UM anjur Program HeLP-PPR perkasa ilmu kesihatan komuniti bandar

Program ini menggantikan konsep ceramah tradisional kepada pendekatan berasaskan reruai, permainan, kuiz serta demonstrasi mencuci tangan yang lebih menyeronokkan dan mesra komuniti.

Feature Image (1)

Oleh NORHIDAYU SAHIMIN, NABILA ABU BAKAR

KUALA LUMPUR, 11 September 2025 – Universiti Malaya (UM) menerusi Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) menganjurkan program khidmat masyarakat Health Literacy Programme for PPR Community (HeLP-PPR) bagi memperkasa ilmu kesihatan dalam kalangan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Program berkonsepkan pendidikan kesihatan interaktif itu berlangsung di dua lokasi PPR iaitu PPR Kampung Baru HICOM, Shah Alam pada 18 Mei lepas dan PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya pada 25 Mei, dengan kerjasama Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM) serta pembiayaan Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), UM.

Pengarah TIDREC Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada pendedahan praktikal dan mudah difahami mengenai penyakit berjangkit yang dekat dengan komuniti bandar, termasuk COVID-19, influenza, denggi, leptospirosis serta penyakit bawaan makanan dan air.

“Program ini menggantikan konsep ceramah tradisional kepada pendekatan berasaskan reruai, permainan, kuiz serta demonstrasi mencuci tangan yang lebih menyeronokkan dan mesra komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hampir 160 penduduk terdiri daripada kanak-kanak, dewasa dan warga emas hadir bagi mengikuti pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan kesihatan.

Sazaly berkata, pendekatan yang santai dan interaktif itu bukan sahaja meningkatkan pengetahuan kesihatan tetapi turut memberi kesedaran mengenai kaitan rapat antara penyakit dan kemiskinan, yang boleh memberi kesan kepada kestabilan ekonomi isi rumah.

Beliau berkata, kejayaan HeLP-PPR membuktikan inisiatif berasaskan komuniti mampu merapatkan jurang ilmu kesihatan dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat bandar.

“TIDREC berharap program ini dapat diperluaskan ke lebih banyak komuniti PPR di seluruh negara bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan pencegahan penyakit,” katanya.