DI Malaysia, golongan wanita kini membentuk sebahagian besar daripada populasi dewasa, dengan lebih 50 peratus daripada jumlah penduduk berusia 18 tahun ke atas terdiri daripada wanita.
Bagaimanapun, dalam dunia perniagaan terutama dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), penglibatan wanita masih belum mencapai keseimbangan dengan penglibatan lelaki.
Terdapat lebih 1.2 juta PKS di Malaysia, menyumbang kira-kira 97 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaan di negara ini.
Meskipun semakin ramai wanita beralih kepada sektor keusahawanan, majoriti pelopor dalam sektor ini masih didominasi oleh golongan lelaki.
Kebangkitan teknologi dan digitalisasi telah membuka peluang baharu kepada wanita, khususnya dalam perniagaan dalam talian.
Platform e-dagang dan media sosial memberi akses kepada wanita untuk memulakan perniagaan dari rumah dengan kos yang lebih rendah dan risiko yang terkawal berbanding perniagaan fizikal yang memerlukan modal lebih besar.
Namun, walaupun terdapat peningkatan dalam bilangan usahawan wanita dalam talian, masih wujud jurang ketara dalam perniagaan tradisional seperti pembuatan dan pembinaan yang sering dianggap sebagai ‘bidang lelaki’.
Cabaran Wanita dalam Perniagaan
Wanita yang menceburi perniagaan berdepan beberapa cabaran utama:
1. Akses kepada Modal Kewangan
Banyak usahawan wanita sukar mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan yang kadangkala terikat dengan kriteria yang lebih memihak kepada lelaki.
Kajian oleh Global Entrepreneurship Monitor (GEM) pada 2023 mendapati bahawa majoriti usahawan wanita menjalankan perniagaan mikro atau kecil yang biasanya dibiayai menggunakan simpanan peribadi akibat keterbatasan akses kepada modal luar.
2. Stereotaip Jantina
Stereotaip jantina masih kuat dalam beberapa sektor, menyebabkan wanita menghadapi kekangan sosial dan persepsi yang mengehadkan potensi mereka.
Stereotaip ini bukan sahaja menghalang wanita daripada memasuki sektor yang lebih mencabar seperti teknologi atau pembinaan tetapi juga mengurangkan keyakinan diri mereka dalam bersaing dengan lelaki.
Kajian oleh Bank Dunia (2022) menunjukkan bahawa hanya 23 peratus daripada perusahaan yang dimiliki sepenuhnya oleh wanita di Malaysia dan peratusan ini lebih rendah dalam sektor-sektor yang dianggap mencabar.
3. Kekangan Pemasaran
Kajian oleh UN Women (2021) mendedahkan bahawa 56 peratus wanita di Malaysia yang terlibat dalam perniagaan dalam talian melaporkan peningkatan pendapatan sejak pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, sebahagian besar mereka masih menghadapi cabaran dalam aspek pemasaran digital dan pengurusan operasi.
Dapatan-dapatan ini menunjukkan bahawa meskipun wanita semakin aktif dalam dunia perniagaan, khususnya dalam perniagaan dalam talian, jurang dari segi akses kepada modal dan peluang pembangunan dalam sektor-sektor tertentu masih wujud.
Inisiatif Kerajaan dan Sektor Swasta
Langkah ke arah keseimbangan jantina dalam perniagaan memerlukan sokongan menyeluruh daripada pelbagai pihak.
Di peringkat kerajaan, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk memperkasakan wanita dalam perniagaan.
Ini termasuk program bantuan modal yang memberi peluang kepada usahawan wanita untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
Dapatan daripada SME Corp Malaysia menunjukkan bahawa sejak 2020, sebanyak 42 peratus daripada bantuan pembiayaan yang disediakan melalui program-program khas diperuntukkan kepada wanita.
Namun, terdapat ketidakseimbangan dalam jumlah wanita yang memohon dan berjaya mendapatkan pinjaman berbanding lelaki.
Sektor swasta juga memainkan peranan penting dalam memperkasakan wanita.
Banyak syarikat dan institusi telah melancarkan program mentor dan latihan khusus untuk wanita yang bercita-cita menjadi usahawan.
Program-program ini membantu wanita mendapatkan bimbingan dan sokongan profesional yang diperlukan untuk menghadapi cabaran perniagaan dan menavigasi landskap keusahawanan yang kompleks.
Secara keseluruhannya, wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan ekonomi negara.
Usaha memperkasakan wanita dalam bidang perniagaan bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan ini tetapi juga membantu memperkukuhkan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
Dengan sokongan daripada kerajaan, sektor swasta serta perubahan budaya dan persepsi, masa depan yang lebih inklusif dan seimbang dari segi jantina dalam perniagaan di Malaysia dapat direalisasikan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.