Membersih hati dan paru-paru pada Ramadan

Laporan Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 menunjukkan peningkatan ketara penggunaan rokok elektronik

Feature Image

Oleh: ANIS SOFIAH ZOLKHARNAIN dan DR. MOHD. HAFYZUDDIN MD. YUSUF

BULAN Ramadan sering digambarkan sebagai bulan perjuangan. Kita menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa daripada terbit fajar hingga terbenam matahari. Yang menariknya, sepanjang tempoh itu ramai juga yang mampu menahan diri daripada menghisap rokok.

Namun sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang, ada yang terus mencapai kurma dan kemudian menyalakan rokok.

Hakikat ini menunjukkan sesuatu yang penting. Jika seseorang mampu menahan diri daripada nikotin hampir 14 jam sehari sepanjang Ramadan, sebenarnya tubuh dan minda kita sudah mempunyai keupayaan untuk berhenti. Ramadan mungkin peluang terbaik untuk memulakan langkah itu.

Pada masa yang sama, Malaysia kini berdepan satu realiti yang semakin membimbangkan. Laporan Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 menunjukkan peningkatan ketara penggunaan rokok elektronik, khususnya dalam kalangan generasi muda. Prevalens penggunaan vape meningkat daripada 0.8 peratus pada tahun 2011 kepada 5.8 peratus pada tahun 2023, manakala 8.6 peratus individu berumur 15 hingga 24 tahun dilaporkan menggunakannya.

Angka ini memberi gambaran jelas bahawa ketagihan nikotin bukan lagi isu kecil, tetapi cabaran kesihatan awam yang semakin membesar.

Sebagai pakar perubatan kecemasan, Dr. Mohd. Hafyzuddin sering melihat kesan jangka panjang ketagihan nikotin dari sudut klinikal. Otak remaja masih berada dalam fasa perkembangan. Pendedahan kepada nikotin boleh mengubah litar ganjaran dalam otak, menjejaskan kawalan emosi dan tumpuan, serta meningkatkan risiko ketagihan berpanjangan.

Sebagai pelajar perubatan pula, Anis Sofiah melihat satu realiti lain di kalangan rakan sebaya. Ramai yang terpengaruh dengan naratif bahawa vape adalah “lebih selamat” atau sekadar satu trend semasa. Reka bentuk moden, perisa buah-buahan, warna yang menarik dan promosi di media sosial menjadikan vape kelihatan biasa, malah kadangkala dianggap bergaya.

Di sinilah kita perlu jujur bertanya: di manakah silapnya?

Hakikatnya, tiada remaja yang bercita-cita untuk menjadi penagih nikotin. Ramai yang sebenarnya menjadi mangsa strategi pemasaran industri yang sangat terancang.

Menurut Global Tobacco Industry Interference Index 2025, Malaysia memperoleh skor 77 dan berada di kedudukan ke-85 daripada 100 negara, menunjukkan bahawa pengaruh industri tembakau terhadap dasar kesihatan awam masih signifikan. Pada masa yang sama, syarikat multinasional seperti Philip Morris International (PMI) semakin aktif mengembangkan pasaran produk tembakau generasi baharu di negara membangun, termasuk Malaysia.

Oleh sebab itu, usaha pendidikan kesihatan perlu menjadi lebih kreatif dan berkesan.

Atas kesedaran inilah lahirnya Program Henti! Elak! Basmi Asap Tembakau! (H.E.B.A.T.) yang diterajui oleh Universiti Malaya.

Program ini memberi tumpuan kepada pendekatan rakan sebaya kepada rakan sebaya (peer-to-peer) dalam mendidik golongan muda tentang risiko rokok dan vape. Melalui komponen Training of Trainers (ToT), pelajar universiti dilatih memahami sains ketagihan nikotin serta kemahiran komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan mesej kesihatan kepada rakan sebaya mereka.

Pendekatan ini penting kerana mesej yang datang daripada rakan sebaya sering dirasakan lebih dekat, lebih jujur dan kurang menghakimi.

Program ini juga memperkenalkan strategi berhenti merokok yang praktikal melalui kaedah START:

S – Set a quit date: Tetapkan tarikh khusus untuk berhenti.
T – Tell others: Maklumkan kepada keluarga dan rakan untuk mendapatkan sokongan.
A – Anticipate challenges: Bersedia menghadapi gejala seperti keresahan atau keinginan kuat untuk merokok.
R – Remove tobacco: Singkirkan semua produk tembakau dan vape daripada persekitaran.
T – Tell your doctors: Dapatkan bantuan profesional melalui klinik berhenti merokok berhampiran.

Pendekatan ini mudah difahami, praktikal dan berasaskan bukti klinikal.

Kini program H.E.B.A.T. telah berkembang ke beberapa universiti termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Program ini juga pernah dilaksanakan di peringkat antarabangsa, termasuk di Maldives atas jemputan Kementerian Pendidikan negara tersebut.

Di Sabah, misalnya, pendekatan interaktif seperti latihan role-play dan simulasi menolak ajakan merokok membantu pelajar membina keyakinan untuk berkata “tidak”.

Namun usaha seperti ini tidak boleh bergerak secara bersendirian. Ibu bapa, guru, profesional kesihatan dan penggubal dasar perlu berganding bahu untuk memastikan generasi muda tidak terjerumus dalam ketagihan nikotin.

Isu vape bukan sekadar isu kesihatan individu. Ia adalah soal masa depan negara. Setiap remaja yang terperangkap dalam ketagihan nikotin sebenarnya mewakili potensi besar yang mungkin tidak dapat berkembang sepenuhnya.

Ramadan mengajar kita bahawa menahan diri itu mungkin. Jika kita mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari, maka menahan diri daripada rokok juga bukan sesuatu yang mustahil.

Mungkin Ramadan inilah masa terbaik untuk kita bukan sahaja membersihkan hati, tetapi juga membersihkan paru-paru.

* Anis Sofiah Zolkharnain ialah Pelajar Perubatan Tahun 3 di Universiti Malaya dan Dr. Mohd. Hafyzuddin Md. Yusuf ialah Ketua Projek Pelajar H.E.B.A.T merangkap Pensyarah Perubatan di Universiti Malaya.