KUALA LUMPUR, 14 November 2024 – Advokasi Industri Vape Malaysia (MVIA) menyeru kerajaan Malaysia agar meneliti dengan lebih mendalam kesan larangan pameran produk vape yang diperkenalkan di bawah Akta 852 terhadap keseluruhan ekosistem industri vape, termasuk kesan ekonomi tempatan dan tenaga kerja.
MVIA bimbang bahawa larangan itu bukan sahaja menjejaskan peniaga individu tetapi juga membawa impak besar kepada keseluruhan rantaian nilai, termasuk usahawan Bumiputera, pekerja industri dan pelbagai penyokong perniagaan yang terlibat dalam sektor ini.
Presiden MVIA, Rizani Zakaria menegaskan, “Industri vape di Malaysia merangkumi pelbagai sektor, daripada pembuatan, pengedar, hingga peruncit.
“Larangan pameran produk akan memberi kesan berantai yang akan menjejaskan bukan sahaja pendapatan peniaga tetapi juga mengurangkan potensi pengembangan industri serta peluang pekerjaan, terutama sekali kepada komuniti Bumiputera yang bergantung kepada industri ini sebagai sumber rezeki.”
Menurut Rizani, larangan pameran di kedai jualan membebankan peruncit oleh sebab pengubahsuaian akan melibatkan kos yang banyak.
Ini adalah satu cabaran yang ketara terutamanya kepada pengusaha kecil dan sederhana, yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan Bumiputera.
“Peraturan larangan pameran ini bukan sahaja membebankan peniaga tetapi ia juga akan menjejaskan ekosistem perniagaan secara keseluruhan kerana ramai pihak industri akan menghadapi tekanan kewangan yang tinggi,” tambah beliau.
MVIA menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan langkah-langkah pengawalan yang lebih menyeluruh agar dapat mencapai keseimbangan antara melindungi kesihatan awam sambil tidak menjejaskan daya maju ekonomi sektor ini.
“Kami berharap pihak kerajaan dapat mengkaji semula peraturan ini dan melihat kesan jangka panjangnya kepada ekosistem industri vape serta kesannya kepada golongan yang bergantung hidup kepada industri ini,” kata Rizani.
Sebagai organisasi yang menjuang kepentingan industri vape di Malaysia, MVIA akan terus menyokong usahawan tempatan dan bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan peraturan yang adil dan mampan dalam industri ini.