Raikan Aidilfitri dalam suasana alam semula jadi di Spritzer EcoPark

Spritzer EcoPark mengajak rakyat Malaysia meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan dalam suasana alam semula jadi yang tenang dan menyegarkan.

Feature Image (3)

KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Spritzer EcoPark mengajak rakyat Malaysia meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan dalam suasana alam semula jadi yang tenang dan menyegarkan.

Terletak di Taiping, bandar yang terkenal sebagai kawasan dengan taburan hujan tertinggi di Malaysia, taman rekreasi ini sekali lagi tampil dengan hiasan Aidilfitri yang memukau, menggabungkan elemen tradisional dengan keindahan alam hijau yang mendamaikan.

Bermula 10 Mac 2026, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai dekorasi tradisional hari raya seperti ketupat, pelita, pintu gerbang serta hiasan bulan sabit dan arca wau berwarna-warni yang menghiasi setiap sudut taman. Dekorasi ini bukan sahaja menyerikan suasana, malah menghidupkan kembali nostalgia suasana balik kampung dan semangat kebersamaan yang menjadi inti pati sambutan Aidilfitri.

Dengan latar kehijauan yang luas, Spritzer EcoPark menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung yang ingin menikmati keindahan alam sambil merasai kemeriahan perayaan. Orang ramai boleh bersiar-siar di taman, merakam kenangan indah serta meluangkan masa berkualiti bersama orang tersayang dalam suasana yang santai dan damai. Menariknya, kemasukan ke Spritzer EcoPark adalah percuma kepada semua pengunjung.

Ketua Perhubungan Awam Spritzer, Winnie Chin berkata, hari raya merupakan masa yang dinanti-nantikan untuk berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai. Namun, faktor jarak dan kesibukan kehidupan moden menyebabkan tidak semua berpeluang pulang ke kampung halaman dengan kerap.

“Melalui Spritzer EcoPark, kami berharap dapat menyediakan sebuah destinasi alternatif yang mampu menghidupkan semangat kebersamaan dalam suasana alam semula jadi yang menyegarkan. Ia menjadi ruang untuk pengunjung menenangkan fikiran, mengeratkan hubungan dengan orang tersayang dan menikmati kemeriahan perayaan,” katanya.

Bagi memeriahkan lagi suasana menjelang Syawal, pelbagai aktiviti istimewa akan berlangsung dari 19 hingga 29 Mac 2026. Antaranya termasuk bengkel DIY dan kraf bertemakan hari raya yang memberi peluang kepada seisi keluarga menghasilkan cenderamata unik sambil meluangkan masa bersama.

Pengunjung juga boleh menikmati pengalaman meneroka taman dengan menaiki Paddle Cart bersama keluarga. Selain itu, Padang Mini Golf 18 lubang yang menjadi antara tarikan utama di taman ini turut menawarkan pengalaman unik dengan penggunaan bola golf LED edisi terhad, yang juga sesuai dijadikan sebagai cenderamata istimewa sempena musim perayaan.

Sebelum pulang, pengunjung boleh singgah di ‘Water Shop’ untuk mendapatkan pelbagai produk Spritzer bagi memastikan tetamu kekal segar dan terhidrat sepanjang sambutan hari raya. Di ‘Souvenir Shop’ pula, terdapat pelbagai barangan dan cenderamata eksklusif yang boleh dijadikan hadiah atau kenangan sepanjang kunjungan ke taman rekreasi ini.

Dekorasi indah yang diserikan dengan sinaran lampu bercahaya ini turut mencerminkan komitmen Spritzer EcoPark dalam menyediakan pengalaman bermakna berteraskan alam semula jadi, di samping menggalakkan kreativiti, kemampanan serta kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.

Spritzer EcoPark turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua. Orang ramai dijemput untuk datang bersama keluarga, merakam kenangan indah dan meraikan Syawal dalam suasana yang penuh kegembiraan di taman rekreasi ini.

Untuk maklumat terkini, orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial Spritzer EcoPark di Facebook, Instagram, Threads dan TikTok.