokok dan grounding seperti berjalan kaki di atas tanah atau rumput juga boleh diamalkan bagi membantu tubuh kembali tenang, mengurangkan tekanan dan menyokong keseimbangan sistem saraf. Semua ini dapat dijalankan oleh pensyarah sebagai kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman holistik.
Oleh yang demikian, suasana rimba ini membawa kepada tiga refleksi utama. Pertama, misteri alam. Bunyi dedaunan, bayang pohon dan keheningan hutan mencipta rasa takjub yang mengingatkan bahawa masih banyak rahsia ciptaan Tuhan yang belum dijelajahi.
Kedua, kebebasan. Rimba ialah dunia yang hidup sepenuhnya menurut fitrah tanpa gangguan manusia, menjadi inspirasi untuk manusia mensyukuri nikmat kebebasan dan ketenteraman. Ketiga, kompleksiti. Setiap makhluk, sekecil mikroorganisma hingga sebesar pokok, memainkan peranan dalam memastikan alam terus stabil. Pengamatan sebegini menjadikan pembelajaran lebih berkesan kerana ia menghubungkan teori dengan realiti.
Kesimpulannya, Refleksi Rimba Ilmu bukan sekadar lawatan santai tetapi sebuah perjalanan ilmu yang menyatukan akal, emosi dan spiritual. Melalui pengalaman langsung ini, mahasiswa belajar menghargai keseimbangan alam, memelihara kelestarian bumi dan menyedari amanah sebagai khalifah di muka bumi.
Semoga usaha kecil ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pendidik untuk mengintegrasikan pembelajaran luar dewan kuliah agar generasi muda membesar dengan ilmu yang seimbang, jiwa yang halus dan hati yang dekat dengan pencipta alam.
