Dari skrin ke sekolah: K-Drama pengaruhi buli dalam kalangan remaja?
Adakah gelombang besar budaya pop Korea Selatan khususnya drama sekolah, sedang mempengaruhi cara remaja melihat dan bertindak dalam situasi sosial?

DALAM drama hit Korea The Glory, ada satu babak ngeri yang sukar saya lupakan, seorang pelajar perempuan diheret ke gimnasium oleh rakan-rakan sekolahnya.
Di sana, pembuli menghidupkan seterika rambut, memegangnya dekat wajah mangsa sebelum menekapkannya ke lengan dan tubuhnya, sehingga melecur. Adegan itu memaparkan jeritan kesakitan mangsa, diiringi gelak tawa kejam para pelaku.
Bagi penonton, ia mungkin sekadar babak dramatik yang menyayat hati. Namun, apa yang mengejutkan ialah babak ini diinspirasikan daripada kes buli sebenar yang pernah menggemparkan Korea Selatan pada tahun 2006, di mana seorang pelajar perempuan menjadi mangsa serangan kejam menggunakan seterika rambut oleh rakan sekolahnya sendiri.
Perlakuan sebegitu bukanlah semata-mata fiksyen, ia mencerminkan insiden yang berlaku di dunia nyata. Dengan kes buli sekolah di Malaysia semakin kerap menjadi berita utama, persoalan mula timbul, adakah gelombang besar budaya pop Korea, khususnya drama sekolah, sedang mempengaruhi cara remaja melihat dan bertindak dalam situasi sosial?
Buli di Malaysia: Satu Kebimbangan yang Meningkat
Baru-baru ini, kematian pelajar berusia 15 tahun, Zara Qairina Mahathir mengejutkan Masyarakat Malaysia.
Kematian pelajar dipercayai berkaitan dengan kes buli, mencetuskan kemarahan rakyat dan janji Perdana Menteri untuk siasatan telus.
Awal tahun 2025, tular satu video dari sebuah sekolah menengah di Kerian yang memaparkan seorang pelajar perempuan ditampar berulang kali oleh rakan sekelas.
Beberapa pelajar terlibat telah dibuang atau digantung sekolah. Pada tahun 2017, Zulfarhan Osman Zulkarnain, pelajar kadet tentera di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), meninggal dunia akibat dera fizikal ekstrim yang dipercayai termasuk penggunaan seterika elektrik untuk menyiksa. Enam pelajar telah dijatuhkan hukuman mati dan 12 lagi dipenjara.
Tidakkah modus-modus buli ini seakan diambil terus daripada adegan kejam dalam The Glory, seakan fiksyen ngeri yang kini berlaku di dunia nyata?
Menurut kajian kebangsaan, 16.2 peratus pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 17 tahun di Malaysia mengaku pernah dibuli.
Buli siber pula memberi kesan kepada kira-kira 13.7 peratus remaja di Semenanjung Malaysia, dengan kaitan rapat terhadap masalah kebimbangan, kemurungan, dan juga kecenderungan membunuh diri.
Kementerian Pendidikan menegaskan lebih 90 peratus kes buli dan gangguan seksual di sekolah diselesaikan dalam masa 15 hari. Namun saya mempersoalkan apakah yang dimaksudkan dengan ‘selesai’? Saya mengkritik sama ada ‘selesai’ benar-benar membawa keadilan untuk mangsa.
Cermin atau Skrip? Peranan K-Drama
Drama Korea atau K-drama, kini menjadi kuasa budaya global. Di Malaysia, pengaruhnya bukan sahaja jelas pada muzik dan fesyen tetapi juga pada bahasa, gaya dan dinamika sosial pelajar.
Adegan buli sangat kerap muncul dalam jalan cerita drama sekolah Korea. Siri seperti The Glory, Weak Hero Class 1 dan School 2013 memaparkan segalanya daripada pengasingan halus hingga keganasan melampau.
Dalam sesetengah siri, pembuli menerima hukuman berat, dalam yang lain mereka tidak dihukum sehingga lewat cerita, malah kelihatan popular dan berkarisma.
Ahli psikologi media merujuk kepada ‘teori pembelajaran sosial’ iaitu idea bahawa seseorang, khususnya remaja, boleh meniru tingkah laku yang dilihat diberi ganjaran atau dinormalisasi dalam media.
Jika watak pembuli dalam drama dihormati, mengetuai kumpulan atau bebas daripada hukuman, penonton muda mungkin menyerap bahawa tingkah laku tersebut adalah cara untuk berkuasa dalam masyarakat.
Konteks di Korea
Masalah ini bukan hanya berlaku di Malaysia. Korea Selatan sendiri bergelut dengan isu buli sekolah yang serius. Tinjauan Pejabat Pendidikan Metropolitan Seoul pada 2024 mendapati 2.2 peratus pelajar mengalami penderaan di sekolah, kadar tertinggi dalam tempoh sedekad. Secara nasional, terdapat lebih 62,000 kes dilaporkan pada 2022, peningkatan 69% berbanding 2019.
Kadar buli yang tinggi di Korea mungkin menjelaskan mengapa ia sering dipaparkan dalam drama televisyen mereka. Bagi penonton Korea, adegan ini boleh menjadi kritikan sosial. Namun apabila drama ini dieksport, konteks budaya asalnya mungkin hilang, menyebabkan tingkah laku tersebut lebih menonjol daripada mesej pengajaran.
Generasi Baharu & Budaya Penstriman
Remaja hari ini menonton media dengan cara berbeza daripada generasi terdahulu. Mereka tidak lagi menunggu satu episod setiap minggu di televisyen, sebaliknya menonton keseluruhan musim secara maraton di Netflix atau di platform penstriman lain. Klip pendek adegan buli yang intens juga banyak dikongsi di TikTok dan Instagram.
Penonton muda menonton adegan-adegan ekstrim ini tanpa konteks penuh. Mereka hanya melihat bahagian ‘hebat’ atau ‘berkuasa’ daripada tingkah laku pembuli, tanpa melihat akibat daripada perbuatan tersebut. Kesannya, mesej yang salah akan diserap oleh para remaja.
Faktor Lain yang Menyumbang
Pakar mengingatkan agar tidak menyalahkan K-drama semata-mata. Buli berpunca daripada pelbagai faktor seperti budaya sekolah, gaya keibubapaan, hierarki rakan sebaya dan sistem pendidikan. Tekanan akademik yang tinggi dan struktur sosial yang ketat boleh mencetuskan perasaan tertekan yang akhirnya membawa kepada pencerobohan.
“Media boleh menguatkan sikap sedia ada, tetapi jarang menanamnya dari awal.
“Jika seseorang dibesarkan dalam rumah yang menyokong dan bersekolah di tempat yang mempunyai polisi anti-buli yang kukuh, mereka kurang cenderung meniru tingkah laku negatif daripada TV,” kata pakar psikologi dan kaunselor remaja, Lim Wei Han.
Menangani Isu Ini
Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan talian bantuan seperti Talian Kasih (15999) dan MIASA Crisis Helpline (1-800-18-0066) untuk pelajar yang memerlukan bantuan.
Pendidikan literasi media juga menjadi antara langkah yang dibincangkan. Dengan mengajar pelajar untuk menganalisis secara kritikal apa yang mereka tonton, sekolah boleh membantu mereka membezakan antara fiksyen dan tingkah laku yang boleh diterima dalam dunia sebenar.
Ibu bapa juga memainkan peranan penting. Perbualan terbuka tentang apa yang ditonton anak serta bagaimana watak menangani konflik, boleh menjadikan masa menonton sebagai peluang untuk berfikir, bukan meniru.
Pengarah dan penerbit K-drama juga diseru untuk memaparkan isu buli secara bertanggungjawab.
“Hiburan mempunyai kuasa mempengaruhi tingkah laku, terutama dalam kalangan penonton muda.
“Pencipta kandungan perlu sedar bahawa karya mereka tidak wujud dalam ruang kosong. Apabila adegan merentasi budaya, ia boleh ditafsir dengan cara yang mereka tidak pernah jangka,” kata Dr. Noor Afiqah.
Persoalan Akhir
Kegilaan terhadap K-drama tidak akan pudar dalam masa terdekat ini. Bagi ramai remaja, drama-drama ini adalah tingkap kepada dunia yang glamor, dramatik dan penuh emosi.
Tidak dapat dinafikan bahawa K-drama memang ketara dalam mengetengahkan trend di mana kecantikan, penampilan mewah dan status sosial tinggi digambarkan sebagai tanda kejayaan dan kebahagiaan.
Sebaliknya, watak yang tidak mencapai piawaian kecantikan ini sering dijadikan bahan lawak, dilayan dengan hinaan, atau digambarkan sebagai lemah, miskin dan kurang bernilai. Skrip K-drama seperti ini boleh memberi kesan sampingan terutamanya kepada penonton muda dengan mengukuhkan stereotaip dan tekanan sosial yang tidak sihat.
Oleh itu, ketika sekolah di Malaysia terus bergelut dengan isu buli, masyarakat wajar bertanya: adakah kita sedang memberikan skrip yang betul kepada anak-anak kita?
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.