Fenomena ‘barcode cutting’ tanda remaja terdesak
Pelaku akan menggunakan objek tajam seperti besi, pengasah pensil, jarum dan sebagainya untuk mengelar anggota badan secara berulang hingga cedera.

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, sekolah-sekolah dan institusi pendidikan di Malaysia semakin berdepan dengan satu gejala yang membimbangkan iaitu perbuatan mengelar tangan secara berulang sehingga meninggalkan parut berbentuk jalur selari atau lebih dikenali dalam kalangan remaja sebagai barcode cutting. Fenomena ini bukan sahaja meresahkan guru-guru dan ibu bapa, malah menunjukkan perubahan budaya yang memerlukan perhatian serius daripada seluruh masyarakat.
Perbuatan itu dirujuk sebagai barcode cutting kerana pelaku akan menggunakan objek tajam seperti besi, pengasah pensil, jarum dan sebagainya untuk mengelar anggota badan secara berulang hingga cedera. Walaupun wujud tanggapan bahawa gejala mencederakan diri ini hanya berlaku di negara Barat, realitinya ia kini menular dalam kalangan remaja Islam di Malaysia. Penyebarannya bukan datang daripada budaya tempatan, malah berpunca daripada pengaruh media luar dan kandungan digital yang tidak terkawal. Tindakan melukakan diri atas alasan meredakan tekanan dalam kalangan remaja makin membimbangkan apabila perbuatan ekstrem itu tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya berisiko menyebabkan kecederaan serius.
Asal-usul
Budaya mengelar tangan bukan sesuatu yang lahir dalam masyarakat Islam. Ia mula tercetus dalam subkultur Barat sekitar awal tahun 2000-an, terutamanya dalam komuniti emo, punk dan goth, yang merupakan suatu subkultur yang berasal dari musik rock. Pada waktu itu, tindakan mencederakan diri dilihat sebagai cara meluahkan tekanan emosi, walaupun hakikatnya ia tidak menyelesaikan apa-apa. Dalam komuniti tersebut, sebahagian remaja menggores tangan secara selari sehingga membentuk jalur seperti kod bar. Imej ini kemudian tersebar lebih meluas melalui platform Tumblr antara tahun 2010 hingga 2014, ketika gelombang sad aesthetic mendapat sambutan.
Media popular seperti filem Thirteen, Girl Interrupted dan drama bersiri 13 Reasons Why turut memperlihatkan elemen self-harm, sekali gus membuka ruang normalisasi terhadap perbuatan tersebut. Walaupun tidak menunjukkan bentuk barcode secara jelas, naratif self-harm menjadi lebih ketara dalam budaya pop. Di Asia Timur pula, beberapa manga Jepun turut mengetengahkan watak yang bergelut dengan isu depresi dan kecederaan diri seperti Oyasumi Punpun dan Aku no Hana. Walaupun tidak menggambarkan barcode secara literal, tema itu sendiri cukup untuk mencipta normalisasi baharu dalam kalangan pembaca remaja.
Di Malaysia, budaya ini meresap melalui gabungan pengaruh media digital yang tidak dipantau. Antaranya termasuk media sosial, terutamanya TikTok, Instagram dan Discord, di mana remaja terdedah kepada kandungan sensitif dan komuniti yang mempopularkan self-harm sebagai cara melepaskan tekanan. Pengaruh lain termasuk anime dan muzik emo, yang sering dibincangkan dalam kumpulan remaja tanpa bimbingan dewasa. Selain itu, aplikasi chat tertutup, termasuk group venting (budaya curhat) yang menggalakkan remaja berkongsi gambar luka sebagai coping mechanism turut menjadi jalan masuk.
Pengaruh ini menjadi lebih kuat apabila remaja berdepan tekanan hidup, konflik keluarga, prestasi akademik atau kesunyian yang berpanjangan. Tanpa ruang selamat untuk berkongsi, mereka mencari jawapan dalam komuniti maya yang salah, lalu menjadikan self-harm sebagai ‘bahasa emosi’.
Terdapat beberapa faktor utama di mana budaya ini meresap masuk ke dalam jiwa remaja kita. Antaranya adalah perasaan kebas emosi di mana remaja yang merasa kosong cuba mencederakan diri untuk ‘merasai sesuatu’. Selain itu, remaja menganggap ia adalah mekanisme untuk melawan tekanan, kerana mereka percaya kesakitan fizikal dapat mengalih tumpuan daripada tekanan mental.
Selain mengikuti trend dan cabaran rakan sebaya, remaja mudah meniru tingkah laku apabila perbuatan itu dibuat oleh ramai rakan. Selain itu, ia juga dilakukan sebagai ekspresi sad aesthetic kepada orang dewasa, bahawa perasaan mereka sedang menderita. Fenomena ini bukanlah tanda nakal atau degil, tetapi ia adalah tanda terdesak yang memerlukan sokongan perasaan dan pemantauan profesional.
Pandangan Islam terhadap ‘self-harm’
Islam meletakkan tubuh badan sebagai amanah yang wajib dipelihara. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 melarang manusia mencampakkan diri ke dalam kebinasaan: “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 195).
Dalam riwayat at-Thabarani, asbabun nuzul ayat ini menjelaskan bahawa dahulu ada orang yang melakukan perbuatan dosa, lalu karena pesimis dan ragu kepada Allah, mereka berkata “Apakah mungkin Allah SWT mengampuniku?” Maka turunlah ayat “Janganlah kalian menjatuhkan diri kalian dalam kebinasaan.”
Hal ini persis dengan seseorang yang melakukan self-harm pada dirinya sendiri, bermula daripada keraguan dan kebimbangan mereka pada diri mereka dalam menjalani hidup dan menyelesaikan masalah, sehingga mereka memilih jalan sendiri. Jalan yang dipilih ini adalah jalan yang jelas dilarang dan tidak dibenarkan dalam agama, sosial, maupun psikologi.
Oleh itu, larangan pada ayat ini menunjukkan bahwa perbuatan self-harm sangat dilarang daripada sisi Islam dan harus dihindari dari setiap jiwa manusia di sepanjang zaman. Larangan ini adalah agar terjaganya nyawa menurut Maqasid Syari’ah, terciptanya ketenangan dalam hidup, kedamaian dalam emosi serta terjaganya kesihatan mental.
Budaya barcode cutting ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Langkah pencegahan haruslah diambil oleh pelbagai pihak dan antara tindakan utama yang perlu diambil adalah memberi kefahaman agama kepada masyarakat mengenai larangan Allah terhadap budaya self-harm ini. Walaupun ia adalah trend, ini tidak bermakna ia dibenarkan oleh Islam.
Selain itu, remaja haruslah diberi ruang yang selamat untuk mereka meluah, tanpa menengking atau menghukum. Kesibukan dan ketidaksiapan ibu bapa mendengar luahan anak menjadikan remaja memilih jalan sendiri untuk keluar daripada permasalahan mereka dengan mencederakan diri. Ibu bapa juga perlu lebih peka dengan perubahan emosi anak apabila mereka meningkat remaja dengan menyediakan ruang yang cukup untuk mereka mengadaptasi transisi dalaman diri mereka.
Penyerapan pengaruh luar juga harus disekat dengan tegas oleh pihak berwajib. Kandungan di media sosial terutamanya berkaitan depresi, self-harm, sad aesthetic dan lain-lain lagi haruslah disekat.
Akses yang mudah terhadap budaya tidak bermoral ini haruslah ditentang secara tegas oleh kerajaan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sesuai dengan prinsip Islam, Sadd al-Zara’i iaitu langkah pencegahan untuk mengelakkan kerosakan atau keburukan yang lebih besar.

