Sinergi PTAR UiTM Rembau, SEMENDA pemangkin budaya celik maklumat generasi digital

Program yang berlangsung dalam suasana penuh interaktif itu menyasarkan pengukuhan kemahiran asas penyelidikan, kaedah penilaian sumber maklumat sahih.

Feature Image (2)

Pelajar SEMENDA tekun mempelajari teknik carian maklumat digital yang sahih.

Oleh: AIN EZZATUL AISHAH RUSILA

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 – Dalam usaha mendepani lambakan maklumat tidak sahih pada era digital, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau mengambil langkah proaktif menerusi penganjuran Program Kelas Literasi Maklumat dan Resensi Buku bersama para pelajar SMK Datuk Abdullah (SEMENDA) baru-baru ini.

Program yang berlangsung dalam suasana penuh interaktif itu menyasarkan pengukuhan kemahiran asas penyelidikan, kaedah penilaian sumber maklumat sahih serta memugar semula minat membaca yang kian terhakis dalam kalangan remaja akibat dominasi media sosial.

Tangani Kebanjiran Berita Palsu

Sepanjang sesi Literasi Maklumat dijalankan, para pelajar didedahkan secara praktikal kepada teknik pencarian maklumat berpaksikan formula akademik yang berkesan. Melalui bimbingan langsung, peserta dilatih membedah kesahihan sesuatu sumber berita atau data agar tidak mudah terpedaya dengan sebaran berita palsu di alam maya.

Aiman Syahira menyampaikan panduan resensi buku secara interaktif.

Penceramah utama program yang juga Pustakawan PTAR UiTM Kampus Rembau, Aiman Syahira Abdul Razak menegaskan, literasi maklumat bukan lagi satu kemahiran pilihan, sebaliknya satu keperluan mutlak bagi membentuk modal insan yang berdaya fikir tinggi.

“Pelajar hari ini mempunyai akses tanpa had kepada maklumat, namun kekurangan keupayaan untuk menyaring kandungan yang betul-betul sahih dan berkualiti. Di sinilah peranan PTAR untuk merapatkan jurang tersebut agar mereka mampu menjadi golongan ‘Adiwangsa’ iaitu generasi berilmu tinggi yang bakal memimpin masyarakat dengan landasan fakta, bukan persepsi,” ujar beliau.

Resensi Buku Pupuk Keberanian Berfikir Kritis

Selain kemahiran digital, program turut diserikan dengan Sesi Resensi Buku yang bertujuan membongkar potensi analitikal pelajar. Sesi ini melatih para peserta teknik-teknik mengulas bahan bacaan secara tersusun, meliputi aspek penilaian plot, penyampaian idea, serta impak moral sesebuah naskhah.

Latihan praktikal ini bukan sahaja mengasah pemikiran kritis, malah menjadi medan terbaik dalam membina keyakinan diri pelajar untuk berucap dan melontarkan hujah bernas di hadapan khalayak ramai.

Barisan guru SEMENDA dan warga PTAR UiTM Rembau merakam kenangan bersama para peserta program.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan SEMENDA, Norzaidi Pain menyifatkan program khidmat komuniti seperti ini membawa impak jangka panjang yang sangat positif kepada ekosistem sekolah.

“Inisiatif literasi digital membantu anak-anak didik kami membina benteng akademik, manakala teknik resensi pula memberi mereka suara serta keyakinan untuk mengulas pembacaan mereka secara matang. Kami amat berharap jalinan strategik antara SEMENDA dan UiTM ini dapat terus dikekalkan demi masa depan pendidikan anak bangsa,” kata Norzaidi.

Impak Positif Kolaborasi

Kolaborasi antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah menengah seumpama ini dilihat memberikan impak yang signifikan, termasuk pendedahan awal standard penyelidikan universiti kepada pelajar sekolah dan mengupayakan Peranan Pusat Sumber Sekolah (PSS) dengan pendekatan aktiviti yang lebih segar.

Pihak pengurusan SMK Datuk Abdullah yang turut diwakili oleh Puan Hajar Binti Othman menzahirkan penghargaan tertinggi atas kesudian warga kerja PTAR berkongsi kepakaran dengan pelajar luar bandar. Program diakhiri dengan azam bersama untuk memastikan amalan membaca terus dijadikan gaya hidup, sejajar dengan visi melahirkan generasi celik maklumat yang berintegriti.

* Penulis merupakan Pembantu Pustakawan, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau.