Kesan jangka panjang ‘cancel culture’ terhadap budaya ketimuran
Budaya menghukum secara kolektif melalui media sosial terhadap individu atau institusi yang dianggap melakukan kesalahan moral, etika atau sosial.

DALAM dunia media sosial hari ini, budaya ‘cancel’ atau pembatalan semakin menjadi norma baharu. Seseorang selebriti, pempengaruh, pendakwah mahupun individu biasa boleh “dibatalkan” atau dipulaukan hanya kerana satu kenyataan, satu video atau satu pendapat yang tidak disenangi warganet.
Dalam sekelip mata, seseorang boleh kehilangan kerjaya, reputasi dan maruah tanpa proses yang adil atau peluang membela diri.
Fenomena ini dikenali sebagai ‘cancel culture’ iaitu budaya menghukum secara kolektif melalui media sosial terhadap individu atau institusi yang dianggap melakukan kesalahan moral, etika atau sosial.
Di Barat, budaya ini telah lama berkembang. Namun, yang membimbangkan ialah apabila ia semakin menular ke dalam masyarakat kita yang selama ini berakar pada nilai budaya ketimuran seperti berlapang dada, pemaaf, memberi peluang kedua dan menegur secara berhikmah.
Di sebalik niat asal ‘cancel culture’ untuk mendidik atau menyedarkan, ia kini lebih menyerupai hukuman awam tanpa proses keadilan.
Dalam banyak kes, ‘cancel’ dilakukan dengan emosi, bukan fakta. Individu dijatuhkan hukuman sosial sebelum sempat menjelaskan keadaan sebenar. Ia bukan lagi soal akauntabiliti tetapi satu bentuk balas dendam kolektif dalam talian.
Dari sudut budaya ketimuran, ini satu cabaran besar. Kita diajar bahawa manusia itu tidak sempurna. Kita percaya pada proses menegur secara berhemah, memberi ruang untuk berubah dan memperbaiki diri.
Namun budaya ‘cancel’ menafikan semua itu. Ia mematikan peluang untuk berdialog, menggalakkan sikap menghukum, dan melahirkan generasi yang takut untuk bersuara atau membuat kesilapan.
Lebih malang, budaya ini mewujudkan ketakutan melampau dalam kalangan masyarakat dikenali sebagai ‘culture of fear’.
Ramai individu, khususnya golongan berpengaruh dan pendidik, kini lebih berhati-hati secara berlebihan. Bukan kerana mahu menjaga sensitiviti tetapi kerana takut “diserang” netizen. Maka lahirlah masyarakat yang hipokrit, yang hanya berani menyatakan sesuatu jika selari dengan arus majoriti.
Ironinya, budaya ‘cancel’ ini sering didukung atas nama keadilan sosial atau moral tetapi apakah benar ia membawa keadilan? Atau sebenarnya kita telah mencipta satu lagi bentuk penindasan dalam talian, di mana siapa yang lebih lantang dan popular, dialah yang ‘benar’?
Sebagai masyarakat Timur yang kaya dengan nilai sopan santun, adab dan timbang rasa, kita perlu menilai semula budaya ini. Ya, menegur itu penting. Ya, akauntabiliti juga perlu tetapi biarlah dengan ilmu, fakta dan ruang untuk memperbaiki diri. Jangan sampai kita menjadi masyarakat yang pantas menghukum tetapi lupa untuk memahami.
Budaya ketimuran bukan hanya tentang pakaian atau bahasa sopan. Ia tentang cara kita memanusiakan manusia lain, walaupun mereka bersalah.
Dalam dunia yang semakin laju menghukum, mungkin inilah masa untuk kita kembali kepada asas iaitu menghukum dengan belas, menegur dengan hikmah.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.