USM perkasa kerjasama akademik menerusi program mobiliti di Malang
Program MOMAF USM–UM berjaya memupuk nilai kolaborasi, penghargaan terhadap budaya, tanggungjawab sosial serta kesedaran alam sekitar dalam kalangan peserta.
KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – Program Mobility Matching Fund (MOMAF) yang berteraskan nilai Madani antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia berjaya dilaksanakan dengan menyatukan elemen akademik, budaya, khidmat komuniti serta kelestarian alam sekitar dalam satu pengalaman mobiliti yang komprehensif baru-baru ini.
Program ini dilaksanakan melalui pembiayaan geran Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) USM dan diketuai oleh Ahmad Naqib Shuid bersama Asmida Isa, Ng Siew Kit dan Shafinah Ahmad daripada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM. Turut terlibat ialah 10 pelajar pascasiswazah daripada pelbagai bidang termasuk Bioperubatan, Biologi Molekul, Genetik Perubatan, Mikrobiologi dan Sains Komputer.
Program bermula dengan Majlis Sambutan dan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) di Fakulti Matematik dan Sains Semula Jadi (FMIPA), Universitas Negeri Malang pada 28 Oktober 2025. Majlis tersebut menjadi simbol komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh kerjasama strategik merangkumi mobiliti pelajar, penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah serta perkongsian kepakaran.
Ucapan wakil kedua-dua universiti menekankan kepentingan jaringan akademik rentas sempadan dalam menghadapi cabaran global, khususnya dalam bidang sains kesihatan dan pendidikan STEM. Perbincangan dua hala yang diadakan selepas majlis turut membincangkan pelan tindakan jangka panjang termasuk potensi penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah serta kerjasama dalam permohonan geran penyelidikan antarabangsa.

Sepanjang program, beberapa sesi pengajaran bersama melibatkan pensyarah USM dan UM turut dilaksanakan. Dalam kursus Basic Chemistry, Dr. Shafinah menyampaikan kuliah bertajuk Basic Chemistry in Cancer Drug Screening yang memperkenalkan aplikasi kimia dalam penyelidikan ubat antikanser. Pelajar didedahkan kepada proses pengekstrakan sebatian semula jadi, pengenalpastian struktur serta kepentingan profil kimia dalam pembangunan terapeutik.
Sesi tersebut menjadi lebih interaktif apabila pelajar USM berkongsi pengalaman penyelidikan masing-masing, diikuti kuiz Kahoot yang mewujudkan suasana pembelajaran santai tetapi kompetitif.
Bagi kursus Biokimia pula, Dr. Asmida memberi penerangan mengenai teknik Polymerase Chain Reaction (PCR). Penjelasan tentang proses denaturasi, annealing dan extension membantu pelajar memahami kaedah penggandaan DNA secara terkawal di makmal. Perkongsian oleh pelajar PhD mengenai penyelidikan epigenetik dan protein ADAR1 turut memberi pendedahan kepada perkembangan terkini dalam bidang biokimia moden.
Selain aktiviti akademik, program ini turut menampilkan sesi Pertukaran Budaya antara pelajar USM dan UM. Peserta berkongsi pakaian tradisional seperti Baju Melayu, Baju Kurung, kebaya dan busana tradisional Bali. Perkongsian mengenai makanan tradisional seperti nasi lemak dan bakso serta kuiz berkaitan slanga tempatan turut memeriahkan suasana.
Persembahan tarian tradisional oleh pelajar UM menjadi penutup sesi tersebut, sekali gus menunjukkan peranan budaya sebagai jambatan penting dalam mengeratkan hubungan serantau.
Program mobiliti ini turut disertai lawatan ke Kampung Warisan Kajoetangan serta Malang City Tour (MACITO) yang memberi pendedahan kepada sejarah dan perkembangan bandar Malang. Peserta berpeluang menelusuri kawasan bersejarah dengan bangunan era kolonial Belanda serta memahami evolusi bandar itu daripada zaman kerajaan Kanjuruhan hingga ke era moden.
Dalam aspek khidmat komuniti, program jangkauan sains turut dianjurkan di Sekolah Makmal Universitas Negeri Malang dengan penyertaan 127 pelajar sekolah menengah rendah. Aktiviti yang dijalankan termasuk pengekstrakan DNA strawberi serta pengenalan kepada penyakit genetik dan konsep pewarisan.
Melalui aktiviti kreatif seperti menghasilkan rantai kunci manik berdasarkan ciri genetik masing-masing, pelajar dapat memahami konsep genotip dan fenotip secara visual dan lebih menarik.
Selain itu, Bengkel CodeMasterMadani© turut diadakan dengan penyertaan lebih 100 pelajar pendidikan sains Universitas Negeri Malang. Bengkel selama tiga jam itu memberi pendedahan asas kepada pengaturcaraan serta penggunaan papan mikro-pengawal Arduino Promega 2560 dalam aplikasi STEM.

Sebanyak 10 unit Arduino turut diserahkan kepada Fakulti Matematik dan Sains Semula Jadi bagi memastikan kesinambungan latihan selepas program berakhir.
Sebagai penutup program, peserta turut mengikuti lawatan ke Batu dan Gunung Bromo. Selain aktiviti rekreasi di Florawisata Santerra, peserta turut menjalankan aktiviti pembersihan ringan di kawasan Bromo sebagai simbol tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Pendakian ke kawah gunung berapi aktif itu turut memberi peluang kepada peserta mempelajari secara langsung mengenai struktur geologi serta fenomena gunung berapi.
Seorang peserta program, Wan Amirul Syazwan yang juga pelajar PhD Mikrobiologi PKTAAB, USM berkata program tersebut memberi pengalaman berharga yang menggabungkan elemen sains dan budaya.
Menurutnya, keterujaan pelajar sekolah semasa aktiviti pengekstrakan DNA mengingatkan beliau tentang kepentingan pendidikan STEM dalam membentuk generasi masa depan.
Seorang lagi peserta, Nurin Hanisah yang merupakan pelajar Sarjana Sains (Biologi Molekul) berkata walaupun jadual program agak padat, layanan mesra rakan-rakan dari Universitas Negeri Malang menjadikan pengalaman tersebut sangat bermakna.
Secara keseluruhannya, Program MOMAF USM–UM bukan sahaja memperkukuh mobiliti akademik, malah berjaya memupuk nilai kolaborasi, penghargaan terhadap budaya, tanggungjawab sosial serta kesedaran alam sekitar dalam kalangan peserta.
Hubungan yang terjalin bukan sahaja pada peringkat institusi, malah turut membina jaringan profesional dan persahabatan antara pensyarah serta pelajar dari kedua-dua negara.
Kejayaan program ini membuktikan bahawa kerjasama serantau yang dirancang dengan baik mampu memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan, penyelidikan dan komuniti, sekali gus mencerminkan semangat Madani yang menghubungkan ilmu, manusia dan kemanusiaan tanpa sempadan.
