Menonton dengan sekali tonton, minat atau kekuatan telefilem

Apakah faktor yang membolehkan seseorang itu terpaut untuk membaca novel dengan sekali bacaan sehingga selesai tanpa henti?

Feature Image

MUNGKIN ada yang tertanya-tanya diminda mereka apakah faktor yang membolehkan seseorang itu terpaut untuk membaca novel dengan sekali bacaan sehingga selesai tanpa henti. Persoalan sama juga menerjah apabila seseorang menonton telefilem di kaca televisyen dengan taat tanpa berganjak hingga tamat.

Kedua-duanya memerlukan peruntukan waktu agak panjang dan juga tahap konsentrasi yang padu sehingga tiada alasan yang membolehkan mereka berganjak atau mengganggu pembacaan atau tontonan.

Bukan mudah untuk kekal tenang ketika menonton televisyen di rumah. Keadaannya berbeza jika menonton di pawagam kerana ternyata tahap kesediaan dan keadaan pawagam yang menyokong untuk mengikat tumpuan penonton. Namun, telefilem adalah naskah cereka khusus untuk siaran di televisyen yang sememangnya mempunyai ciri tersendiri.

Dalam aspek kualiti tontonan pula sudah tentu di pawagam tersedia dengan sistem audio visual yang bagus, suasana tanpa gangguan, lengkap dengan pesanan makanan dan minuman serta penawaran filem baharu memungkinkan penonton terperangkap dengan sanjungan platform penyampaian.

Jauh bezanya ketika menonton di rumah namun begitu masih ada lagi yang mampu menghabiskan tontonan dengan sekali tontonan sahaja tanpa ingkar. Tontonan mungkin akan terhenti-henti seketika kerana terjahan slot iklan tetapi masih tetap menonton tanpa mengalihkan saluran ataupun menghentikan tontonan sebegitu sahaja.

Pada pendapat saya dalam penilaian ini, corak tontonan sekali hadap ini hanya akan berjaya sepenuhnya jika gabungan minat individu dan kekuatan kandungan media berhasil dibentuk. Andaian minat yang tertanam pada individu untuk menonton drama dan kekuatan teks naratif yang memberikan nilai tambah kepada penonton. Akhirnya, lahirlah penghayatan dalam tontonan sehingga air kopi yang dibancuh menjadi peneman dingin di cawan tanpa diteguk.

Minat merupakan sesuatu yang abstrak dan berbeza antara individu dalam segala aspek. Demikian halnya jika kita membuat andaian berkaitan minat seseorang menonton sesebuah telefilem iaitu mungkin ia lahir berdasarkan suatu kecenderungan untuk menemukan kerelevanan antara kehendak diri dan paparan pengisian telefilem. Hal ini dilakukan dengan penuh sedar dengan pertimbangan wajar, tanpa dapat dipengaruhi oleh sesiapa.

Dari sudut realitinya, situasi ini sememangnya berlaku dan membuktikan bahawa minat mampu mendorong individu untuk melakukan sesuatu dengan penuh tumpuan walaupun terdapat kekangan dalam sudut yang lain. Misalnya, mungkin keadaan sekeliling kurang menyokong untuk mencipta situasi tontonan namun kerana minat yang mendalam mereka berjaya untuk menamatkan tontonan.

Ia sesuatu yang sukar untuk difahami dan tidak mudah juga untuk ditafsirkan kerana ia lebih kepada tahap kemampuan diri untuk menahan segala unsur gangguan persekitaran yang hadir. Asalkan sudah terpaut dengan minat, mereka akan teruskan menonton tanpa jemu dan minda akan terasa padat dengan pilihan tersebut.

Menonton bukan sekadar keperluan untuk mengisi masa lapang malah lebih terarah kepada kehendak yang harus dipenuhi sebagai pencetus aktif pemikiran berdasarkan minat.

Kekuatan yang ada pada telefilem juga berperanan dalam mencipta daya tontonan dan pembentukan landskap terhadap perjalanan pemikiran penonton. Penceritaan memainkan peranan aktif dalam usaha membentuk suasana melalui pengembangan plot, emosi watak, cabaran konflik dan penyelesaian dramatik agar dapat memberikan nuansa pengalaman serta suri teladan bagi penonton.

Penonton bakal berinteraksi dengan penceritaan yang membolehkan berlakunya penyaluran maklumat dan pertukaran emosi serta kearifan dalam pencarian makna kehidupan seharian walaupun hanya sekadar menonton di rumah.

Bagaimana telefilem mampu untuk merapikan kekuatan yang ada ketika berhadapan dengan penonton yang pelbagai? Apa yang perlu dimuktamatkan sebagai kekuatan dari sudut penceritaan yang perlu bagi mencipta refleksi baharu pada penonton?

Kesinambungan antara tajuk dan kandungan harus selari dalam mengikat dan memaut tumpuan penonton. Disinilah penonton diundang untuk memulakan tontonan bagi mengetahui pengkisahan selanjutnya. Tajuk dan jalan cerita tidak berfungsi secara berasingan dan harus ada kesalinghubungan yang rapat dalam menjelmakan aspirasi tontonan.

Tajuk sebenarnya memiliki satu tarikan yang luar biasa. Sebenarnya jika diadun dengan baik maka ia dapat mewarnai emosi dan mendorong pentafsiran di peringkat awalan yang menjadi pembinaan persepsi tontonan. Namun, tidak perlu untuk menimbulkan sensasi yang agak berlebihan agar tidak terlalu mendedahkan jalan cerita atau tanggapan awal secara lengkap.

Gaya persembahan jalan cerita penting untuk memberikan kefahaman dan memungkinkan untuk memberikan kesan yang mendalam kepada penonton. Pembinaan plot secara kreatif dalam bentuk yang sesuai dan menarik adalah satu kewajaran dalam memastikan kepuasan tontonan.

Perkara ini harus diambil serius oleh pengkarya dan ternyata ia memerlukan kepekaan dan kearifan dalam memastikan mesej dapat disampaikan dalam bentuk visual yang segar dan lebih relevan dengan keadaan terkini terutamanya usaha untuk memikat golongan muda.

Sekadar memudahkan penjelasan, sesebuah telefilem akan berjaya jika rangkuman jalan cerita yang menarik dalam gaya yang menghiburkan. Begitu juga dengan kepelbagaian tema dan pemikiran-pemikiran baharu harus lebih diberikan sentuhan dengan segala potensi yang ada serta menjadi pemangkin kepada perubahan pemikiran masyarakat.

Justeru secara kolektifnya, minat penonton dan kekuatan telefilem adalah saling bersandaran dalam memastikan olahan idea bakal mendapat tempat dijiwa penonton. Bukan mudah untuk menanam minat dalam kalangan khalayak dan bukan sesuatu yang mustahil untuk menghasilkan naskah kreatif yang berkualiti.

Yang pasti, hasil akhirnya adalah bakal membawa manfaat kepada masyarakat dan memberi kesan positif dalam mengukuhkan nilai-nilai kemanusiaan.

Apa-apa pun, tak kiralah takrifan sekali tonton ataupun berkali-kali menonton, ia tidak mewakili pertimbangan yang adil untuk mengukur tentang keberkesanan telefilem itu sendiri. Barangkali hal sebegitu hanyalah suatu sandaran dan pendekatan dari pelbagai perspektif dan cita rasa.