Liturgi kuasa di tengah bayang-bayang perang Asia Barat
Ia memberi satu gambaran simbolik yang kuat bahawa Donald Trump tidak sekadar memegang kuasa duniawi, tetapi juga berada di bawah payung doa ilahi.

DI tengah gemuruh geopolitik yang menggoncang Asia Barat, satu babak penuh simbolik berlangsung di pusat kuasa dunia. Pada 5 Mac 2026, ketika Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Donald Trump mengisytiharkan tindakan ketenteraan terhadap Iran, Pejabat Oval di Rumah Putih berubah seketika daripada ruang politik dan strategik negara kepada ruang ritual keagamaan.
Sekumpulan pastors dan pemimpin Kristian dilihat berdiri mengelilingi presiden. Tangan mereka memegang belakang Presiden, kepala tertunduk, mata terpejam dan doa dipanjatkan dengan penuh kesungguhan. Seorang pastor kedengaran memohon agar Tuhan mencurahkan perlindungan kepada presiden, menguatkan kepimpinannya dan menjaga tentera Amerika yang sedang berhadapan dengan konflik perang di Asia Barat.
Rakaman itu dimuat naik oleh penasihat komunikasi Rumah Putih, Margo Martin, lalu tersebar pantas di media sosial. Adegan itu segera menjadi bahan jenaka di media sosial. Ramai yang mentertawakannya sebagai drama politik dan teater keagamaan terbaru Rumah Putih era Trump.
Namun bagi mereka yang meneliti sejarah dan falsafah agama, babak tersebut jauh lebih dalam daripada sekadar ritual doa. Ia adalah gambaran tentang bagaimana agama, kuasa dan geopolitik saling berjalinan dan berselirat dalam satu jaringan kompleks yang menggambarkan juga suatu hubungan yang telah lama menjadi denyut nadi budaya politik Amerika Syarikat.
Apabila agama menjadi bahasa politik
Dalam seni politik moden, simbol sering kali lebih berkuasa daripada kata-kata dan dalam hal ini, Trump menunjukkan kecekapannya yang mampu membaca denyut psikologi masyarakat beragama Amerika. Trump cukup memahami bahawa dalam jiwa politik Amerika, agama bukan sekadar kepercayaan peribadi, ia adalah bahasa moral yang memberi makna kepada kepimpinan. Dengan membenarkan doa dipanjatkan di Pejabat Oval, beliau tidak sekadar mendakwa menerima sokongan spiritual, beliau sedang membingkai kepimpinannya dalam naratif suci atau sakral.
Di sinilah politik bersinggungan dengan agama. Bagi Trump, kehadiran pastors yang mengelilinginya seperti ‘lingkaran pelindung rohani’. Ia memberi satu gambaran simbolik yang kuat bahawa beliau tidak sekadar memegang kuasa duniawi, tetapi juga berada di bawah payung doa ilahi.
Namun hubungan ini tidak bersifat sehala. Jika presiden memperoleh legitimasi moral daripada agama, kelompok agamawan pula memperoleh sesuatu yang tidak kurang pentingnya iaitu akses langsung ke jantung kuasa negara. Dalam bahasa metafora politik, mereka tidak sekadar mengetuk pintu Rumah Putih.
Mereka melangkah masuk dengan permaidani merah, memasuki ruang yang biasanya hanya terbuka kepada diplomat, jeneral dan penasihat strategik. Di sinilah kita melihat simbiosis yang halus antara agama dan politik, presiden memerlukan aura yang sakral lagi suci untuk legitimasi, sementara para agamawan memperoleh peluang untuk mempengaruhi arah sejarah pasca moden Amerika tetapi hubungan ini tidak lahir secara tiba-tiba. Ia berakar jauh dalam sejarah panjang Kristian di Amerika.
Amerika dan warisan Kristian
Sejak awal kelahirannya sebagai sebuah negara, Amerika tidak pernah benar-benar terpisah daripada imaginasi agama. Pada abad ke-17, para peneroka Protestan yang menyeberangi Atlantik membawa bersama mereka dua harapan iaitu pertama kehidupan baharu dan kedua visi teologi tentang sebuah masyarakat yang dipilih Tuhan. Golongan Puritan melihat benua baru itu sebagai sebuah “city upon a hill”, sebuah negara di mana masyarakatnya wajar diteladani dunia.
Dari sinilah muncul satu naratif nasional yang amat kuat bahawa Amerika bukan sekadar sebuah negara tetapi sebuah projek besar dalam sejarah yang dipercayai mempunyai tujuan yang baik untuk dunia. Perlembagaan Amerika menegaskan pemisahan jelas antara gereja dan negara. Namun, roh keagamaan tetap meresap ke dalam simbol-simbol kebangsaan. Ungkapan “In God We Trust” dicetak pada mata wang, manakala frasa “one nation under God” bergema dalam ikrar kesetiaan rakyat.
Maka doa di Pejabat Oval bukanlah anomali. Ia adalah pantulan kepada sejarah panjang agama yang berfungsi sebagai bahasa moral bagi negara. Namun pengaruh agama dalam masyarakat Amerika tidak hanya hadir dalam bentuk simbol. Ia juga membentuk budaya sosial yang lebih mendalam.
Etika kerja dan roh spiritual kapitalisme
Max Weber dalam karya klasiknya The Protestant Ethic and the Spirit of Capitalism, mengemukakan satu tesis bahawa semangat kapitalisme moden tidak dapat difahami tanpa memahami etika keagamaan Protestan. Menurut Weber, tradisi Protestan menanamkan nilai disiplin, kerja keras dan tanggungjawab moral. Kejayaan duniawi tidak sekadar dilihat sebagai hasil usaha manusia tetapi ditafsirkan sebagai tanda keberkatan dari Tuhan. Nilai inilah yang membentuk budaya Amerika di mana sebuah masyarakat yang melihat kepimpinan, kejayaan dan kemakmuran sebagai sebahagian daripada seruan agama.
Dalam konteks ini, seorang presiden bukan sekadar pentadbir negara. Dia juga dilihat sebagai individu yang memikul amanah moral agama bagi seluruh bangsa. Namun dalam beberapa dekad kebelakangan ini, hubungan antara agama dan politik di Amerika tidak sekadar kekal, malah menjadi semakin kukuh dengan kemunculan satu kekuatan sosial yang amat berpengaruh iaitu gerakan Kristian Evangelikal.
Evangelikal sebagai kuasa rohani dalam demokrasi Amerika
Dalam landskap politik Amerika moden, kelompok Kristian Evangelikal merupakan salah satu blok pengundi yang paling berpengaruh. Gerakan ini menekankan kedudukan Bible sebagai sumber utama ajaran, kepentingan pengalaman iman yang bersifat peribadi dengan Tuhan serta tanggungjawab moral untuk mempertahankan nilai Kristian dalam masyarakat. Sejak era 1980-an, mereka telah muncul sebagai suatu kekuatan politik yang mampu menentukan arah pilihan raya di negara ini.
Dalam konteks ini, hubungan antara Trump dan pemimpin gereja Evangelikal bukan sekadar hubungan simbolik. Ia adalah pakatan strategik yang menggabungkan kuasa politik dengan legitimasi moral-agama. Namun apabila agama semakin rapat dengan pusat adikuasa, persoalan ini menjadi lebih kompleks apabila dilihat kepada konflik geopolitik yang melatarbelakangi doa tersebut.
Asia Barat dan naratif eskatologi
Dalam pemikiran sebahagian Kristian Evangelikal, konflik di Asia Barat tidak dilihat semata-mata sebagai persaingan geopolitik. Ia juga ditafsirkan melalui kerangka eskatologi iaitu kepercayaan tentang peristiwa akhir zaman. Dalam imaginasi teologi ini, sejarah dunia bergerak menuju satu klimaks kosmik yang akan membawa kepada kedatangan semula Jesus (The second coming).
Peristiwa-peristiwa di Asia Barat, khususnya yang melibatkan Israel, Palestin dan negara-negara sekitarnya ditafsirkan sebagai sebahagian daripada perjalanan menuju peristiwa tersebut. Dalam naratif ini, konflik di Palestin dan ketegangan dengan Iran tidak sekadar pertikaian politik tetapi lebih utama dilihat sebagai episod dalam drama kosmik yang lebih besar iaitu sebuah peralihan sejarah dunia yang menuju ke arah Armageddon.
Tafsiran ini tidak mewakili semua penganut Kristian namun, ia tetap memberi kesan kepada imaginasi politik sebahagian masyarakat Amerika. Di sinilah geopolitik bertemu dengan teologi, serta strategi dan dasar negara kadangkala bergaung dengan harapan mesianik akhir zaman.
Liturgi kuasa
Secara umumnya apabila semua perbincangan ini digabungkan, adegan doa di Pejabat Oval adalah satu simbol yang luar biasa kuat. Ia boleh disebut sebagai liturgi kuasa iaitu ritual yang mempertemukan agama, politik dan geopolitik dalam satu ruang yang sama. Trump memperoleh legitimasi moral-agama dari keputusan perangnya, manakala para pemimpin gereja pula memperoleh akses bertaraf elit kuasa negara.
Maka di pejabat ini, di tengah-tengah ruang kerja presiden Amerika Syarikat, doa menjadi bahasa politik dan politik pula memakai jubah sakral hasil ‘restu’ ilahi. Persoalannya, adakah agama sedang membimbing kuasa atau sebaliknya kuasa yang sedang memanfaatkan agama? Persoalan yang kedua, tampaknya lebih nyata kini.

