22 pengisian madrasah Ramadan

Terdapat banyak amalan yang boleh dilakukan bagi memanfaatkan kehadiran bulan Ramadan, sama ada amalan yang wajib ataupun yang disunatkan.

Poster Terkini (1)


DALAM menyambut kehadiran bulan Ramadan, terdapat beberapa golongan utama iaitu pertama golongan yang gembira dengan kehadiran Ramadan dan mereka mengisinya dengan perkara bermanfaat.

Kedua, golongan yang gembira dengan kehadiran Ramadan tetapi mereka lalai serta tidak mengisinya dengan perkara bermanfaat.

Ketiga golongan yang tiada sebarang perasaan dengan kedatangan bulan Ramadan dan mereka masih meneruskan perbuatan dosa dan maksiat.

Sedangkan Ramadan hadir bersama sebuah madrasah yang menjanjikan ganjaran pahala yang besar kerana keberkatan yang terdapat padanya.

Alangkah rugi orang yang tidak memanfaatkannya dan masih leka serta tidak meningggalkan maksiat ketika dalam bulan Ramadan.

Asasnya, dalam bulan Ramadan setiap amalan dijanjikan dengan ganjaran pahala yang lebih banyak berbanding bulan lain.

Terdapat banyak amalan yang boleh dilakukan bagi memanfaatkan kehadiran bulan ini, sama ada amalan yang wajib ataupun yang disunatkan, antaranya:

Pertama, berpuasa sebulan di bulan Ramadan. Ibadat puasa diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkelayakan untuk berpuasa. Jika tidak mampu, mereka diwajibkan untuk menggantinya pada hari lain di luar bulan Ramadan. Bagi yang uzur dan tidak mampu berpuasa, mereka dikenakan bayaran fidyah kerana meninggalkan puasa.

Kedua, mengeluarkan zakat fitrah. Zakat fitrah adalah sejumlah bayaran yang dikenakan ke atas setiap Muslim yang berkemampuan dalam bentuk makanan asasi dengan kadar satu gantang Baghdad atau bersamaan 2.7 kilogram beras atau senilai dengannya. Ia mula dibayar dari awal Ramadan sehinggalah sebelum solat hari raya. Ia bertujuan untuk membersihkan dan menyucikan jiwa orang yang berpuasa di samping dapat membantu golongan fakir dan miskin dalam membuat persiapan hari raya Aidilfitri.

Ketiga, mengerjakan solat terawih. Solat terawih merupakan ibadat yang disyariatkan untuk diamalkan ketika dalam bulan Ramadan sahaja. Ia merupakan ibadat yang dilakukan selepas solat Isyak hinggalah sebelum masuk waktu solat Subuh. Bagi seorang Muslim, solat terawih boleh dilakukan selama sebulan bulan Ramadan sama ada secara berjamaah atau individu, dalam jumlah 8 rakaat atau 20 rakaat.

Keempat, solat fardu pada waktunya. Solat fardu merupakan kewajipan asas bagi umat Islam. Ia wajib ditunaikan selagi mana seseorang masih berada dalam ruang lingkup taklif agama tanpa gagal. Disunatkan dan digalakkan bagi umat Islam untuk mengerjakan solat fardu di awalnya bagi menyempurnakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT.

Kelima, menambah amalan sunat. Dalam bulan puasa, terdapat amalan sunat yang bersifat khusus yang hanya terdapat dalam bulan Ramadan semata-mata dan ibadat sunat yang umum sepertimana bulan lain. Ibadat sunat yang khusus seperti menghidupkan malam dengan solat terawih, menghidupkan lailatul qadar dan ibadat sunat yang umum seperti mengerjakan solat sunat tahajjud, taubat, rawatib, duha, witir dan tasbih, bersedekah dan sebagainya. Amalan-amalan ini perlu dilipatgandakan bagi mencapai kedudukan orang yang bertaqwa.

Keenam, membaca al-Quran dan bertadabbur. Al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan dan membaca setiap hurufnya diganjarkan dengan pahala. Membacanya, mendengarnya, mentadabburnya dan belajar serta mengajarnya diberikan pahala. Dalam bulan Ramadan, amalan membaca ini boleh dibuat secara individu atau dalam bentuk tadarrus berkumpulan. Selain membaca, al-Quran juga perlu ditadabbur untuk meningkatkan kefahaman terhadap kandungan al-Quran di samping dapat memperbaiki kualiti bacaan dalam aspek sebutan dan tajwid.

Ketujuh, memberi makan orang yang berpuasa. Ia merangkumi perbuatan memberi makan, bertukar juadah, menjamu orang makan atau mengadakan majlis kenduri untuk orang yang berbuka puasa atau membelanjakan wang untuk menaja berbuka puasa. Makanan yang diberikan tidak semestinya berbentuk jamuan dalam skala yang besar atau makanan berat tetapi boleh juga sekadar menjamu kurma atau air. Amalan ini dijanjikan pulangan pahala yang besar seumpama pahala orang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut.

Kelapan, memperbanyakkan zikir kepada Allah. Berzikir termasuklah membaca tasbih (menyucikan Allah), tahmid (memuji Allah), takbir (membesarkan Allah), tahlil (kalimah tauhid) dan yang ma’thur serta bacaan lain. Amalan ini dapat memberi ketenangan kepada jiwa di samping menambah pahala serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia boleh dilakukan sama ada ketika berdiri, duduk atau berbaring tanpa mengira waktu sama ada ketika pagi dan petang atau sepanjang masa bagi menghindari diri daripada perkara yang melalaikan dan maksiat.

Kesembilan, meningkatkan selawat kepada Rasulullah SAW. Selawat kepada Nabi SAW adalah satu tuntutan kepada umat Islam. Allah dan malaikat juga berselawat kepada Baginda SAW. Selawat yang berasal dari Allah kepada rasulullah bermakna pujian, dari malaikat bermakna kasih sayang dan permohonan rahmat kepada Allah. Selawat bagi orang beriman adalah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat dan menambah kemuliaan kepada Rasulullah SAW. Jadi, dalam bulan Ramadan, amalan selawat sangat digalakkan kerana ia menjanjikan ganjaran pahala.

Kesepuluh, bersedekah. Sedekah merupakan pemberian sukarela dan ia tidak melibatkan tukar ganti. Amalan sedekah boleh melibatkan wang ringgit atau benda dan pelbagai pemberian lain. Biasanya sedekah diberikan kepada golongan fakir miskin untuk membantu mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

Kesebelas, memperbanyakkan istighfar. Istighfar merupakan permohonan keampunan atas segala salah silap dan kekurangan seorang hamba kepada Allah SWT. Keampunan daripada dosa merupakan dambaan bagi orang beriman. Oleh itu, beristighfar digalakkan sama ada di waktu siang ataupun malam.

Kedua belas, memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Ini disebabkan doa orang yang berpuasa adalah mustajab, khususnya dari mula tempoh awal puasa hingga mereka berbuka puasa. Pelbagai doa boleh dipanjatkan kepada Allah SWT sama ada melibatkan kebaikan hidup di dunia dan di akhirat.

Ketiga belas, menjauhi perkara yang boleh merosakkan pahala puasa. Ia termasuklah melakukan perkara yang bersifat dosa dan maksiat. Begitu juga dengan perkara yang melalaikan dan membuang masa. Walaupun puasa seseorang itu hukumnya sah, tetapi boleh mengundang dosa dan mengurangkan pahala puasa.

Keempat belas, menjaga lidah. Lidah merupakan anggota yang tidak bertulang. Ia boleh menyebabkan ketergelinciran dalam kata-kata. Umpamanya, ketika berpuasa orang Islam dilarang untuk bercakap perkara keji dan kotor agar tidak menjejaskan puasa. Mereka juga dilarang untuk memaki hamun, membuat fitnah, mengadu domba dan menyebarkan aib serta menjatuhkan maruah orang. Justeru lidah perlu dijaga dengan baik.

Kelima belas, membantu dalam kerja kebaikan. Dalam bulan puasa, umat Islam boleh menyumbangkan tenaga dalam kerja kebajikan seperti menguruskan majlis berbuka puasa, memasak makanan untuk berbuka, memasak bubur lambuk, moreh dan seumpamanya. Semua amalan ini termasuk dalam amal salih dan diganjari dengan pahala.

Keenam belas, berbakti kepada kedua ibu bapa dan keluarga. Ibu bapa adalah insan yang perlu dihormati dan dikasih di samping bakti kepada mereka. Ketika berpuasa, seorang anak perlu cakna kepada ibu bapa yang tua, seperti makan minum mereka, fidyah dan zakat fitrah mereka dan sebagainya. Begitu juga berbakti kepada kaum keluarga terutamanya mereka yang berada di bawah tanggungan.

Ketujuh belas, menghubungkan silaturrahim dan berbuat baik dengan jiran dan sesama manusia. Silaturahim merupakan asas kekuatan umat Islam. Justeru, ia perlu dirapatkan dengan pelbagai amalan di bulan puasa. Umpamanya mengerjakan solat terawih secara berjemaah, berbuka puasa beramai-ramai dan bertukar juadah berbuka.

Kelapan belas, mengerjakan qiyamullail, iaitu menghidupkan malam-malam Ramadan dengan amal ibadah dan perkara yang baik seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan amalan salih lain seperti menuntut ilmu, membaca dan menulis dan seumpamanya. Terutama bagi memburu lailatulqadar, malam Ramadan perlu diisi dengan amalan yang boleh mendatangkan pahala, sebaliknya tidak menyebabkan dosa dan maksiat.

Kesembilan belas, beriktikaf dalam masjid dengan menyibukkan diri beribadah khususnya di 10 malam terakhir. Beriktikaf dimasjid digalakkan agar umat Islam dapat memfokuskan amal ibadah seperti solat sunat, membaca al-Quran dan seumpamanya.

Kedua puluh, bersahur. Bersahur adalah disunatkan kerana ia mempunyai keberkatan di samping memberi kekuatan tenaga kepada orang yang berpuasa. Amalan bersahur membezakan antara puasa yang syar’ie atau tidak kerana ia sebahagian daripada syiar Islam.

Kedua puluh satu, berbuka puasa. Berbuka puasa adalah perkara yang wajib bagi mereka yang berpuasa. Namun disunatkan berbuka puasa dengan segera apabila memasuki waktu Maghrib dan disunatkan berbuka dengan bahan yang manis seperti kurma dan buah-buahan, tidak mengambil makanan berlebihan sehingga berat untuk mengerjakan solat maghrib dan sunat terawih.

Kedua puluh dua, menghindari pembaziran. Pembaziran sering berlaku di bulan Ramadan. Ibaratnya, sebuah pesta makanan kerana pada bulan ini, pelbagai festival makanan atau bermusim dihasilkan dan dijual di bazar Ramadan serta disajikan dalam sajian bufet. Jadi, pembaziran sering berlaku apabila makanan dibeli secara berlebihan dan disajikan secara berlebihan. Dengan itu, amalan ini berlawanan dengan objektif berpuasa.

Sehubungan dengan itu, bulan Ramadan penuh dengan keberkatan dan janji pahala yang berlipatganda bagi setiap amalan kebaikan yang dilakukan.

Justeru, rebutlah peluang untuk menambah pahala di bulan Ramadan dengan mengisinya dengan perkara yang bermanfaat sebagai bekalan di hari akhirat kelak.

Sebaliknya, jauhilah perkara yang boleh mendatangkan dosa dan kerugian agar tidak menyesal di hari pembalasan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.