Perubahan corak perbelanjaan warga emas bawa kesan kepada negara
Penuaan penduduk boleh menjadi pemangkin kepada penciptaan ekonomi baharu yang lebih inklusif dan mampan.

MALAYSIA sedang bergerak pantas menuju status negara tua. Menjelang tahun 2030, dianggarkan 15 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas.
Perubahan demografi ini bukan sekadar angka tetapi membawa implikasi besar kepada kehidupan masyarakat serta corak ekonomi negara.
Salah satu perubahan yang ketara adalah corak perbelanjaan rakyat. Jika sebelum ini perbelanjaan banyak tertumpu kepada hiburan, gajet dan pelancongan, kini keutamaan beralih kepada penjagaan kesihatan, makanan berkhasiat serta tempat tinggal yang sesuai untuk golongan warga emas.
Bagi ramai warga emas, perbelanjaan untuk ubat-ubatan, alat bantuan kesihatan serta perkhidmatan penjagaan menjadi antara komponen utama dalam bajet harian mereka.
Namun, perubahan ini tidak berlaku dalam ruang yang terasing. Ia memberi kesan meluas kepada struktur ekonomi dan sistem sosial negara. Permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan dan penjagaan warga emas dijangka meningkat secara mendadak.
Hospital, farmasi, pusat jagaan harian serta perkhidmatan kesihatan di rumah akan melihat lonjakan permintaan yang mungkin melebihi kapasiti sedia ada.
Dalam masa yang sama, sistem kesihatan awam juga akan menghadapi tekanan yang lebih hebat, terutamanya jika tidak ditingkatkan secara proaktif.
Di sudut lain pula, industri yang selama ini bergantung kepada perbelanjaan golongan muda, seperti hiburan, fesyen dan teknologi terkini, mungkin mengalami penurunan dalam permintaan.
Keadaan ini memerlukan syarikat-syarikat untuk menyesuaikan model perniagaan mereka agar kekal relevan dalam landskap pasaran yang berubah.
Selain kesan ekonomi, perubahan corak perbelanjaan ini turut membawa kesan sosial yang mendalam. Dengan semakin ramai warga emas memerlukan penjagaan berterusan, beban kewangan dan emosi kepada generasi muda, khususnya penjaga dalam keluarga, turut meningkat.
Jika situasi ini tidak ditangani dengan bijak, ia boleh menjejaskan keseimbangan kerja dan kehidupan serta produktiviti keseluruhan negara. Kita juga perlu mengakui bahawa sokongan sosial terhadap golongan ini masih belum mencukupi di banyak peringkat.
Di sebalik cabaran yang wujud, terdapat juga peluang besar yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak. Ekonomi penjagaan atau care economy dijangka berkembang pesat.
Usahawan boleh meneroka ruang baharu seperti penghasilan makanan khas yang mesra warga emas, aplikasi digital untuk memantau kesihatan, teknologi rumah pintar yang meningkatkan keselamatan dan keselesaan warga emas serta pakej pelancongan santai yang sesuai dengan keperluan mereka.
Di samping itu, sektor pekerjaan dalam bidang penjagaan juga dijangka berkembang, membuka lebih banyak peluang baharu dalam pasaran kerja.
Namun begitu, semua peluang ini hanya dapat direalisasikan jika negara bersedia. Realitinya, ramai warga emas di Malaysia masih bergantung kepada simpanan KWSP yang terhad, manakala perlindungan kesihatan pula belum mencukupi untuk majoriti golongan ini.
Jika tidak ditangani segera, beban kewangan ini bukan sahaja akan ditanggung oleh individu dan keluarga tetapi juga boleh melumpuhkan sistem sosial serta kesihatan negara.
Oleh itu, tindakan kolektif diperlukan. Pihak kerajaan perlu melabur dalam infrastruktur yang mesra warga emas, termasuk menyediakan perumahan yang sesuai, kemudahan awam yang inklusif serta sistem kesihatan yang mampu menampung keperluan populasi berumur ini.
Dalam masa yang sama, sektor swasta harus melihat penuaan penduduk sebagai peluang baharu untuk perniagaan, bukannya satu ancaman. Individu dan keluarga pula perlu dididik tentang pentingnya perancangan kewangan jangka panjang dan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan yang berterusan.
Paling penting, masyarakat secara keseluruhan perlu mengubah persepsi terhadap warga emas mereka adalah aset berharga yang masih mampu menyumbang secara aktif kepada komuniti, bukannya sekadar beban.
Mengapa kita perlu ambil tahu tentang isu ini? Kerana penuaan penduduk adalah satu realiti yang tidak dapat dielakkan. Jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh membawa implikasi sosio-ekonomi yang besar di mana tekanan kepada sistem kesihatan, krisis penjagaan keluarga serta ketidakseimbangan ekonomi yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
Sebaliknya, jika dirancang dan diuruskan dengan baik, penuaan penduduk boleh menjadi pemangkin kepada penciptaan ekonomi baharu yang lebih inklusif dan mampan. Inilah masanya untuk bertindak.
Masa depan negara bergantung kepada bagaimana kita menyesuaikan diri dengan perubahan ini, bukan esok, tetapi mulai hari ini.
Penuaan adalah satu kepastian. Bagaimana kita menguruskan kesannya adalah pilihan kita.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.