Terima dan bersedia dengan keputusan UPUOnline

Pelajar perlu didorong serta dibimbing untuk menerima keputusan UPUOnline dengan hati yang terbuka dan penuh kesabaran.

Poster Terkini (2)


PADA 16 Jun 2025 (Isnin), ribuan pelajar Malaysia akan menerima keputusan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui UPUOnline bagi sesi 2025/2026.

Tarikh ini bukan sahaja penting sebagai penentu hala tuju akademik dan kerjaya para pelajar, malah menjadi sebuah detik penuh debaran dan harapan bagi pelajar yang baru sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2024.

Hari hebahan keputusan UPUOnline sering kali disambut dengan pelbagai emosi merangkumi kegembiraan, harapan, debaran dan ketidakpastian.

Perasaan gementar dan risau adalah normal, namun yang lebih penting adalah bagaimana pelajar menguruskan emosi tersebut secara positif dan matang.

Sebagai masyarakat yang menghargai nilai ilmu dan usaha, pelajar perlu didorong serta dibimbing untuk menerima keputusan UPUOnline dengan hati yang terbuka dan penuh kesabaran.

Sama ada keputusan yang diperoleh memenuhi jangkaan atau sebaliknya, setiap pelajar harus melihatnya sebagai satu langkah permulaan dalam perjalanan pembelajaran dan pembangunan diri pada peringkat yang lebih tinggi.

Pengurusan emosi yang baik, termasuk mengamalkan sikap tawakal dan reda, adalah kunci untuk menerima apa jua keputusan.

Manfaatkan masa yang berbaki untuk memperbanyakkan doa, menunaikan solat hajat dan beristighfar supaya para pelajar mendapat keputusan UPUOnline yang terbaik buat masa hadapan mereka.

Selain itu, ibu bapa, keluarga, para guru dan masyarakat di sekeliling juga berperanan untuk memberi sokongan moral, semangat dan motivasi kepada pelajar untuk menerima keputusan UPUOnline dengan hati yang terbuka kerana pada hakikatnya, kita semua berkongsi debaran yang sama.

Bagi pelajar yang berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat prauniversiti seperti asasi, matrikulasi atau diploma, tempoh bercuti yang masih berbaki ini adalah masa yang sangat penting untuk melakukan persediaan mental dan fizikal.

Jangan terlalu leka hingga tenggelam dalam keasyikan ‘berbulan madu’ selepas tamat SPM!

Hakikatnya, program pengajian prauniversiti bukan sahaja menuntut kecemerlangan akademik, malah memerlukan disiplin diri yang lebih tinggi serta pengurusan masa yang efektif.

Pelajar dinasihatkan untuk bersedia bagi menyesuaikan diri dengan rutin pembelajaran yang lebih padat dan komprehensif merangkumi kuliah dan kelas tutorial serta tugasan secara individu mahupun berkumpulan bagi membantu pelajar mencapai prestasi akademik yang diidamkan.

Bagi menguruskan tekanan, para pelajar amat disyorkan untuk membina hubungan baik dengan para pensyarah dan rakan-rakan sekelas bagi membina sebuah sistem sokongan sosial dan akademik.

Selain fokus terhadap akademik, para pelajar prauniversiti digalakkan untuk mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan pengurusan stres.

Aktiviti kokurikulum dan sukarelawan juga amat sesuai dijadikan sebagai sebuah platform untuk membina kemahiran serta keperibadian yang lebih matang dan bertanggungjawab.

Pelajar juga disarankan untuk memanfaatkan kemudahan kaunseling dan bimbingan yang disediakan oleh institusi pengajian. Sokongan ini sangat penting untuk membantu para pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan mengatasi cabaran mental yang akan dihadapi kelak.

Seterusnya, menetapkan matlamat yang jelas dan realistik adalah kunci kejayaan dalam pengajian prauniversiti.

Pelajar perlu merancang perjalanan akademik dengan mengambil kira kekuatan dan minat diri sendiri termasuk memilih subjek elektif yang sesuai dan merancang aktiviti tambahan yang dapat membantu pelajar mencapai matlamat kerjaya pada masa hadapan.

Sebagai kesimpulan, hari hebahan keputusan permohonan kemasukan ke IPTA melalui UPUOnline bagi sesi 2025/2026 adalah detik penting dan bersejarah yang menandakan permulaan babak baharu dalam kehidupan para pelajar. Debarannya kian dirasai oleh pelbagai pihak, terutama sekali bagi calon-calon SPM 2024.

Kementerian Pendidikan Tinggi dan institusi pengajian tinggi sentiasa berusaha menyediakan peluang pendidikan yang holistik dan berkualiti untuk semua.

Pelajar juga digalakkan untuk terus berusaha dengan cemerlang, meningkatkan kemahiran diri dan tidak berputus asa walau apa jua keputusan yang bakal diterima.

Pada kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para pelajar yang bakal menerima keputusan UPUOnline pada 16 Jun 2025 (Isnin).

Semoga anda dikurniakan keputusan yang terbaik dan seterusnya menjadi warga Malaysia yang memberi manfaat kepada bangsa, agama dan negara!


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.