Universiti bukan destinasi percutian
Penyelidikan tempatan terbaru menjumpai tahap kemurungan, kebimbangan dan tekanan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi.

PELAJAR-PELAJAR seringkali membayangkan bahawa kehidupan di universiti memberi banyak kebebasan seperti jadual waktu yang fleksibel, kehidupan sosial pada malam hari dan rasa senang atau selesa untuk menangguhkan kerja. Walau bagaimanapun, kebebasan yang sihat dan mengambil terlalu mudah urusan belajar adalah dua perkara berbeza dan akibat daripada tanggapan kedua adalah besar kepada pelajar itu sendiri.
Oleh itu, para penuntut universiti perlu tahu dan faham bahawa tanggungjawab belajar adalah penting, sama ada kesannya kepada pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) dan kesejahteraan diri.
Di mana-mana institusi pendidikan tinggi, kelakuan menangguhkan kerja didapati berlaku tanpa mengira tahun pengajian, samada yang baru menjejakkan kaki atau yang telah berada dalam tahun akhir. Seperti yang kita sedia maklum, tabiat menangguhkan kerja yang kerap boleh menjejaskan mutu pembelajaran, mengundang tekanan pada diri dan seterusnya, menurunkan pencapaian PNGK.
Daripada sudut kesihatan mental, tabiat pembelajaran tidak baik seperti ini sebenarnya merisaukan. Penyelidikan tempatan terbaru menjumpai tahap kemurungan, kebimbangan dan tekanan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi, ada kajian yang menunjukkan kadar kemurungan sehingga 31 peratus dan kebimbangan sehingga 60 peratus. Jumlah ini jelas menggambarkan kelompok ini bergelut untuk menumpukan perhatian, menyiapkan pelbagai tugasan dan mengekalkan motivasi belajar yang ada turun naiknya.
Kenapa tanggungjawab belajar itu lebih penting berbanding tempoh waktu belajar? Pembelajaran berkualiti, iaitu amalan belajar berfokus, lebih baik diutamakan daripada melakukan pelbagai kerja dengan kalut atau menyiapkan semua kerja pada saat akhir. Profesor Cal Newport, penulis buku Deep Work, menegaskan bahawa untuk mendapatkan produktiviti yang tinggi, kita perlu melakukan satu kerja dalam tempoh yang lama dengan penuh tumpuan, tanpa ada sebarang gangguan. Penumpuan sebegini dapat membina kemahiran atau penguasaan lebih cepat daripada usaha yang banyak tetapi bertaburan.
Di samping itu, penetapan minda yang baik juga dikira penting bagi para pelajar universiti. Usaha yang konsisten membantu untuk meningkatkan kebolehan dan seterusnya, mencapai kejayaan. Para pelajar yang menganggap pembelajaran ibarat proses, memberi tindakbalas yang lebih baik terhadap rintangan, belajar dengan lebih bijak dan bertahan lebih lama. Apabila kita menggalakkan para pelajar untuk memupuk minda yang sentiasa berkembang, kita dapat membantu mereka untuk berubah daripada mentaliti “Saya tidak boleh” kepada “Saya boleh, tetapi saya kena berlatih”.
Ada beberapa cara yang sederhana sifatnya tetapi berkesan, yang boleh diamalkan oleh para penuntut universiti. Pertama, rancang waktu belajar harian mahupun mingguan dengan teliti dan peruntukkan sekurang-kurangnya 60 hingga 90 minit sesi kerja berfokus bagi tugas-tugas yang sukar. Seterusnya, gantikan objektif yang samar-samar dengan tindakan yang spesifik, misalnya, belajar Matematik kepada jawab soalan 1, 2 dan 3 daripada contoh ujian lepas, dan kemudian lakukan semakan kendiri dalam masa 30 minit.
Ketiga, bahagikan tugasan yang besar kepada kerja-kerja kecil dan sertakan tarikh-tarikh akhir berfasa supaya tiada aktiviti memulun kerja dalam satu hari pada saat akhir. Terakhir, mohon bantuan awal daripada tutor, rakan-rakan dan kumpulan belajar dalam kampus untuk mengelakkan masalah kecil berlarut menjadi krisis kepada diri sendiri.
Di atas, peranan sebagai penuntut universiti dibicarakan. Namun demikian, institusi pendidikan tinggi dan para pensyarah turut terlibat, memainkan peranan yang penting juga. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah mereka bentuk pentaksiran yang menjurus kepada perkembangan yang tetap seperti penghantaran berperingkat dan tugasan bersifat formatif, berkongsi tentang kemahiran belajar berkesan di universiti dan normalisasikan meminta bantuan kesihatan mental bagi para penuntut universiti.
Di peringkat kebangsaan, Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia menunjukkan tahap tekanan dalam kalangan anak muda semakin meningkat kebelakangan ini dan ia memberi indikasi bahawa terdapat keperluan segera pelaksanaan langkah-langkah pencegahan seiring dengan tunjuk ajar dan bimbingan dalam bidang akademik oleh para pensyarah.
Pesanan untuk bertanggungjawab kepada pembelajaran di universiti ini masih menitikberatkan rasa keperimanusiaan. Menggalakkan pelajar-pelajar universiti untuk menganggap belajar itu serius bukanlah bermaksud menjadikannya satu peraturan khas tetapi lebih kepada melatih mereka dengan rutin yang boleh mengurangkan tekanan dan meningkatkan hasil yang baik.
Rasa bertanggungjawab dalam kehidupan di universiti bermakna belajar untuk mementingkan kesejahteraan diri juga dimana jadikan kualiti tidur yang baik, senaman yang lazim dan jalinan sosial sebagai pemangkin kepada pembelajaran, bukan sebagai gangguan atau halangan.
Sebelum mengakhiri wacana ini, bagi anak-anak pelajar yang sedang melayari kebebasan baru atau sedia ada di universiti, mesejnya mudah iaitu perlakukan pembelajaran seperti satu asahan kemahiran bersepadu. Peruntukkan masa berfokus, tumpu kepada pencapaian kecil dan berterusan dan ingatlah, usaha apabila digandingkan dengan strategi bijak menjanjikan keuntungan yang lumayan, bukan sahaja kepada diri sendiri malah orang di sekeliling.

