2,540 tiket tambahan ditawarkan 14 dan 15 Jun

Tiket Konsert Gergasi MR.DIY Habis Ditebus Dalam Satu Hari

Poster Terkini (4)

KUALA LUMPUR, 9 Jun 2025 – Semua tiket bagi Konsert Gergasi MR.DIY sempena ulang tahun ke-20 syarikat itu yang dijadual berlangsung pada 11 Julai 2025 di Stadium Merdeka, habis ditebus dalam tempoh hanya satu hari pada 31 Mei lalu, sekali gus mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat serta tular di media sosial.

Susulan sambutan luar biasa itu, penganjur mengumumkan penambahan 2,540 tiket eksklusif sebagai penghargaan terhadap sokongan hebat orang ramai. Penebusan pusingan kedua akan berlangsung pada 14 dan 15 Jun ini.

“Ini merupakan peluang terakhir untuk merebut tiket anda. Tiket adalah terhad dan akan diberikan berdasarkan prinsip ‘siapa cepat dia dapat’,” menurut kenyataan MR.DIY hari ini.

Konsert mega itu dijangka menghimpunkan barisan artis terkenal tanah air dengan persembahan bertenaga di pentas ikonik Stadium Merdeka. Ia hanya akan berlangsung satu malam tanpa sebarang siaran ulangan mahupun konsert kedua.

Bagi penebusan tiket, pelanggan hanya perlu berbelanja minimum RM40 di mana-mana cawangan MR.DIY seluruh negara pada 14 dan 15 Jun untuk layak menebus dua (2) tiket konsert percuma.

“Anda hanya perlu mengimbas kod QR pada poster rasmi di dalam kedai atau melayari laman web rasmi untuk mengakses borang penebusan,” tambah kenyataan itu, sambil menekankan bahawa jumlah tiket adalah amat terhad.

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert serta pengumuman terkini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.mrdiy.com/concert2025 dan mengikuti MR.DIY di platform Facebook dan Instagram.