Bina tabiat teknologi baik dari awal, demi produktiviti akan datang
Cuba amalkan tujuh tabiat teknologi di bawah untuk memperoleh sesi pembelajaran yang lebih bijak pada tahun 2026.

DASAWARSA ini, teknologi tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seorang pelajar. Namun demikian, apabila ia digunakan berlandaskan matlamat yang baik lagi jelas, ia boleh meningkatkan kuasa produktiviti berbanding gangguan atau ancaman. Tahun 2025 hampir melabuhkan tirai dan tahun 2026 akan muncul tidak lama lagi. Justeru, cuba amalkan tujuh tabiat teknologi di bawah untuk memperoleh sesi pembelajaran yang lebih bijak pada tahun 2026.
Pertama, jadualkan sesi kerja yang berfokus. Penumpuan tinggi perlu diadaptasi dalam sesi ini. Notifikasi pada telefon pintar dimatikan dan kekal bersama sesi berfokus ini selama 45 hingga 90 minit. Tumpuan yang dalam dan tanpa gangguan boleh melahirkan pembelajaran yang lebih baik berbanding melakukan banyak kerja tetapi bertaburan. Seperti tercatat pada laman sesawang Goodreads, ‘bila apa yang penting itu jelas, ia memberi idea yang jelas tentang apa yang tidak penting’.
Kedua, guna pendekatan Kotak Masa dan disertai dengan teknik Pomodoro. Lakukan kerja berfokus tanpa gangguan notifikasi peranti untuk tempoh selama 25 hingga 50 minit, kemudian pergi berehat sebelum menjalankan tugas seterusnya. Ada satu kajian yang diterbitkan pada tahun ini dalam jurnal BMC Medical Education, menyimpulkan bahawa kaedah Pomodoro dapat meningkatkan fokus dan mengurangkan kepenatan mental. Cuba lakukan pola pecahan 25/5 atau 50/10 dan sesuaikan dengan tempoh tumpuan masing-masing.
Ketiga, guna pakai peraturan ‘satu peranti, satu kerja’ sekiranya boleh. Sebenarnya, telefon pintar boleh menjadi sangat berguna dalam sesi pembelajaran kerana ia boleh menyediakan pelbagai perkhidmatan dan pantas untuk digunakan. Walau bagaimanapun, perhatian dalam kelas mudah terganggu apabila rakan lain menggunakan peranti untuk tujuan lain dan akhirnya, tidak dapat memahami topik yang diajar oleh guru. Cuba jadikan satu peranti untuk satu tujuan, contohnya, tablet untuk membaca dan pada masa yang sama, telefon pintar dalam mod Jangan Ganggu, supaya tahap fokus dapat dikekalkan bagi tempoh tertentu.
Keempat, selia dengan baik persekitaran pembelajaran digital. Susun fail-fail dalam storan awan, konsisten dalam menamakan fail dan guna aplikasi pengurusan kerja yang mudah seperti Google Calendar. Tabiat penyusunan yang mudah ini dapat mengurangkan pembaziran masa untuk mencari nota dan dapat mengulangkaji pelajaran dengan berkesan.
Kelima, aturkan waktu malam digital yang lebih baik. Penggunaan berlebihan pada lewat malam memberi kesan tidak baik kepada tidur dan kesejahteraan diri. Laporan kebangsaan menerangkan menatal sosial media terlalu lama boleh menjejaskan kesihatan mental. Amalkan untuk tutup peranti 30 atau 60 minit sebelum waktu tidur kerana ia boleh meningkatkan kualiti tidur dan sekaligus, memberi kesan positif kepada kehidupan esok harinya.
Keenam, belajar untuk membuat nota ringkas dengan aktif. Guna aplikasi digital seperti PDF atau aplikasi nota lain untuk menyenarai soalan, rumusan dan ujian kendiri. Nota ringkas sebegini boleh membina isyarat pencarian data yang pantas dalam memori berbanding membaca semula secara pasif.
Yang terakhir sekali, ketujuh, gunakan teknologi dengan tujuan yang jelas untuk mewujudkan pembelajaran yang aktif. Dasar Pendidikan Digital Malaysia menggalakkan para guru untuk mengintegrasikan kemahiran dan aplikasi digital bagi meningkatkan hasil pembelajaran, bukan setakat mendigitalkan amalan konvensional. Cuba satukan pedagogi dengan teknologi yang betul seperti aplikasi kuiz yang ada ciri pengulangan berjarak, untuk melihat kesan kepada memori para pelajar.
Para pakar menyokong tabiat teknologi yang praktikal seperti di atas. Seperti yang ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, para pelajar perlu disiapkan dengan kecekapan digital dan jurang capaian dan kemahiran antara pelajar-pelajar di luar bandar dan bandar perlu ditutup dengan segera. Oleh itu, tabiat digital yang baik perlu diajar dan dikongsi bersama para pelajar dan ianya perlu disokong oleh dasar yang selari dan kemudahan yang lengkap.
Bagi para ibu bapa dan pendidik, bagaimana untuk menggalakkan tabiat digital ini? Antaranya ialah menunjukkan teladan rutin digital yang baik di rumah dan di dalam kelas, menyediakan ruang belajar yang kondusif dan aman, selain daripada memantau penggunaan peranti anak-anak, termasuk mengajar mereka menyelesaikan kerja-kerja digital dengan konsisten. Di peringkat pentadbiran sekolah, guru-guru perlu diberi latihan berkaitan pedagogi digital supaya mereka dapat menggunakan aplikasi bagi tujuan pembelajaran yang lebih berkesan, bukan sebagai gangguan atau bebanan kepada para guru.
Secara ringkasnya, produktiviti kita tidak datang daripada berapa banyak aplikasi yang kita gunakan tetapi daripada tabiat yang bijak seperti tumpukan perhatian, aturkan masa dengan teliti, susun jadual kehidupan dan guna teknologi dengan tujuan yang jelas dan betul. Apabila para pelajar mempunyai tabiat belajar yang sistematik dan disokong dengan penggunaan teknologi yang bijak, ia akan mewujudkan sesi pembelajaran yang lebih baik dan kurang tekanan.

