Buli, jenayah dan kezaliman: Dosa yang membinasakan

Setiap insan memerlukan iman yang subur untuk menjaga diri daripada terjerumus dalam melakukan sebarang kejahatan termasuk buli yang mengundang dosa serta merosakkan masa depan.

Feature Image (2)

SESEORANG terdorong untuk melakukan buli, khianat, jenayah atau perkara kemungkaran adalah berpunca daripada lemahnya iman dan rosaknya hati hingga tidak takut dosa melakukan sebarang keburukan.

Kenapa tidak takutkan dosa?. Jawapan pada soalan ini, Rasulullah S.A.W bersabda: “Ketahuilah dalam tubuh manusia ada seketul daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh tubuhnya. Apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.” – HR al-Bukhari dan Muslim

Ini bermakna kestabilan hati adalah pemangkin ke arah kesuburan iman. Setiap insan memerlukan iman yang subur untuk menjaga diri daripada terjerumus dalam melakukan sebarang kejahatan termasuk buli yang mengundang dosa serta merosakkan masa depan.

Bermula daripada didikan keluarga, sekolah dan masyarakat sekeliling, setiap anak perlu diasuh dengan nilai agama, akhlak yang mulia serta contoh teladan yang baik.

Ibu bapa perlu menjadi qudwah hasanah, guru perlu membimbing dengan kasih sayang dan rakan sebaya perlu menjadi penguat kepada kebaikan, bukan penarik kepada keburukan.

Islam ada cara yang sangat berkesan untuk iman benar-benar meresap ke dalam diri manusia iaitu melalui proses penyucian jiwa (hati) ‘tazkiyatun nafs’.

Proses ini bermula daripada membersihkan hati daripada sifat mazmumah seperti sombong, hasad dengki, benci, suka menghina, pentingkan diri, marah dan takabbur serta menghiasinya dengan sifat mahmudah seperti sabar, syukur, tawaduk, sabar dan kasih sayang serta takut pada azab akhirat.

Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata: “Hati itu ibarat cermin. Jika ia berkarat dengan dosa, maka ia tidak dapat memantulkan cahaya kebenaran. Tazkiyatun nafs adalah menggilap hati agar ia kembali jernih dan mampu menerima hidayah Allah.”

Jiwa seseorang yang bersih, akan menzahirkan pelbagai kebaikan. Baik tutur kata, keputusan dan tindakan akan dipandu oleh nilai iman dan takwa. Masyarakat yang dipimpin oleh hati yang suci akan melahirkan generasi yang amanah, saling menghormati dan menjauhi kezaliman.

Sebagaimana pesanan seorang tokoh tasawwuf di beberapa abad yang lalu iaitu Imam Fudayl ibn ‘Iyad berkata: “Jika aku memiliki satu doa yang pasti dikabulkan, nescaya akan aku panjatkan untuk seorang pemimpin kerana jika pemimpinnya taat dan bertaqwa, maka seluruh negeri dan rakyatnya akan menjadi taat dan bertaqwa.”

Hasilnya kebaikan demi kebaikan akan mengundang rahmat Allah. Apabila rahmat memayungi masyarakat, suasana akan menjadi aman, saling menghormati, tolong-menolong dan berkasih sayang ni. Rahmat juga menarik keberkatan rezeki, menghapus permusuhan, menguatkan perpaduan dan keharmonian sebagaimana

Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya rahmatku meliputi segala sesuatu.” (Surah Al-A‘raf: 156)

Maka kesan peroleh rahmat Ilahi akan mempengaruhi seseorang atau ramai akan menikmati keharmonian tanpa keburukan atau kejahatan.

Islam sangat tegas kepada pelaku kezaliman and perbuatan buli merupakan kezaliman. Setiap jeritan mangsa, setiap air mata yang menitis, dan setiap hati yang terluka akan menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti.

Firman Allah S.W.T: “Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai daripada apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah menangguhkan mereka hingga ke suatu hari yang padanya mata-mata mereka terbeliak (ketakutan).” (Surah Ibrahim: 42)

Rasulullah S.A.W juga bersabda: “Kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ingatlah, hukuman dunia mungkin boleh terlepas tetapi azab akhirat tidak akan terhindar. Di sana, tiada peguam, tiada alasan dan tiada jalan pulang, hanya hisab yang adil dari Tuhan yang Maha Mengetahui segala rahsia.

Tinggalkanlah perbuatan itu sebelum pintu taubat tertutup kerana penyesalan di akhirat sudah tiada nilainya.

Dosa kezaliman antara dosa yang disegerakan di dunia, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W berikut: “Tidak ada dosa yang lebih besar yang Allah segerakan balasannya di dunia, di samping azab yang disimpan di akhirat, daripada dosa bentuk kezaliman dan memutuskan silaturahim.” – HR Abu Daud, at-Tirmizi, Ibn Majah – hadis hasan sahih)

Maksudnya, orang yang zalim akan merasai kesan buruknya di dunia seperti hilang rezeki, hidup tak tenang, ditimpa musibah, walaupun di akhirat azabnya tetap menanti.

Juga perlu berwaspada dengan doa orang yang dizalimi kerana doa mereka adalah mustajab. Rasulullah S.A.W. bersabda: “Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi kerana doanya diangkat di atas awan.

Allah berfirman: “Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku pasti akan menolongmu walaupun selepas suatu masa.”– (HR Ahmad, al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, at-Tirmizi)

Maksudnya, doa orang dizalimi akan dimakbulkan Allah, sama ada balasannya segera di dunia atau kemudian.

Hidup ini hanya sekali. Maka janganlah rosakkan hidup kita ini dengan melakukan kejahatan dan kezaliman kepada insan lain yang dikirakan sebagai dosa besar hingga kita diazab oleh Allah ketika hidup dan setelah mati.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.