Ilmu mampu meruntuh tembok perbezaan
Kemerdekaan bermaksud kita mampu hidup bersama-sama, menghormati kepelbagaian dan bekerjasama demi mencapai kejayaan.

SETIAP kali melangkah masuk ke kelas sama ada kelas amali dan tutorial, hati saya sering tersentuh melihat suasana yang penuh warna-warni.
Bukan sahaja kerana persekitaran pembelajaran yang tersusun kemas tetapi juga kerana kehadiran pelajar saya yang datang daripada latar belakang berbeza Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain yang duduk semeja untuk menimba ilmu.
Sebagai seorang pendidik, saya melihat sendiri bagaimana proses pembelajaran sains, khususnya fizik, boleh menjadi jambatan yang menyatukan mereka tanpa mengira bangsa atau agama.
Bayangkan ketika pelajar menggunakan simulasi mengenai dalam experiment fizik. Ada yang mengawal parameter pada simulasi, ada yang mencatat data yang terpapar, ada yang meneliti hubungan antara konsep di dalam simulasi tersebut.
Tiada siapa yang bertanya asal usul rakan di sebelah. Fokus mereka hanya satu iaitu memastikan simulasi berjalan dengan betul. Saat-saat sebegini membuat saya sedar bahawa pendidikan bukan sekadar menyampaikan teori atau formula tetapi juga medan membina perpaduan.
Lebih menarik apabila tugasan memerlukan pelajar berkongsi peranti untuk menggunakan aplikasi simulasi fizik secara dalam talian. Tidak semua mempunyai komputer riba atau tablet sendiri, maka mereka terpaksa bergilir-gilir mengawal skrin sambil berbincang menentukan parameter yang sesuai.
Saya masih ingat bagaimana seorang pelajar Melayu dengan sabar menerangkan kepada rakannya yang berbangsa Cina cara menetapkan nilai pada simulasi gerakan putaran.
Tidak lama kemudian, seorang pelajar India pula menambah cadangan berdasarkan apa yang dibacanya di internet. Perbincangan itu berlangsung penuh semangat dan saya hanya tersenyum memerhati dari jauh.
Situasi sebegini menjadi bukti nyata bahawa ilmu pengetahuan mampu meruntuhkan tembok perbezaan. Dalam kelas fizik saya, tidak ada istilah ‘kumpulan bangsa tertentu sahaja’.
Sebaliknya, apabila mereka berdepan dengan konsep yang sukar misalnya hukum Newton dalam putaran atau keseimbangan tork, mereka akan membentuk bulatan kecil, sama-sama berbincang mencari jawapan.
Ada yang melakar rajah di papan putih kecil, ada yang cuba menjelaskan menggunakan bahasa mudah. Walaupun sesekali berlaku salah faham, mereka belajar untuk mendengar dan menghormati pandangan rakan lain.
Tahun 2025 ini, Malaysia menyambut 68 tahun kemerdekaan. Bagi saya, suasana di dalam kelas adalah gambaran kecil kepada makna sebenar kemerdekaan. Kemerdekaan bukan sekadar perbarisan di Dataran Merdeka atau kibaran Jalur Gemilang di jalan raya.
Kemerdekaan bermaksud kita mampu hidup bersama-sama, menghormati kepelbagaian dan bekerjasama demi mencapai kejayaan. Apabila saya melihat pelajar pelbagai bangsa bersatu hati menyiapkan tugasan, saya terasa roh kemerdekaan itu hidup dalam diri mereka. Mereka sedang mempraktikkan semangat ‘Malaysia Madani’ yang menjadi tonggak negara kita hari ini.
Saya percaya pengalaman bekerja dalam kumpulan yang berbilang bangsa ini memberi kesan jauh lebih besar daripada markah eksperimen itu sendiri.
Pelajar belajar untuk bersabar, bertoleransi dan menghargai kepelbagaian cara berfikir. Nilai-nilai ini tidak dapat diajar hanya melalui buku teks tetapi melalui pengalaman hidup yang sebenar dalam bilik darjah.
Namun, saya juga menyedari cabaran yang wujud. Ada ketikanya pelajar lebih selesa berkawan dengan mereka yang sebangsa. Keadaan ini boleh mewujudkan jurang interaksi.
Sebagai pendidik, saya mengambil inisiatif menyusun kumpulan secara rawak supaya mereka “dipaksa” bekerjasama dengan rakan berlainan latar belakang.
Walaupun pada awalnya kekok, akhirnya mereka mampu menyesuaikan diri. Malah, ada yang mula menyedari bahawa rakan yang pada mulanya asing boleh menjadi kawan rapat selepas beberapa kali bekerjasama.
Pendidikan fizik khususnya memberikan banyak ruang untuk menanam nilai perpaduan kerana sifatnya yang praktikal dan berasaskan perbincangan.
Setiap eksperimen, projek dan tugasan kumpulan memerlukan kerjasama. Dalam konteks inilah, saya melihat peranan pendidik bukan sekadar mengajar formula daya sentripetal atau momentum sudut tetapi juga sebagai pemudah cara kepada proses pergaulan sihat antara pelajar.
Teknologi turut memainkan peranan besar. Ketika menggunakan platform pembelajaran digital, pelajar sering berkongsi skrin, memberi cadangan, dan menyemak jawapan bersama-sama.
Situasi ini melatih mereka untuk berkomunikasi secara terbuka, menghormati idea orang lain dan bergilir-gilir mengawal peranti. Walaupun nampak kecil, pengalaman ini sebenarnya menanam benih perpaduan dalam diri mereka.
Sebagai seorang pendidik, saya berbangga melihat bagaimana kelas fizik saya menjadi miniatur kepada masyarakat Malaysia yang lebih besar.
Di luar kelas, kita sering mendengar isu perbezaan kaum dijadikan polemik tetapi di dalam kelas, pelajar saya membuktikan bahawa perbezaan boleh diraikan dan dijadikan kekuatan. Mereka belajar bersama, ketawa bersama, bahkan kecewa bersama apabila simulasi tidak berjaya dijalankan dengan tepat. Semua pengalaman itu dikongsi tanpa mengira siapa mereka.
Akhirnya, saya yakin bahawa mengajar pelbagai bangsa bukan sekadar cabaran tetapi peluang emas untuk membina Malaysia yang harmoni.
Jika generasi muda dapat membiasakan diri bekerjasama sejak di sekolah atau universiti, maka tidak mustahil negara ini akan terus makmur dengan masyarakat yang bersatu padu.
Pendidikan, khususnya melalui pengalaman praktikal seperti di bilik darjah fizik, adalah jambatan yang menghubungkan hati dan minda.
Kemerdekaan 2025 harus diraikan bukan sahaja dengan simbolik sejarah tetapi juga dengan memastikan anak-anak kita benar-benar memahami nilai persaudaraan.
Bagi saya, setiap aktiviti kecil yang dijalankan oleh pelajar pelbagai bangsa sama ada eksperimen atau simulasi atas talian adalah eksperimen perpaduan yang lebih besar untuk masa depan negara merdeka ini.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.