Kenaikan harga minyak: Menimbang maslahah melalui perspektif I’tibar al-Ma’al

Secara teknikal, pengasingan harga melalui sistem kad pengenalan (IC) bertujuan melindungi rakyat tempatan.

Feature Image (1)

DALAM disiplin Maqasid Syariah, keberkesanan sesuatu polisi kerajaan tidak memadai sekadar dinilai pada niat yang baik (al-qasd) tetapi wajib ditimbang melalui neraca I’tibar al-Ma’al.

Prinsip yang dipopularkan oleh Imam asy-Syatibi dalam karya agungnya al-Muwafaqat ini menuntut pemerintah untuk meneliti sedalam-dalamnya kesan jangka panjang dan implikasi rantaian daripada sesuatu tindakan sebelum ia dilaksanakan.

Baru-baru ini, pengumuman pelarasan harga petrol RON95 dan diesel bagi golongan bukan warganegara serta golongan tertentu dilihat sebagai langkah pintas untuk menghadapi lonjakan kenaikan harga minyak dunia di samping mengurangkan ketirisan subsidi.

Namun, persoalan besarnya ialah, adakah kita telah menimbang ma’al (akibat) kenaikan ini terhadap harga barangan di dapur rakyat marhaen?

Rantaian Bekalan: Apabila Minyak Menjadi ‘Darah’ Ekonomi

Secara teknikal, pengasingan harga melalui sistem kad pengenalan (IC) bertujuan melindungi rakyat tempatan. Namun, hukum ekonomi bersifat sejagat dan tidak mengenal diskriminasi kewarganegaraan.

Di sinilah berlakunya fenomena inflasi tolakan kos (cost-push inflation). Apabila harga minyak bagi sektor komersial tertentu, logistik dan kenderaan warga asing melonjak antara 60 sen hingga 80 sen seliter, kos operasi pengangkutan barangan secara automatik akan meningkat.

Minyak adalah input “darah” dalam rantaian bekalan, apabila darah itu menjadi mahal, setiap anggota badan ekonomi akan merasai kesakitannya.

Akibatnya, harga sayur di pasar, upah kontraktor kecil, malah harga makanan di warung tepi jalan berisiko naik kerana peniaga terpaksa memindahkan beban kos input tersebut kepada pengguna akhir.

Dalam kaedah Maqasid, inilah yang kita bimbangkan iaitu situasi “Mafsadah yang cuba dielakkan (ketirisan subsidi), akhirnya melahirkan mafsadah yang lebih luas (kenaikan kos sara hidup umum)”.

Hujah Tokoh Syafi’iyyah: Baitulmal Sebagai Penyerap Kejutan

Di sinilah relevannya peringatan daripada tokoh utama Mazhab Syafi’i seperti Imam al-Haramayn al-Juwayni dan Imam al-Ghazali.

Dalam kitab al-Ghiyathi, al-Juwayni menegaskan bahawa selagi perbendaharaan negara (Baitulmal) mempunyai kecukupan—dalam konteks Malaysia melalui limpahan hasil petrodolar—kerajaan seharusnya menggunakan dana tersebut sebagai “penyerap kejutan” (shock absorber).

Beliau berhujah bahawa pemimpin adalah pemegang amanah harta awam yang tidak halal baginya membebankan rakyat selagi ada sumber lain yang boleh digunakan.

Strategi ini bukan bertujuan untuk memanjakan rakyat tetapi sebagai tindakan berhati-hati (ihtiyat) bagi menghalang berlakunya kemudaratan yang lebih besar kepada rakyat jelata.

Jika dividen minyak negara daripada Petronas masih mencatatkan angka berbilion ringgit, maka tuntutan syarak adalah untuk mengutamakan kestabilan harga pasaran secara menyeluruh, bukannya sekadar memfokuskan kepada mekanik subsidi di pam sahaja.

Petronas Sebagai Baitulmal Moden: Perspektif Imam al-Mawardi

Dalam konteks ekonomi Malaysia, kita perlu melihat Petronas bukan sekadar syarikat komersial tetapi sebagai komponen utama Baitulmal (perbendaharaan harta awam). Di sinilah relevannya hujah Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah. Beliau mendedahkan perbezaan ijtihad yang kritikal antara Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi’I dalam isu ini.

Menurut Imam Abu Hanifah, harta lebihan dalam perbendaharaan negara tidak seharusnya diperam atau disimpan (idkhara) tetapi wajib disalurkan serta-merta untuk kemaslahatan rakyat yang sedang mendesak.

Melalui lensa I’tibar al-Ma’al, pandangan ini memberi peringatan keras, tidak wajar bagi kerajaan menyimpan dividen Petronas ke dalam tabung rizab negara atau menggunakannya untuk hutang lama, selagi perut rakyat marhaen sedang dihimpit oleh kenaikan harga barang yang nyata di depan.

Baitulmal Tenaga (Petronas) bukan sekadar tabung simpanan strategik tetapi ia adalah nadi kelangsungan hidup umat. Membebankan rakyat dengan kos sara hidup yang meningkat ketika perbendaharaan negara sedang melimpah dengan hasil minyak adalah satu tindakan yang memerlukan pertimbangan syarak yang amat dalam.

Keadilan ekonomi Islam menuntut agar hasil bumi dipulangkan segera untuk memadamkan “api” kesempitan hidup rakyat hari ini, bukannya disimpan untuk memadamkan “api” yang belum tentu terjadi di masa hadapan.

Syarat Ketat Pungutan Harta: Perspektif Imam al-Ghazali

Lebih jauh lagi, Imam al-Ghazali dalam al-Mustasfa meletakkan syarat bahawa pungutan harta atau bebanan kewangan tambahan ke atas rakyat hanya dibenarkan apabila Baitulmal benar-benar kosong.

Dalam konteks negara pengeluar minyak, “tabung” negara tidak boleh dianggap kosong apabila harga minyak dunia melonjak, kerana kenaikan itu membawa keuntungan luar jangka (windfall profit).

Membiarkan harga minyak naik bagi mana-mana sektor tanpa mekanisme kawalan harga barang yang ampuh, dianggap sebagai satu risiko besar terhadap Hifz al-Mal (Perlindungan Harta) rakyat jelata yang bakal berdepan dengan penyusutan kuasa beli yang drastik.

Amanah Penjimatan: Maslahah Rakyat yang Lemah Didahulukan

Hakikatnya penjimatan fiskal daripada penyasaran subsidi ini mestilah diuruskan dengan amanah yang tinggi. Mengikut pandangan Sultanul Ulama, Imam al-Izz bin Abd al-Salam, maslahah rakyat yang lemah wajib didahulukan dalam setiap polisi agihan. Beliau menegaskan bahawa kewajipan pemerintah adalah untuk “menarik manfaat dan menolak kemudaratan” (jalb al-masalih wa dar’ al-mafasid).

Hasil penjimatan berbilion ringgit tersebut tidak seharusnya tersimpan kaku tetapi diterjemahkan kepada mekanisme intervensi harga pasaran yang agresif. Tanpa pemantauan ketat terhadap I’tibar al-Ma’al, dikhuatiri rakyat yang kononnya “dilindungi” dengan subsidi petrol, akhirnya tetap “tercekik” oleh kenaikan harga barangan komuniti akibat kesan limpahan kos daripada sektor yang tidak bersubsidi.

Teknologi Sebagai Wasilah Maqasid di Era Moden

Dalam era ekonomi digital, penelitian terhadap I’tibar al-Ma’al boleh diperkukuhkan melalui pemanfaatan Data Raya (Big Data) dan kecerdasan buatan (AI). Kerajaan boleh menggunakan data rantaian bekalan secara real-time untuk memantau bagaimana kenaikan di pam bagi warga asing memberi kesan kepada indeks harga pengguna.

Dengan teknologi ini, kerajaan boleh melaksanakan Siyasah Syar’iyyah yang responsif untuk mengesan manipulasi harga sebelum ia merebak menjadi mafsadah sosial.

Penggunaan teknologi bukan sekadar untuk kecekapan tetapi merupakan instrumen moden melaksanakan tuntutan Hifz al-Nafs (perlindungan Nyawa), memastikan setiap rakyat dapat meneruskan kehidupan dengan harga barang yang stabil.

Impak Makro: Kelestarian PKS dan Kuasa Beli

Pada peringkat makro, kegagalan menimbang I’tibar al-Ma’al boleh membawa kepada kelesuan ekonomi domestik. Apabila kos hidup meningkat, kuasa beli merosot, seterusnya menjejaskan pertumbuhan perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Islam menitikberatkan pengaliran harta secara sihat dalam masyarakat supaya ia tidak hanya berlegar di tangan kelompok tertentu sahaja. Keadilan ekonomi Maqasid Syariah menuntut agar sumber kekayaan alam negara dirasai manfaatnya oleh seluruh rakyat tanpa ada yang terpinggir akibat “kesilapan teknikal” dalam pengiraan polisi.

Kesimpulan: Keadilan di Meja Makan Rakyat

Sebagai kesimpulan, dalam setiap langkah pembaharuan ekonomi, kerajaan dituntut untuk bersifat waspada dan melihat jauh ke hadapan melebihi sekadar angka-angka di atas kertas bajet.

Peringatan ulama silam tentang pengurusan harta awam bukanlah untuk menyekat transformasi tetapi sebagai kompas moral agar setiap keputusan tidak membawa kepada penindasan secara langsung atau tidak langsung.

Keadilan Syariah adalah keadilan yang dapat dirasai di dapur setiap rumah iaitu harga barang munasabah dan maruah kehidupan terpelihara. Dengan meletakkan kemaslahatan manusia mengatasi keuntungan material, Malaysia Madani mampu membuktikan bahawa tadbir urus berteraskan I’tibar al-Ma’al adalah jalan keluar terbaik dalam mengharungi badai ekonomi dunia.