Antara sebuah kepenatan dan kebesaran ganjaran
Di saat manusia mula merasa letih, di situlah Allah meletakkan ganjaran yang paling besar

PADA penghujung Ramadan, ada satu perasaan yang sering kita alami tetapi jarang untuk kita berani menyebutnya secara jujur iaitu ‘penat’. Setelah hampir sebulan berpuasa, tubuh mulai terasa lemah kerana rutin harian yang berubah, tidur berkurang dan tenaga tidak lagi sekuat di awal bulan.
Namun dalam keletihan itu, kita masih berusaha mengejar sepuluh malam terakhir Ramadan kerana kita tahu di situlah terdapatnya malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar.
Menariknya, Allah meletakkan lailatulqadar bukan di awal Ramadan tetapi di penghujungnya. Dari sudut tadabbur, ini bukan sekadar susunan waktu. Ia membawa satu makna yang sangat mendalam tentang sifat manusia dan cara Allah mendidik jiwa kita.
Allah amat mengetahui bahawa kemanusiaan itu ada hadnya. Hal ini kerana Dialah yang menciptakan manusia. Semangat kita biasanya kuat di awal perjalanan tetapi semakin lama perjalanan itu berlangsung, semakin terasa ujian dan keletihannya.
Oleh itu, di saat manusia mula merasa letih, di situlah Allah meletakkan ganjaran yang paling besar. Seolah-olah memberi dorongan baharu agar kita tidak berhenti di tengah jalan.
Al-Quran mengingatkan: “Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah al-Insyirah (94:6)). Ayat ini bukan sekadar janji bahawa kesusahan akan berakhir tetapi juga isyarat bahawa dalam setiap keletihan akan ada rahmat yang sedang menunggu.
Kadang-kadang rahmat itu datang dalam bentuk ganjaran dan kadang-kadang ia juga boleh datang dalam bentuk kekuatan hati untuk terus bertahan.
Jika kita renungkan, kehidupan juga berjalan dengan pola yang hampir sama seperti Ramadan. Kita biasanya memulakan sesuatu dengan semangat tidak kira sama ada dalam pekerjaan, perniagaan, perkahwinan, perjuangan mendidik anak ataupun usaha memperbaiki diri tetapi setelah melalui pelbagai cabaran, semangat itu perlahan-lahan diuji oleh keletihan, kekecewaan dan tekanan.
Pada saat itulah ramai orang berhenti. Bukan kerana mereka tidak mampu tetapi kerana sudah terlalu letih untuk meneruskan. Di sinilah Ramadan sebenarnya sedang mendidik kita tentang makna ketahanan jiwa. Ia mengajar bahawa keletihan bukan tanda kegagalan. Sebaliknya, keletihan adalah tanda bahawa kita sedang berjuang.
Allah juga berfirman: “Dan bahawa manusia tidak memperoleh selain apa yang diusahakannya.” (Surah al-Najm (53:39)).
Ayat ini menegaskan satu prinsip kehidupan yang sangat penting iaitu; nilai sesuatu perjuangan bukan diukur pada betapa mudahnya perjalanan itu tetapi pada kesungguhan kita untuk terus berusaha walaupun terasa berat.
Oleh itu dalam perjalanan memperbaiki diri, kita tidak perlu menunggu untuk menjadi sempurna. Kita hanya perlu terus berjalan tidak kira dalam apa jua keadaan sama ada hari kita berasa kuat ataupun pada hari kita lemah dan kita rasa hampir berputus asa.
Selagi kita tidak berhenti, perjuangan itu masih hidup. Dalam bahasa yang lebih sederhana, jangan berhenti kerana penat. Berhentilah hanya apabila kita telah selesai.
Namun hakikatnya, perjalanan memperbaiki diri sebenarnya tidak pernah benar-benar selesai sehinggalah kita menutup mata buat kali terakhir. Ramadan sedang mengajar kita satu pelajaran yang sangat besar. Manusia mungkin akan penat tetapi rahmat Allah tidak pernah terhenti dan sentiasa menunggu kita untuk ‘kembali’.
Apa yang boleh kita renungkan, mungkin kerana itulah juga di antara hikmahnya Allah meletakkan malam yang paling agung di penghujung Ramadan. Ia menjadi bukti bahawa Allah tahu kita sedang penat. Namun, kita perlu tetap meneruskannya kerana ganjarannya yang sangat besar.

