UM bantu bina kebun komuniti lestari di PPR Kampung Limau

Penduduk mengaplikasikan perkongsian ilmu melalui projek kebun komuniti yang dimulakan sejak sebulan lalu.

Penduduk menyediakan tapak semaian dengan baja kompos yang disediakan (3)

SEBUAH perkongsian ilmu penanaman telah dirasmikan oleh sekumpulan penyelidik bertempat di salah sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Limau.

Program yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah itu diadakan pada 25 Januari 2025. Program itu turut dihadiri oleh 14 warga kebun komuniti, dua penceramah jemputan, dua pembantu penyelidik dan enam pelajar bagi memeriahkan upacara perasmian.

Program yang berlangsung selama dua jam itu berbesar hati untuk menjemput penceramah bertauliah dari Universiti Malaya bagi berkongsi ilmu berkenaan kepentingan pelaksanaan kebun komuniti di tengah bandar raya.

Selain itu, ia juga medan bagi penduduk untuk mengetahui teknik yang sesuai bagi menguruskan sisa organik, seterusmya membangunkan kebun komuniti.

Pendekatan ini bertujuan memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang kurang berpengalaman, dapat terlibat secara langsung.

Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan program kebun komuniti dirancang di setiap PPR dapat direalisasikan dengan jayanya.

Selain itu, kajian awal dari 52 atau 96.2 peratus orang penduduk PPR yang ditemuramah juga mendapati kebun komuniti ini sangat penting demi kesejahteraan dan pengukuhan ekonomi mereka.

Justeru, penduduk PPR mengaplikasikan perkongsian ilmu itu melalui projek kebun komuniti yang telah dimulakan sejak sebulan lalu.

Ia dibangunkan dengan keluasan minimum iaitu 30 meter persegi dan penglibatan 14 peserta yang berminat. Projek enam bulan ini mendapat bantuan sepenuhnya dari Pusat Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya.

Sebagai penyumbang dana utama, ia merupakan satu inisiatif hijau yang kini menjadi pencetus dan harapan untuk penduduk setempat dalam mengamalkan gaya hidup lestari, meningkatkan kualiti hidup dan memupuk semangat kejiranan.

Projek ini tidak hanya bertujuan untuk mewujudkan kawasan hijau dalam persekitaran bandar tetapi juga menggalakkan amalan berkebun yang mesra alam. Usaha ini membawa manfaat besar dari sudut sosial, ekonomi dan alam sekitar, terutamanya dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah.

Kebun komuniti PPR Kampung Limau

Di sebalik pembangunan kota yang semakin pesat berkembang, kebun komuniti ini berjaya membawa perubahan positif kepada kehidupan harian penduduk.

“Aktiviti seperti menanam sayur-sayuran seperti sawi, kangkong, bayam bukan sahaja menghasilkan sumber makanan segar, malah menjadi terapi semula jadi yang meredakan tekanan kehidupan bandar,” kata salah seorang penduduk yang aktif dalam projek ini, Mohd Subti.

“Berkebun memberikan kami rasa tenang. Setiap kali melihat tanaman tumbuh subur, kami berasa bangga kerana berjaya menjaga alam sekitar disamping dapat menyumbang kepada ekonomi keluarga.

“Selain itu, kebun komuniti ini turut menjadi platform untuk mendidik penduduk tentang amalan pengurusan sisa organik seperti kompos. Teknik ini membantu mengurangkan pembuangan sisa ke tapak pelupusan dan menyuburkan tanah secara semula jadi,” katanya.

Cabaran di sebalik inisiatif hijau

Namun, di sebalik inisiatif ini, terdapat cabaran yang perlu diatasi. Kekurangan dana menjadi isu utama, di samping kesukaran mendapatkan bahan berkebun seperti baja organik, alat berkebun dan benih. Tambahan pula, sebahagian penduduk kurang berkeyakinan untuk melibatkan diri kerana kekangan masa dan pengetahuan.

“Sokongan komuniti sangat penting. Dengan dana yang mencukupi dan latihan yang berterusan, kami yakin kebun ini boleh berkembang lebih jauh,” kata wakil Majlis Perwakilan Penduduk, Nizam.

Bagi memastikan projek kebun komuniti ini terus berkembang, kerjasama berterusan dengan pelbagai pihak amat diperlukan.

Sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan syarikat swasta dapat memastikan aliran dana yang stabil, manakala penglibatan konsisten pakar hortikultur dan sukarelawan membolehkan penduduk memperoleh ilmu serta kemahiran berkaitan secara berterusan.

Di samping itu, program latihan yang dilaksanakan secara berkala dapat meningkatkan keyakinan penduduk dalam mengamalkan teknik pertanian lestari secara mandiri.

Bengkel yang memberi fokus kepada penjagaan tanaman, pengurusan sisa organik dan teknik berkebun dalam ruang terhad boleh membantu komuniti mengoptimumkan hasil kebun mereka.

Bagi memastikan keberkesanan projek ini, satu sistem pemantauan dan penilaian boleh diwujudkan. Pemeriksaan berkala, penilaian hasil tanaman serta pengumpulan maklum balas daripada penduduk akan membantu dalam menambah baik pelaksanaan kebun komuniti ini, memastikan ia kekal berdaya maju dan memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.

Manfaat berpanjangan untuk komuniti

Kebun komuniti ini bukan sekadar landskap hijau dalam kawasan bandar tetapi juga pemangkin perubahan kepada kehidupan penduduk. Selain menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, ia turut memperkukuh hubungan sosial dalam komuniti.

“Melalui kebun ini, kami belajar untuk bekerjasama dan saling membantu. Ia membina hubungan kejiranan yang lebih erat,” kata salah seorang penduduk dan peserta program, Norina.

Projek ini juga membuktikan bahawa amalan kecil seperti berkebun boleh membawa impak besar. Selain mengurangkan jejak karbon melalui penggunaan kompos, ia turut menyumbang kepada kecukupan makanan, terutamanya dalam kalangan komuniti yang semakin terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Dengan sokongan semua pihak, projek kebun komuniti di PPR Kampung Limau berpotensi menjadi pemangkin untuk kawasan perumahan kos rendah lain di seluruh negara.

Pendekatan holistik yang melibatkan pendidikan, kerjasama komuniti dan sokongan berterusan boleh memastikan projek ini kekal mampan.

“Kami berharap kebun ini bukan sahaja menjadi tempat bercucuk tanam tetapi juga simbol harapan dan usaha bersama untuk masa depan yang lebih hijau,” ujar Nizam lagi.

Projek ini jelas membuktikan bahawa dengan perancangan yang teliti, komitmen komuniti, dan sokongan bersepadu, kehidupan yang lebih lestari dan harmoni dapat dicapai di tengah kesibukan bandar.