PERATURAN Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) baru-baru ini menjalankan analisis yang mendakwa skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) tidak mencapai apa yang ditakrifkan sebagai “mampan”.
Dibiayai oleh Kesatuan Eropah (EU), analisis itu menyeru Malaysia untuk menangani isu yang berkaitan dengan apa yang ditakrifkan sebagai “hutan” dan kekurangan maklumat mengenai perlindungan hak asasi manusia berdasarkan piawaian yang diterima di peringkat antarabangsa dan isu geolokasi.
Isu kebolehkesanan turut dibangkitkan terutama berkaitan minyak sawit yang dikeluarkan oleh pekebun kecil.
Walaupun ini mungkin hujah yang benar bagi EU berdasarkan penilaian mereka, maklum balas Malaysia terhadap penemuan ini adalah positif dan Malaysia mungkin akan dapat memenuhi keperluan tersebut.
Bagaimanapun, ia masih harus dinilai berdasarkan sama ada EU akhirnya mengiktiraf minyak sawit Malaysia sebagai “mampan” dan menerima bahawa ia telah mematuhi EUDR.
Adakah EU hanya mencari jalan untuk menggagalkan eksport Malaysia ke Eropah dengan alasan ini atau adakah mereka hanya “pilih kasih” dalam mengkritik minyak sawit dan menutup mata terhadap amalan negara pengeluar minyak sayuran lain?
Malaysia telah dituduh melakukan pertanian monokultur dengan terlalu bergantung pada penanaman sawit, namun negara-negara dalam EU juga boleh dituduh melakukan perkara yang sama.
Sebagai contoh, Perancis dan Jerman adalah pengeluar rapeseed utama EU tetapi Perancis, pada satu tahap adalah pengeluar utama rapeseed di Eropah dan Eropah ialah pengeluar utama di seluruh dunia.
Kultivar 00-rapeseed kini ditanam di atas 1.5 juta hektar di Perancis dan 8 juta hektar di seluruh dunia.
Petani Perancis dijangka menggunakan kawasan yang sama atau lebih besar untuk rapeseed bagi musim penuaian 2024 yang mana menurut institut teknikal Terre Ionia telah mengekalkan penyemaian pada tahap melebihi purata selepas peningkatan mendadak tahun lepas.
Namun hakikatnya, minyak sawit menghasilkan empat kali lebih banyak minyak sehektar tanah berbanding rapeseed atau 3.3 tan minyak sawit berbanding 0.7 tan rapeseed.
Ini juga bermakna tanaman sawit menggunakan jumlah baja racun perosak dan input tenaga yang jauh lebih sedikit.
Fokus pada Fakta
Dalam era perubahan iklim dan kesedaran pada alam sekitar, penebangan hutan menjadi keutamaan ramai dan secara langsung melibatkan kedua-dua kerajaan dan syarikat swasta.
Kenyataannya, Malaysia telah pun meletakkan had ke atas jumlah tanah yang boleh digunakan untuk penanaman sawit kepada hanya 5.6 juta hektar.
Ini lebih rendah daripada angka sebelumnya iaitu 6.5 juta hektar yang berpunca daripada urbanisasi.
Bagi isu buruh dalam sektor minyak sawit, Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat antarabangsa dengan mengetatkan amalan undang-undang buruh dan juga syarikat terutamanya syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang rata-rata menjadikannya sebagai salah satu amalan Sosial dalam Rangka kerja Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Minyak sawit adalah minyak yang menjadi makanan masyarakat dunia.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, daripada 337.6 juta hektar yang diperuntukkan untuk pengeluaran minyak sayuran pada 2022, tanaman sawit hanya menggunakan lebih 30 juta hektar atau hanya 8.9 peratus daripada jumlah tanah.
Jisim terbesar tanah digunakan oleh beberapa minyak sayuran lain termasuk minyak soya pada 133.8 juta hektar atau 39.6 peratus, diikuti oleh rapeseed, biji kapas dan kacang tanah masing-masing pada 40, 31.4 dan 30.5 juta hektar.
Empat minyak sayuran ini sahaja menyumbang hampir 70 peratus daripada jisim tanah.
Kehidupan yang Dipertaruhkan
Walaupun syarikat gergasi mendahului dalam hal pematuhan piawaian antarabangsa, perkara yang sama tidak boleh diambil kira untuk pekebun kecil.
Namun, pekebun kecil Malaysia telah berusaha untuk mendapat pensijilan oleh MSPO dan hari ini, menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, 4.94 juta hektar mewakili kira-kira 87.4 peratus daripada ladang sawit di Malaysia dan 407 daripada 446 kilang minyak sawil telah diperakui berada di bawah piawaian MSPO setakat April 2024.
Pada masa yang sama, kira-kira 151,152 pekebun kecil, meliputi 542,215 hektar atau 66 peratus daripada jumlah keseluruhan juga telah memperoleh pensijilan dalam tempoh yang sama.
Walaupun masih terdapat beberapa usaha yang perlu dilakukan dari segi pensijilan untuk pekebun kecil ini dari segi bilangan dan keluasan, adalah menggembirakan untuk melihat Malaysia sedang bergerak ke arah yang tepat bagi pengeluaran minyak sawit yang mampan.
Penyatuan & Pemodenan
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani baru-baru ini mencadangkan penyatuan pekebun kecil ladang sawit bagi menangani isu berkaitan penanaman semula, skala ekonomi serta amalan pengurusan dan pertanian yang baik dengan tujuan mencapai kecekapan yang lebih besar dari segi hasil pengeluaran.
Mekanisasi dan penggunaan amalan baik serta pensijilan yang lebih baik boleh membantu pekebun kecil meningkatkan tahap pendapatan mereka.
Model perniagaan baharu yang dicadangkan oleh Menteri itu berwawasan dan harus diterokai dan diuji untuk melihat manfaatnya.
Model penyumberan luar, yang tidak mengambil alih tanah daripada pemilik sah ladang-ladang ini, merupakan langkah positif ke arah kemampanan jangka panjang minyak sawit Malaysia kerana kita perlu mencari jalan untuk menjadi lebih produktif ekoran had yang dikenakan ke atas kita disebabkan isu penebangan hutan.
Memandangkan usaha Malaysia untuk menangani pertikaian yang dibangkitkan oleh EU dan tindak balas domestik oleh kedua-dua Kementerian serta badan berkanun, Malaysia berada di landasan yang betul dalam menutup kebimbangan EU tentang amalan industri minyak sawit Malaysia.
Usaha Malaysia untuk mencari jalan untuk meningkatkan produktiviti, terutamanya dalam kalangan pekebun kecil, mesti disokong oleh semua, terutamanya di kalangan syarikat perladangan Malaysia yang lebih besar dan berpengalaman. Industri secara keseluruhan berada di landasan yang betul dan mempunyai masa depan yang cerah.
—-
Penulis adalah Pengarah Urusan, Datametrics Research and Information Centre Sdn Bhd (DARE).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Malaya Newsroom.
One Reply to “Masa depan cerah sektor minyak sawit Malaysia”
Comments are closed.