DKSH, Etika Fresh Milk jalin kerjasama strategik perluas edaran Goodday Susu Pasteur
Memperkukuh portfolio produk tenusu menerusi kerjasama strategik dengan Etika Fresh Milk Sdn. Bhd., bagi memperluaskan jangkauan Goodday Susu Pasteur ke seluruh Semenanjung.
KUALA LUMPUR, 14 Disember 2025 – Unit Perniagaan Barangan Pengguna DKSH, rakan strategik kepada syarikat yang ingin mengembangkan perniagaan barangan pengguna di Asia memeterai perkongsian dengan Etika Fresh Milk Sdn. Bhd., pengeluar Goodday Susu Pasteur.
Kerjasama ini bertujuan meningkatkan kehadiran jenama Goodday di pasaran serta memastikan produk susu segar berkualiti tinggi itu lebih mudah diakses oleh pengguna di seluruh Semenanjung.
Menerusi perkongsian berkenaan, DKSH Malaysia akan menyediakan Perkhidmatan Pengembangan Pasaran secara menyeluruh bagi Goodday Susu Pasteur merangkumi jualan, pemasaran perdagangan, pengedaran dan logistik serta pengurusan kredit dan kutipan.
Inisiatif ini melibatkan kedua-dua saluran runcit dan perkhidmatan makanan, termasuk pasar raya besar terpilih, pasar raya serta kedai-kedai utama di seluruh Semenanjung Malaysia.
Dengan memanfaatkan rangkaian pengedaran DKSH yang luas serta kepakaran mendalam dalam pasaran tempatan, kerjasama ini disasarkan untuk menyampaikan produk susu segar dengan kualiti dan kebolehpercayaan yang konsisten kepada lebih ramai pengguna.
Goodday Susu Pasteur yang beribu pejabat di Petaling Jaya merupakan jenama susu segar yang dikenali di Malaysia, menawarkan pelbagai produk berkhasiat bagi menyokong gaya hidup sihat. Jenama ini menitikberatkan penyampaian kesegaran dari ladang ke meja pengguna sambil mengekalkan piawaian tertinggi dari segi kualiti, keselamatan dan rasa.
Naib Presiden Operasi Jualan dan Pemecutan Perniagaan Etika Fresh Milk Sdn. Bhd., Jordan Ng berkata, kerjasama itu membolehkan Goodday memanfaatkan kepakaran pasaran DKSH yang terbukti. Menurutnya, perkongsian tersebut berasaskan komitmen bersama terhadap kualiti dan kecemerlangan, sekali gus membantu menjadikan Goodday Susu Pasteur lebih mudah diperoleh oleh pengguna di seluruh Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Naib Presiden Barangan Pengguna Segera DKSH Malaysia, Daniel Schwalb berkata, susu segar merupakan keperluan harian yang menyatukan keluarga, daripada sarapan pagi hingga ke minuman harian.
Beliau menegaskan kerjasama dengan Etika Fresh Milk mencerminkan komitmen DKSH untuk meningkatkan pemakanan harian rakyat Malaysia melalui akses yang lebih luas kepada susu segar dan berkhasiat.
Perkongsian strategik ini sekali gus mengukuhkan komitmen DKSH dalam menyokong jenama tempatan terkemuka serta memperkayakan kehidupan pengguna Malaysia dengan memastikan produk tenusu segar berkualiti tinggi lebih mudah diakses di seluruh negara.
