Taylor’s Education Group perkukuh komitmen iklim

Di 10 institusi pendidikannya yang merangkumi tujuh kampus dan tiga sekolah antarabangsa di Malaysia, Singapura dan Vietnam.

Poster Terkini

SUBANG JAYA, 10 Jun 2025 – Taylor’s Education Group (TEG) melangkah lebih agresif dalam memacu agenda kelestarian menerusi pelaksanaan komprehensif prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di 10 institusi pendidikannya yang merangkumi tujuh kampus dan tiga sekolah antarabangsa di Malaysia, Singapura dan Vietnam.

Pengumuman terkini itu dibuat pada Festival ESG Taylor’s bertemakan ‘Memupuk Impak: Membentuk Budaya Melalui Tindakan’ yang berlangsung di Kampus Lakeside Taylor’s University baru-baru ini, sekali gus menandakan komitmen baharu kumpulan pendidikan terkemuka itu dalam mengintegrasikan kelestarian merentas tiga dimensi utama iaitu operasi, pedagogi dan ekosistem kampus.

Pendidikan Sebagai Tonggak Ketahanan Iklim

Inisiatif terkini TEG itu selari dengan temuan utama Laporan UNESCO 2024 bertajuk Education and Climate Change: Learning to Act for People and Planet yang menggariskan peranan kritikal sektor pendidikan dalam membina ketahanan terhadap perubahan iklim.

Menurut laporan berkenaan, walaupun pendidikan merupakan enjin utama pembangunan lestari, sektor itu masih belum mendapat keutamaan dalam perancangan tindakan iklim kebangsaan.

Lebih membimbangkan, perubahan iklim telah mengganggu secara langsung operasi pendidikan global dengan 75 peratus bencana berkaitan iklim di negara berpendapatan sederhana dan rendah dalam dua dekad lalu mengakibatkan penutupan institusi pendidikan.

“Di Malaysia, kita menyaksikan kesan nyata perubahan iklim melalui kejadian banjir besar, jerebu teruk dan gelombang haba yang semakin kerap. Kejadian-kejadian ini bukan sahaja mengganggu operasi sekolah tetapi turut mendedahkan kelemahan sistem pendidikan kita dalam menghadapi krisis iklim,” kata Pengerusi TEG, Datuk Loy Teik Ngan.

Kerangka Atrategik TEG 2025-2030

TEG telah membangunkan kerangka ESG tiga dimensi yang bakal dilaksanakan di semua institusi bawah naungannya:

1. Sistem Pengukuran Impak Bersepadu
– Pelancaran papan pemuka digital real-time bagi memantau jejak karbon setiap kampus
– Penyepaduan data karbon operasi dengan kurikulum pembelajaran
– Pensijilan EDGE (Excellence in Design for Greater Efficiencies) untuk bangunan kampus

2. Transformasi Fizikal Kampus

Inisiatif Bilik Darjah Hijau:
– Penggantian 100% perabot dengan bahan kitar semula menjelang 2026
– Pemansuhan penggunaan plastik sekali guna di semua kafeteria kampus
– Program Forest Walk oleh Nexus International School sebagai model pembelajaran alam sekitar

Mobiliti Lestari:
– Peralihan kepada kenderaan kampus elektrik 100% menjelang 2030
– Penambahan 50 titik pengecasan EV di semua lokasi strategik kampus
– Sistem kongsian bas elektrik antara kampus

Pengurusan Tenaga:
– Pemasangan 10,000 panel solar di Taylor’s University
– Pelaksanaan Sistem Simpanan Tenaga Terma (TES) untuk pengurusan beban puncak
– Penggunaan teknologi IoT untuk pengoptimuman penggunaan utiliti

3. Pembudayaan Kelestarian Organisasi
– Penggubalan Dasar Perolehan Hijau yang mewajibkan 30% pembelian daripada pembekal mampan
– Program pensijilan dalaman “ESG Champion” untuk kakitangan
– Integrasi modul ESG wajib dalam semua program pengajian

Pendidikan Sebagai Pemangkin Perubahan

“Kami melihat institusi pendidikan sebagai tapak semaian utama untuk membentuk pemikiran generasi akan datang. Melalui pendekatan holistik ini, kami bukan sekadar mengurangkan jejak karbon operasi, tetapi membentuk minda yang menjadikan kelestarian sebagai cara hidup,” tambah Teik Ngan.

Beliau menekankan komitmen TEG terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim).

Festival ESG: Wadah Perbincangan dan Inovasi

Festival ESG Taylor’s yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan penyertaan 230 wakil dari pelbagai sektor, termasuk:
– 45 institusi pendidikan
– 30 syarikat korporat
– 15 pertubuhan bukan kerajaan
– 20 perusahaan sosial

Acara kemuncak festival termasuk:
– Sesi panel ‘Membentuk Masa Depan Regeneratif’ yang menampilkan pakar ESG dari CIMB Bank, Pos Malaysia dan ESGpedia
– Pameran Impact Bazaar mempamerkan 40 inisiatif kelestarian pelajar
– Bengkel reka bentuk penyelesaian iklim secara kolaboratif

“Festival ini bukan sekadar forum diskusi tetapi platform tindakan kolektif. Setiap idea yang dihasilkan akan dilaksanakan di kampus-kampus TEG sebagai projek perintis,” kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa ESG TEG, Karl Engkvist.

Masa Depan Kelestarian Pendidikan Serantau
Dengan pelaksanaan strategi ESG ini, TEG menjangkakan pengurangan:
– 45 peratus jejak karbon operasi menjelang 2027
– 60 peratus penggunaan tenaga tidak boleh diperbaharui menjelang 2030
– 80 peratus sisa kampus menjelang 2028

“Impian kami besar adalah untuk menjadikan setiap kampus TEG sebagai living lab kelestarian yang bukan sahaja mencapai sifar bersih, tetapi aktif memulihara ekosistem,” kata Teik Ngan.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif ESG TEG, layari https://esg.taylorsedu.my