Taylor’s University perkenal Lumicko memperkasa pendidikan kandungan digital dan media
Lumicko berfungsi sebagai ekosistem pencarian bakat yang membolehkan pengarah, penerbit dan agensi kreatif mengenal pasti bakat baharu dengan lebih mudah.
KUALA LUMPUR, 5 Disember 2025 – Taylor’s University, melalui Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, secara rasmi melancarkan Lumicko, sebuah platform penstriman multimedia bersepadu pembelajaran yang direka untuk memperkukuh kaedah pembelajaran, penghasilan dan mempamerkan karya digital oleh pelajar. Platform itu menandakan satu kemajuan penting dalam komitmen institusi untuk memperbaharui pendidikan kreatif dan mengukuhkan jalinan antara akademia dan industri.
Pelancaran Lumicko selaras dengan perkembangan pesat sektor kandungan digital dan penstriman di Malaysia, yang menjana RM5.31 bilion pada tahun 2023. Pasaran Over-The-Top (OTT) pula dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 18.5 peratus antara 2025 hingga 2031. Seiring perubahan tingkah laku penonton yang semakin beralih kepada platform dalam talian dan ‘on-demand’, keperluan terhadap graduan yang memahami konvensyen penstriman moden, strategi penglibatan penonton serta pembangunan kandungan asli semakin meningkat.
Selain itu, Lumicko berfungsi sebagai ekosistem pencarian bakat yang membolehkan pengarah, penerbit dan agensi kreatif mengenal pasti bakat baharu dengan lebih mudah. Bagi pelajar, Lumicko menjadi platform portfolio mereka manakala bagi pakar industri, ia menyediakan akses kepada bakat kreatif yang baharu.
Dekan Eksekutif Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi di Taylor’s University, Profesor Dr Neethiahnanthan Ari Ragavan berkata: “Lumicko bukan sekadar platform penstriman tetapi sebuah ekosistem pembelajaran yang mendorong transformasi. Dengan memberi peluang kepada pelajar untuk menghasilkan, menerbitkan serta mempersembahkan karya dalam persekitaran sebenar, kami kami membentuk graduan yang bersedia memasuki industri dengan keyakinan, kreativiti dan pemahaman yang jelas tentang standard profesional.”
Lumicko dibimbing oleh Panel Penasihat Industri (IAP) pusat pengajian tersebut yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia, Mediha Mahmood; Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Ts. Dr. Amirudin Abdul Wahab serta rakan kongsi di firma Christopher & Lee Ong yang pakar dalam undang-undang media dan telekomunikasi, Anissa Maria Anis. Panel ini memastikan Lumicko mematuhi standard profesional berkaitan etika, hak cipta dan keselamatan siber, di samping memberi pendedahan industri sebenar kepada para pelajar.
“Lumicko menyediakan ruang berstruktur untuk pelajar menghasilkan dan menerbitkan kandungan secara bertanggungjawab, sambil membina kefahaman terhadap standard industri. Sebagai ahli IAP, saya melihat Lumicko sebagai penghubung penting antara pendidikan dan ekosistem kandungan profesional negara, sekali gus memastikan bakat masa depan memasuki industri dengan kemahiran, keyakinan dan asas etika yang kukuh,” kata Mediha.
Platform ini diintegrasikan sepenuhnya dalam modul-modul di bawah program Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, termasuk bidang kewartawanan, perhubungan awam, pengiklanan dan produksi media digital, yang memberikan pelajar pengeluaran sepenuhnya daripada idea hingga penerbitan. Dengan menghubungkan pendidikan, kreativiti dan teknologi, Lumicko mencerminkan komitmen Taylor’s University dalam memacu pendidikan media digital dan melahirkan generasi profesional baharu yang bersedia bekerja dalam bidang penstriman, penghasilan kandungan dan sektor digital yang semakin berkembang.
Semasa pelancaran, sesi panel melibatkan pakar industri dan akademik diadakan bersama Pengasas Lumicko dan Ketua Pusat Pengajian Am dan Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi, Taylor’s University, Prema Ponnudurai; Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia dan Ahli Majlis Malaysian Qualifications Agency, Datuk P. Kamalanathan; pengarah filem dan Ketua Pegawai Eksekutif ACE Pictures Entertainment LLC, Peter Wong; Naib Presiden Kandungan di Astro Malaysia Holdings Berhad dan Naib Presiden Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd, Prem Anand Rajahram dan Anissa. Mereka membincangkan peranan universiti dalam memupuk bakat kreatif serta menekankan kepentingan Lumicko dalam memenuhi keperluan ekosistem media di Malaysia dan di peringkat global yang sentiasa berubah.
Lumicko kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store untuk pelajar, pendidik dan pakar industri mengakses serta berinteraksi dengan pustaka kandungan asli terbitan pelajar yang semakin berkembang.
Untuk maklumat lanjut mengenai Lumicko, sila layari https://lumicko.com/.
