Patutkah Malaysia naikkan umur persaraan kepada 65 tahun?
Jika Tun Mahathir boleh menjadi PM pada usia 90-an, kenapa Mak Cik Rosnah tak boleh kekal sebagai Ketua Jabatan hingga umur 65 tahun?

KETIKA Malaysia mula-mula memutuskan bahawa umur 60 tahun itu cukup layak untuk ‘gulung tikar’ dan bersiap menuju senja, dunia belum kenal TikTok dan jam loceng masih menjadi simbol tepat waktu.
Namun, sekarang? Ironinya, orang umur 60 sedang mendaki Bukit Kiara dengan penuh semangat, manakala yang berumur 30-an baru naik tangga dua tingkat sudah semput.
Persoalan trilion ringgit pun timbul:
Patutkah Malaysia naikkan umur persaraan kepada 65 tahun?
Sebagai seorang pesara profesional dan usahawan yang pernah menjalankan syarikat produk halal dan teknologi di UAE selama hampir dua dekad, saya mengamati persoalan ini dari sudut yang lebih luas, bukan hanya tentang Malaysia tetapi tentang gelombang global yang sedang mengubah makna ‘persaraan’.
1. Kadar Kelahiran Menurun, Tenaga Kerja Mengecil
Malaysia kini mencatatkan kadar kesuburan yang terendah dalam sejarah, trend yang mencerminkan apa yang saya saksikan lebih awal di negara-negara Teluk seperti UAE dan Qatar.
Kita tidak lagi menghasilkan cukup anak untuk menggantikan tenaga kerja sedia ada. Sementara anak muda semakin menangguh perkahwinan atau langsung menolaknya, siapa yang akan mengisi tabung KWSP, SOCSO dan dana ‘nasi kandar’ hari tua kita?
Di UAE, kerajaan sangat agresif melaksanakan strategi automasi dan AI untuk menampung kekurangan buruh tempatan tetapi Malaysia belum sampai ke tahap itu.
Dalam situasi sekarang, kalau kita benarkan orang berumur 60 bersara serentak, siapa yang akan mengambil alih tugas-tugas kritikal negara?
Dulu kita kata: “Orang muda akan ambil alih.” Kini kita tanya: “Siapa? Nama siapa ya?”
2. Usia 60: Bukan Lagi Simbol Lemah
Ramai golongan berusia 60-an hari ini bukan sahaja sihat dan cergas, bahkan lebih cerdas daripada sebahagian besar generasi muda yang cepat penat dan mudah terbeban.
Saya sendiri pernah menyaksikan rakan-rakan sebaya di Dubai yang masih menjadi CEO syarikat antarabangsa pada usia 65 ke atas, bersenam setiap pagi dan berucap di pentas-pentas dunia dengan yakin dan jitu.
Apa yang saya lihat pula dalam kalangan anak muda, bukan semua tetapi cukup ramai ialah keluh-kesah tanpa putus, masalah kesihatan mental, penyakit kronik sejak usia 20-an dan sindrom ‘burnout’ seawal tahun pertama bekerja.
Realitinya: Pakcik Pesara lebih sihat daripada Ketua Media Sosial umur 28 tahun. Maka, wajarkah kita terus anggap umur 60 sebagai titik akhir produktiviti?
3. Kos Sara Hidup Tidak Mengenal Usia
Sewaktu saya mula bekerja di Arab Saudi dan UAE pada tahun 2000, nilai sejuta ringgit terasa seperti impian besar tetapi hari ini? Ia tidak cukup untuk bayar rumah, kereta dan yuran ijazah sarjana, apatah lagi untuk hidup 25 tahun selepas bersara.
Cuba fikirkan:
– Kita masih menyara ibu bapa yang uzur.
– Anak-anak belum keluar rumah walau dah cecah umur 35.
– Kita bayar langganan Netflix, Disney+ dan keahlian gim yang tak pernah dikunjungi.
Dengan inflasi yang mencanak dan kestabilan ekonomi yang tidak menentu, ramai pesara termasuk saya tidak benar-benar ‘bersara’. Ramai kembali bekerja sambilan, menjadi jurulatih, penceramah, peniaga kecil-kecilan di Shopee atau bahkan menjual sambal buatan sendiri secara online.
Persaraan hari ini bukan lagi tempoh rehat, ia fasa baharu untuk mencari sumber pendapatan yang fleksibel.
4. Kalau Perdana Menteri Pun 90-an Masih Bekerja…
Ini bukan satira politik. Malaysia pernah mempunyai Perdana Menteri berumur lebih 90 tahun yang masih menghadiri sidang media, menandatangani dasar dan menyertai mesyuarat kabinet.
Dalam pengalaman saya di UAE, ramai penasihat kanan dalam kementerian dan sektor swasta berumur lebih 70 tahun tetapi kekal dihormati dan relevan kerana kepakaran mereka.
Jika Tun Mahathir boleh menjadi PM pada usia 90-an, kenapa Mak Cik Rosnah tak boleh kekal sebagai Ketua Jabatan hingga umur 65 tahun?
Kita perlu akui, usia hanyalah angka kecuali dalam aplikasi temu janji dan dasar persaraan kerajaan.
Perbandingan Global: Apa yang Negara Lain Lakukan?
Mari kita lihat beberapa negara lain yang sudah lama meninggalkan idea ‘bersara pada usia 60 tahun’.
Jepun – Dengan kadar kelahiran sangat rendah dan warga emas membentuk lebih 28 peratus populasi, Jepun bukan sahaja menaikkan umur persaraan secara beransur ke-65, bahkan menggalakkan pekerjaan fleksibel untuk warga emas. Di stesen kereta api dan restoran, pekerja berumur 70 tahun bukan pemandangan luar biasa.
Jerman – Umur persaraan rasmi ialah 67 tahun dan kerajaan memperkenalkan sistem anjal untuk mereka yang mahu terus bekerja sambil menerima sebahagian pencen.
New Zealand – Tempat saya menuntut ilmu dahulu, tidak mengenakan umur wajib bersara. Ramai pesara memilih untuk terus bekerja, terutama dalam bidang akademik dan sosial, dengan sokongan penuh kerajaan.
UAE – Walaupun sektor kerajaan mengehadkan umur persaraan warga tempatan, sektor swasta dan multinasional tidak menetapkan umur persaraan tetap. Ramai ekspatriat termasuk saya dulu meneruskan kerjaya profesional sehingga berusia 65 tahun, malah ada yang mencecah 70 tahun, terutama jika membawa kemahiran unik dan pengalaman tinggi.
Jadi, Wajar Atau Tidak Umur Persaraan Dinaikkan?
Saya berpendapat, ya tetapi dengan pendekatan berfasa dan bijaksana.
1. Kekalkan fleksibiliti. Bukan semua orang mahu atau mampu bekerja selepas 60 tahun. Yang sihat, berpengalaman dan ingin terus menyumbang, berilah peluang dan galakan.
2. Bina semula persepsi. Persaraan bukan ‘penghujung jalan’. Ia fasa kedua kehidupan. Bukan untuk bersendirian di rumah tetapi untuk terus menyumbang secara bermakna dalam komuniti, dalam industri, dalam keluarga.
3. Manfaatkan kemahiran dan hikmah warga emas. Ramai daripada kami mempunyai pengalaman yang tidak dapat diganti oleh AI atau anak muda berkelulusan Ivy League. Pengalaman bukan boleh dimuat turun atau dibeli di Shopee.
Akhir Kata: Jangan Takut Umur, Takutlah Pengabaian Potensi
Jika umur persaraan kekal 60 tahun, mengapa 75 peratus ahli Dewan Negara masih berkhidmat selepas umur tersebut? Mengapa lebih 30 peratus Ahli Parlimen juga melepasi usia itu? Bahkan Perdana Menteri dan dua Timbalan Perdana Menteri kita, kalau dijumlahkan usia mereka melebihi 200 tahun!
Kalau mereka masih dianggap layak memimpin negara, kenapa tidak rakyat biasa yang mahu terus bekerja dan menyumbang?
Kita tidak perlu mencipta masyarakat yang menolak usia tua tetapi membina budaya yang meraikan umur sebagai aset, bukan beban.
Ini adakah kerana yang lebih menakutkan daripada menjadi tua ialah bila sebuah negara tidak tahu menghargai warga emasnya dan bila tiba giliran anak-anak kita pula bersara, apakah sistem yang mereka warisi nanti? Harapan? Atau beban?
—