DHN perkasa bakat halal negara, terajui industri global

Dasar Halal Negara yang sedang dirangka oleh Universiti Malaya menerusi Pusat Penyelidikan Halal dijangka menjadi kerangka dasar utama yang menyokong pembangunan ini.

Poster Terkini


INDUSTRI Halal Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, dengan nilai pasaran mencecah RM146.6 bilion pada tahun 2024, berdasarkan data yang dikongsikan oleh Halal Industry Development Corporation (HDC).

Pencapaian ini mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam sektor halal, mencerminkan potensi besar industri ini sebagai pemacu ekonomi negara.

Namun, untuk memastikan pertumbuhan ini berterusan dan mampan, sokongan daripada tenaga kerja yang berpengetahuan, berkemahiran dan berintegriti adalah amat penting.

Bakat halal, yang merangkumi pelbagai profesion dari juruaudit hingga penyembelih halal, merupakan tulang belakang kepada sistem yang menjamin kepercayaan pengguna serta kelestarian industri ini.

Justeru, pemerkasaan bakat halal bukan lagi satu pilihan tetapi suatu keperluan mendesak demi menjamin daya saing negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

Industri halal masa kini juga tidak lagi terhad kepada masyarakat Muslim semata-mata. Pasaran halal semakin meluas sejajar dengan peningkatan keyakinan pengguna, baik Muslim mahupun bukan Muslim, terhadap produk halal yang lazimnya dikaitkan dengan kualiti, kebersihan dan keselamatan.

Di Malaysia, konsep halal turut merangkumi sektor perkhidmatan seperti pelancongan mesra Muslim dan perkhidmatan patuh syariah, menjadikan takrifannya lebih luas daripada sekadar makanan dan minuman. Perkembangan ini memperkukuh lagi potensi industri halal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Dari sudut pandang global, Malaysia telah mengungguli kedudukan tertinggi dalam Global Islamic Economy Indicator (GIEI) selama sepuluh tahun berturut-turut sejak 2013.

Pencapaian ini mencerminkan keupayaan negara untuk terus menjadi rujukan dan peneraju industri halal global. Namun, bagi memastikan kedudukan ini kekal kukuh, kebergantungan kepada tenaga kerja halal yang kompeten adalah sangat kritikal.

Menurut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (2021), bakat halal merangkumi pelbagai jawatan profesional seperti eksekutif halal, juruaudit halal, penyembelih halal, penyelia halal dan pemeriksa halal, kesemuanya memainkan peranan penting dalam menjamin integriti produk dan perkhidmatan halal.

Menyedari keperluan ini, ekosistem pembangunan bakat halal di Malaysia perlu diperkukuh melalui latihan profesional yang sistematik.

Rangka kerja latihan yang tersusun mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dapat menangani cabaran dalam keseluruhan rantaian nilai industri, daripada pengeluaran hinggalah pensijilan.

Ketika ini, pembangunan bakat halal disokong melalui empat komponen utama: program latihan oleh Majlis Profesional halal, pengajian halal di institusi pengajian tinggi, program pembangunan kapasiti bersama Rakan Strategik (RS) oleh Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA) dan pembangunan Piawaian Profesional Halal oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM).

Malaysia perlu lebih proaktif kerana industri halal mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan negara dan menarik pelaburan luar.

Pensijilan Halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa dan ini memberi kelebihan kepada produk dan perkhidmatan tempatan untuk menembusi pasaran global.

Namun, kelebihan ini hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika kita mempunyai tenaga kerja yang cukup dan berkemahiran tinggi.

Bakat halal dapat diperkasa dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran, pengetahuan dan kebolehpasaran pekerja dalam industri ini.

Latihan yang sesuai dengan perkembangan teknologi semasa perlu disediakan, di samping memastikan kerjaya dalam sektor halal lebih menarik dan terjamin.

Selain itu, kebajikan pekerja juga perlu diberi perhatian melalui peranan persatuan pekerja dan badan profesional yang memperjuangkan hak dan keperluan mereka.

Sebagai pengguna dan masyarakat umum, kita juga memainkan peranan penting dalam usaha memperkasa industri halal.

Pertama, dengan mengambil tahu dan memahami peranan besar yang dimainkan oleh bakat halal dalam memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang kita guna adalah bersih, selamat dan berkualiti.

Kedua, dengan menyokong barangan dan perkhidmatan Halal dalam kehidupan seharian. Pilihan kita sebagai pengguna mampu mempengaruhi arah pertumbuhan industri ini.

Apabila permintaan terhadap produk Halal meningkat, ia akan mendorong pengeluar untuk menambah baik mutu, meningkatkan inovasi dan mengekalkan kepatuhan kepada piawaian halal.

Malah, sambutan yang kukuh daripada pengguna tempatan memberi keyakinan kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan produk mereka ke pasaran luar negara.

Oleh itu, kesedaran dan sokongan masyarakat amat penting bagi memastikan industri halal terus berkembang, berdaya saing dan menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara.

Sehubungan itu, usaha pemerkasaan bakat halal perlu terus dipacu melalui dasar nasional yang menyeluruh.

Dasar Halal Negara (DHN) yang sedang dirangka oleh Universiti Malaya menerusi Pusat Penyelidikan Halal (UMHRC) dijangka menjadi kerangka dasar utama yang menyokong pembangunan ini.

Dasar ini diharap dapat mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai hab halal global yang bukan sahaja bertaraf antarabangsa dari segi produk tetapi juga dari segi kepakaran tenaga kerjanya.

Akhirnya, menerusi tenaga kerja profesional yang mantap dan sistem pembangunan bakat yang terancang, industri halal Malaysia mampu melangkah lebih jauh dan memberikan sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi negara.

Komitmen jangka panjang terhadap pemerkasaan bakat halal adalah kunci kepada kelestarian dan kecemerlangan industri ini di persada dunia.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.