Animasi Ejen Ali memacu minat STEM dalam kalangan pelajar
Tanpa generasi muda yang berminat dan mahir dalam STEM, cabaran untuk mencapai status negara maju akan menjadi lebih sukar.

MINAT pelajar Malaysia terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin berkurang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut data Kementerian Pendidikan, hanya sekitar 15.2 peratus pelajar memilih aliran sains bagi tahun akademik 2023/2024, manakala lebih 100,000 pelajar gagal dalam subjek sains dan matematik dalam peperiksaan SPM tahun lalu.
Penurunan ini bakal memberi kesan negatif kepada pembangunan negara kerana STEM merupakan tunjang utama dalam memacu kemajuan teknologi dan inovasi.
Tanpa generasi muda yang berminat dan mahir dalam STEM, cabaran untuk mencapai status negara maju akan menjadi lebih sukar.
Satu inisiatif yang dapat dimanfaatkan untuk memupuk minat pelajar terhadap STEM adalah melalui animasi kebanggaan negara iaitu Ejen Ali.
Animasi yang popular ini bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan elemen pendidikan yang mengangkat nilai sains dan teknologi.
Dunia futuristik Cyberaya dalam animasi Ejen Ali menampilkan teknologi canggih yang berasaskan prinsip STEM seperti kecerdasan buatan, robotik dan sumber tenaga boleh diperbaharui iaitu Azurium.
Animasi Ejen Ali memberikan gambaran jelas kepada pelajar bahawa STEM bukan sekadar teori di dalam bilik darjah, bahkan sesuatu yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.
Salah satu elemen teknologi yang diketengahkan dalam filem terbaru Ejen Ali The Movie 2 ialah sut SATRIA iaitu sebuah sut perisai yang menggunakan kecerdasan buatan untuk membantu ejen MATA dalam misi mereka.
Sut ini bukan sahaja boleh berubah bentuk mengikut keperluan pengguna, malah dilengkapi dengan sistem pengesanan dan pertahanan.
Penggunaan teknologi seperti ini dalam animasi memberikan inspirasi kepada pelajar untuk lebih mengenali dan memupuk minat dalam bidang teknologi serta kejuruteraan.
Sudah pasti, selain daripada menonton animasi Ejen Ali, peranan ibu bapa dan guru juga sangat penting dalam memupuk minat para pelajar terhadap STEM.
Ibu bapa dan guru digalakkan untuk menerangkan konsep teknologi secara mudah dan relevan dalam kehidupan seharian dengan cara membawa anak-anak ke pameran sains, menyokong mereka menyertai pertandingan inovasi dan melibatkan diri dalam aktiviti universiti yang berkaitan STEM.
Pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan pemahaman pelajar, malah memberi mereka peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan dunia sains dan teknologi.
Seterusnya, Ejen Ali juga membuka ruang perbincangan dalam keluarga dan sekolah tentang kepentingan nilai integriti, tanggungjawab sosial dan etika dalam penggunaan teknologi.
Perkara ini amat penting kerana kemajuan teknologi perlu disertai dengan kesedaran moral agar tidak disalahgunakan.
Animasi Ejen Ali mengajar pelajar bahawa menjadi seorang saintis atau jurutera bukan sahaja tentang kepintaran tetapi juga perlu dilengkapi dengan sikap bertanggungjawab dan beretika.
Dengan tayangan filem terbaru Ejen Ali The Movie 2 yang mendapat tempat dalam hati rakyat Malaysia, harapan tinggi diletakkan agar animasi ini terus menjadi sumber inspirasi dan pencetus minat STEM dalam kalangan generasi muda tanah air.
Filem ini memaparkan teknologi yang lebih canggih dan kisah yang lebih mendalam, sekali gus menarik lebih ramai pelajar untuk melihat STEM sebagai bidang yang menyeronokkan dan penuh potensi untuk masa hadapan.
Secara keseluruhannya, animasi Ejen Ali merupakan sebuah medium hiburan yang perlu dimanfaatkan sebagai intervensi memupuk minat STEM dalam kalangan para pelajar.
Dengan sokongan ibu bapa, guru dan komuniti, kita boleh memastikan generasi akan datang lebih bersedia untuk menghadapi cabaran teknologi masa depan.
Jom bersama memupuk minat STEM dalam kalangan para pelajar dengan cara yang menyeronokkan dan bermakna. Bertindak segera!
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.