Klik yang menyakiti: Generasi muda terhimpit isu buli siber

Buli siber bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan sosial mangsa tetapi juga memberi kesan buruk kepada kesihatan mental mereka.

Feature Image

BULI siber merupakan isu serius yang menular dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Buli siber didefinisikan sebagai tindakan menggunakan teknologi komunikasi seperti internet dan media sosial untuk menghina, mengancam atau menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu dan mengancam mangsa sama ada secara fizikal atau psikologi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan bahawa pada tahun 2022 hampir lebih daripada 10,000 kes buli siber yang telah dilaporkan dengan majoriti mangsa adalah pelajar. Angka ini dijangka meningkat jika isu ini tidak ditangani dengan segera.

Media sosial seperti WhatsApp, Instagram dan Facebook adalah antara platform yang sering digunakan oleh pelajar. Walau bagaimanapun, ia disalahgunakan sehingga dijadikan medium sasaran buli siber. Antara bentuk buli siber yang biasa dilaporkan adalah menghina, mengugut dan menyebar gambar atau video peribadi tanpa kebenaran.

Kebanyakan pelaku buli siber tidak sedar tentang kesan jangka panjang perbuatan mereka seperti perasaan bersalah atau penyesalan yang timbul apabila mereka sedar bahawa tindakan mereka telah merosakkan kehidupan orang lain.

Buli siber bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan sosial mangsa tetapi juga memberi kesan buruk kepada kesihatan mental mereka.

Dalam beberapa kes, pelajar yang menjadi mangsa buli siber boleh mengalami tekanan emosi seperti kemurungan, kegelisahan yang akhirnya menjurus kepada keinginan untuk membunuh diri.

Ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, pendidik, masyarakat dan kerajaan mengenai kesan yang lebih besar jika isu ini tidak diberikan keutamaan.

Peningkatan buli siber dalam kalangan pelajar juga boleh disebabkan oleh pengaruh media sosial. Dewasa ini, media sosial yang sepatutnya digunakan sebagai medium untuk berinteraksi telah disalahgunakan sehingga menyumbang kepada peningkatan kes buli siber.

Fenomena takut terlepas atau fear of missing out (FOMO) memberikan tekanan sosial kepada pelajar untuk berlumba-lumba memiliki akaun media sosial sehingga menjurus kepada norma atau budaya yang tidak sihat seperti menghabiskan masa yang banyak untuk mengemaskini status di media sosial sehingga mengulang kaji pelajaran.

Sesetengah pelajar yang mengalami masalah sosial atau rendah diri mungkin terlibat dalam buli siber sebagai cara untuk menonjolkan diri atau mendapat perhatian daripada rakan di sekeliling.

Mereka sanggup menghina atau menyebarkan maklumat palsu atau negatif mengenai orang lain demi meningkatkan kedudukan dalam kalangan kumpulan sosial tertentu.

Kebanyakan pelaku buli siber juga sering kali berselindung di sebalik akaun palsu untuk menyembunyikan identiti sebenar.

Hal ini menyukarkan mangsa buli siber tidak dapat mengenal pasti pelaku dan menyukarkan laporan untuk dibuat kepada pihak berkuasa dan akhirnya pelaku terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Kurangnya pengawasan daripada ibu bapa boleh mempengaruhi buli siber. Ibu bapa yang tidak peka dengan corak penggunaan teknologi oleh anak-anak mereka seringkali gagal memantau aktiviti mereka di dalam talian.

Ini akan menyukarkan proses mengenal pasti tanda-tanda awal penglibatan anak-anak dalam aktiviti tidak sihat, sama ada sebagai mangsa mahu pun pelaku buli siber.

Kebanyakan ibu bapa yang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai teknologi dan keselamatan dalam talian sering kali menghalang mereka daripada memberikan panduan yang betul kepada anak-anak.

Tanpa pemantauan yang sesuai, anak-anak lebih mudah terdedah kepada buli siber sama ada sebagai mangsa atau pemangsa.

Institusi sekolah juga berpotensi menyumbang kepada berlakunya buli siber. Sebahagian sekolah masih belum melaksanakan program berkaitan keselamatan siber dan etika dalam talian untuk mendidik pelajar mengenai kesan buruk buli siber sejak dari peringkat awal persekolahan.

Ramai pelajar tidak mendapat pendedahan awal yang sewajarnya mengenai peraturan asas dan tingkah laku yang betul semasa berinteraksi dalam talian.

Akibatnya, pelajar tidak dapat mengenal pasti sama ada sesuatu tingkah laku itu digolongkan dalam buli siber sehingga menjurus kepada penglibatan perlakuan buli siber secara sedar atau tidak sedar.

Secara keseluruhannya, membanteras buli siber perlu diberi keutamaan oleh semua pihak. Ibu bapa, pihak sekolah, pihak berkuasa dan kerajaan perlu berganding bahu untuk menangani isu ini secara menyeluruh.

Bagi membendung isu buli siber, pendidikan keselamatan siber wajar diterapkan dalam kurikulum sekolah. Selain itu, kesedaran mengenai akibat buli siber perlu dipupuk dalam kalangan pelajar dan mereka perlu diberi ruang untuk melaporkan sebarang kejadian buli siber tanpa rasa takut atau malu.

Penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu dilaksanakan terhadap pelaku untuk memberi amaran bahawa tindakan mereka tidak akan dibiarkan tanpa sebarang hukuman.

Dengan langkah-langkah ini, diharapkan dapat mengurangkan isu buli siber dalam kalangan pelajar dan seterusnya melindungi kesejahteraan mental dan sosial mereka.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.