Program UM@SIHAT 2024 semarak aktiviti berjalan kaki dalam kampus

BUAT julung kalinya, Universiti Malaya (UM) menganjurkan Program UM@SIHAT 2024, bertema “Let’s Walk with VC – 10,000 Langkah Lestari” pada tahun ini.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan aspek penjagaan kesihatan fizikal dan menjadikan budaya aktif dalam kehidupan sebagai rutin dalam kalangan warga kampus.

Klinik UM mengambil inisiatif dengan mengadakan program ini pada 19 November 2024 bermula di Gazebo Auditorium Kompleks Perdana Siswa dan mengelilingi sekitar laluan Tasik Varsiti UM.

Pengarah Klinik UM, Dr. Zuraidah Mohamed menekankan bahawa dengan mengamalkan gaya hidup sihat dengan berjalan kaki 10,000 langkah sehari, kita bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan diri tetapi juga kepada usaha kelestarian alam sekitar melalui pengurangan jejak karbon, pengurangan impak terhadap ekosistem serta dapat menghargai dan memelihara alam sekitar.

Beliau berkata, dengan adanya program ini lebih ramai individu mendapat pengetahuan bagaimana aktiviti berjalan kaki secara konsisten dapat memberi banyak manfaat kepada kesihatan kita semua antaranya menyihatkan jantung, meningkatkan daya tahan otot jantung dan badan, mengurangkan risiko penyakit jantung dengan merendahkan paras kolesterol, dapat mengawal tekanan darah dan mencegah risiko penyakit darah tinggi dan strok.

Oleh yang demikian, UM mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan program ini dengan menjalinkan kerjasama bersama gabungan beberapa pihak iaitu Portfolio Pendaftar, Pejabat Naib Canselor, Ahli Persatuan Kakitangan Akademik UM, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UM, Kesatuan Kakitangan Am UM, AKRAB UM, Festival Konvokesyen UM, Pusat Komunikasi Korporat, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Pembangunan Lestari.

Aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung adalah dimulai dengan senaman regangan dan aktiviti berjalan kaki.

Pada waktu yang sama, program ini juga menekankan dan mempromosi sifar plastik ke arah kampus lestari.

Secara keseluruhan, Program UM@SIHAT 2024 ini merupakan landasan penting dalam memastikan warga kampus lebih sihat dan seimbang.

Menurut tinjauan National Health Morbidity Survey 2023 melaporkan 1 daripada 3 orang dewasa di Malaysia tidak aktif secara fizikal.

“Oleh itu, penerapan amalan aktiviti berjalan cepat dalam rutin kehidupan seseorang individu amat digalakkan bagi melahirkan masyarakat yang aktif dan sihat secara holistik dan memastikan agenda kesihatan negara dapat dicapai di dalam melahirkan masyarakat yang sihat sejahtera, kata Pemangku Pendaftar UM, Prof. Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman.

Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Azuan Abu Osman dalam ucapan ketika pelancaran program itu berkata, “Ini merupakan inisiatif program yang baik yang dilaksanakan oleh Klinik UM. Saya yakin bahawa program ini dapat memberikan pendedahan kepada seluruh warga kampus UM.

“Malah, program ini mampu memberi impak positif kepada kesihatan dan kesejahteraan serta seterusnya menyumbang secara langsung kepada pencapaian matlamat pembangunan mampan terutamanya SDG 3 – Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik.