Ismanira, Zaim Ikhwan mengaku tidak bersalah abai Zayn Rayyan

PETALING JAYA, 13 Jun 2024 – Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kejadian melibatkan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu didakwa berlaku di Apartment Idaman, Damansara Damai, pada 5 Disember tahun lalu.

Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari, masing-masing berusia 29 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Dr Shahliza Warnoh sebentar tadi.

Mengikut pertuduhan, Ismanira dan Zaim Ikhwan didakwa di bawah di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ismanira dan Zaim Ikhwan didakwa kerana telah mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal antara 5 Disember 2023 jam 12 tengah hari dan 6 Disember 2023 jam lebih kurang 9.55 malam, di sekitar kawasan Jalan PJU 10/1 Damansara Damai.

Pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Ku Hayati Ku Haron mencadangkan jaminan RM15,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan memohon kedua-dua tertuduh melaporkan kepada balai polis terdekat setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam mereka, Mahmud Abdul Jumaat dan Fahmi Abd Moin memohon agar kos jaminan dikurangkan kerana kedua-dua tertuduh mengalami tekanan yang melampau dan perlu menampung kos rawatan yang tinggi selain hanya Zaim Ikhwan yang bekerja sebagai penaung tunggal keluarga berkenaan.

“Sejak enam bulan kes ini berjalan kedua-dua tertuduh juga telah memberikan kerjasama yang sangat baik untuk membantu siasatan pihak polis,” kata Mahmud.

Hakim Dr Shahliza membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.

Ini dengan syarat kedua-dua tertuduh lapor diri di balai polis berdekatan rumah pada setiap 1 haribulan selain tidak dibenarkan menganggu saksi-saksi kes sehingga kes selesai.

Mahkamah juga mengenakan larangan kepada pihak-pihak terlibat dalam kes untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sepanjang perjalanan kes tersebut.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes 26 Julai 2024.