Berkat usaha gigih dan semangat juang yang tinggi, Fatimatul Zahrah Mohd. Zainal, pelajar Tahun 2 Sarjana Muda Harta Tanah, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya (UM) membuktikan bahawa anak muda hari ini mampu menyumbang bakti kepada masyarakat dengan cara yang kreatif dan bermakna.
Baru-baru ini, mahasiswi yang lebih dikenali sebagai Zahrah ini mengetuai penganjuran Bengkel Asas Penyuntingan Canva di Surau An-Nur Villa Mutiara, Beranang, Selangor.
Bengkel yang dianjurkan dengan kerjasama pelajar-pelajar UM dan Surau An-Nur Villa Mutiara ini berjaya menarik minat peserta daripada pelbagai latar belakang dan usia, termasuk kanak-kanak seawal 12 tahun hingga warga emas berusia 69 tahun.
“Teknologi moden bukan lagi pilihan tetapi keperluan. Melalui bengkel ini, saya mahu masyarakat celik teknologi dan menggunakan platform seperti Canva untuk meningkatkan kemahiran rekaan digital,” katanya penuh semangat ketika ditemu bual.
Pada usia 25 tahun, Zahrah bukan sahaja seorang pelajar cemerlang malah beliau juga seorang perunding hartanah berdaftar (REN42101) di IQI Realty Sdn. Bhd., menyifatkan bengkel ini sebagai satu platform untuk beliau dan rakan-rakannya menyumbang ilmu serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi, khususnya di UM.
Zahrah percaya, mahasiswa perlu menjadi modal insan holistik, bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga aktif dalam menyumbang bakti kepada masyarakat.
“Jadilah seperti pohon yang rendang–akarnya kukuh, daunnya rimbun dan buahnya dinikmati semua.
“Ilmu itu bukan untuk disimpan, tetapi dikongsi. Keberkatan hidup terletak pada manfaat yang kita beri kepada orang lain,” katanya.
Peserta diberi pendedahan asas mengenai penggunaan aplikasi Canva, sebuah platform reka bentuk grafik yang kini menjadi alat penting dalam dunia digital.
Modul bengkel meliputi susun atur rekaan, pemilihan warna dan pemilihan font yang sesuai untuk mencipta kandungan visual yang menarik dan berkualiti.
“Tujuan utama kami ialah untuk memperkenalkan asas penyuntingan grafik kepada mereka yang tidak pernah menggunakan atau hanya mengetahui asas agar mereka dapat menghasilkan rekaan unik dan bermakna untuk perniagaan, pendidikan atau kegunaan peribadi,” ujarnya.
“Maklum balas daripada peserta sangat memberangsangkan. Ramai yang mengakui bengkel ini membantu mereka dalam meningkatkan keyakinan untuk mencipta dan berkongsi karya visual terutamanya bagi mereka yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan atau yang ingin menambah nilai dalam pendidikan digital dan teknologi.”
Bengkel ini bukan sekadar satu program tetapi langkah kecil ke arah perubahan besar, menghubungkan masyarakat melalui ilmu, teknologi dan rasa tanggungjawab sosial.
Zahrah percaya bahawa usia muda bukan penghalang untuk memberi impak positif kepada masyarakat.
Bagi Zahrah, usaha ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial sebagai mahasiswa dan individu Muslim.
“Kita dituntut untuk berkongsi ilmu dan bersedekah. Mungkin kecil bagi kita tetapi besar nilainya bagi mereka yang memerlukan. Sedekah adalah pelaburan akhirat yang tidak pernah rugi.
“Selain daripada membangunkan kemahiran teknologi peserta, bengkel ini turut membawa misi murni untuk menggalakkan sumbangan kepada tabung pembangunan Surau An-Nur Villa Mutiara.
“Sumbangan yang dikumpul akan digunakan untuk memperbaiki dan menaiktaraf kemudahan surau demi manfaat masyarakat setempat.
“Mungkin sumbangan kita kecil tetapi ia boleh menjadi besar bagi yang memerlukan.
“Dalam Islam, kita diajar bahawa sedekah itu tidak akan mengurangkan rezeki, malah ia adalah pelaburan yang tidak pernah rugi,” kata Zahrah sambil menyeru masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Pembangunan Surau An-Nur Villa Mutiara.
Bengkel ini jelas membuktikan bahawa inisiatif kecil seperti ini mampu membawa impak besar kepada masyarakat.
Dengan kreativiti, ilmu, dan usaha kolektif, generasi muda seperti Zahrah terus menjadi inspirasi dalam membina masyarakat yang lebih progresif dan peduli.
Zahrah menghakhiri temu bual dengan berkata, “Ilmu itu ibarat cahaya, ia tidak akan berkurang walaupun diberikan kepada orang lain. Mari kita berkongsi dan menyumbang demi masa depan yang lebih baik.”