Debat Piala TNC UM platform perkasa pemikiran kritis mahasiswa

Penganjuran debat ini turut bertujuan mencungkil bakat serta melahirkan pelapis baharu.

Feature Image (4)

KUALA LUMPUR, 11 Januari 2026 — Majlis Orator Universiti Malaya (MORUM) berjaya menganjurkan Debat Piala Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bagi sesi 2025/2026 sebagai inisiatif berimpak tinggi dalam memperkukuh budaya intelektual, pemikiran kritis, kemahiran komunikasi serta diskusi ilmiah secara sihat dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaya baru-baru ini.

Penganjuran debat berkenaan turut bertujuan mencungkil bakat serta melahirkan pelapis baharu yang berpotensi mewakili Universiti Malaya ke pertandingan debat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Program itu dilaksanakan dalam tiga kategori bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, sekali gus menghimpunkan peserta daripada pelbagai kolej kediaman serta cawangan lain Universiti Malaya, menjadikannya sebagai medan wacana ilmiah berprestij di peringkat universiti.

Pertandingan tersebut berlangsung selama dua hari bermula 3 hingga 4 Jan 2026, dengan pusingan awal diadakan di sekitar Kompleks Ambang Asuhan Jepun dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, manakala peringkat akhir kategori Bahasa Melayu serta Majlis Penutupan berlangsung di Auditorium Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya.

Dalam pertandingan akhir kategori Bahasa Melayu, pasukan Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman (ASTAR) muncul sebagai juara selepas menewaskan pasukan Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (ROYAL) apabila usul ‘Demi menjamin kerelevanan Universiti Malaya, Dewan ini menggesa agar struktur kurikulum major dan minor dikembalikan semula’ diterima oleh empat daripada tujuh dewan.

Faris Rezky daripada perwakilan pembangkang dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Akhir bagi kategori Bahasa Melayu.

Bagi kategori Bahasa Inggeris, pasukan Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman (ASTAR) turut dinobatkan sebagai juara, manakala kategori Bahasa Arab dimenangi pasukan ALPHA.

Pendebat terbaik bagi setiap kategori turut diumumkan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan individu dalam pertandingan berkenaan.

Majlis Penutupan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya, Profesor Dr. Zamri Radzi, yang menzahirkan rasa bangga terhadap penganjuran program tersebut yang disifatkan berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa budaya debat dan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa universiti itu.