Siapa sepatutnya jaga amanah derma awam?
Drama seperti Disebalik Jubah dan Doa Yang Terlindung mengangkat naratif tentang imej kesucian agama yang menyembunyikan konflik integriti.

PENAHANAN seorang pendakwah yang dikaitkan dengan siasatan berhubung sumbangan orang awam baru-baru ini telah mencetuskan perbincangan luas dalam masyarakat.
Seperti yang ditegaskan dalam laporan media, individu yang disiasat belum disabitkan kesalahan dan proses undang-undang perlu dihormati sepenuhnya. Prinsip ini penting dalam memastikan keadilan terpelihara.
Namun di luar persoalan individu, timbul isu yang lebih besar dan lebih penting iaitu sejauh mana organisasi kebajikan dan dakwah di Malaysia mempunyai sistem tadbir urus yang benar-benar kukuh untuk melindungi amanah dana masyarakat?
Sumbangan orang ramai bukan sekadar transaksi kewangan. Ia adalah amanah yang lahir daripada kepercayaan. Masyarakat memberi kerana percaya dana tersebut akan digunakan untuk tujuan kebajikan yang diuar-uarkan. Apabila timbul dakwaan salah guna, yang terjejas bukan sahaja reputasi individu atau organisasi tertentu tetapi keyakinan terhadap keseluruhan sektor amal.
Tema ini sebenarnya bukan asing dalam wacana masyarakat. Drama seperti Disebalik Jubah dan Doa Yang Terlindung mengangkat naratif tentang imej kesucian agama yang menyembunyikan konflik integriti.
Walaupun bersifat fiksyen, mesejnya jelas, simbol dan reputasi tidak mencukupi tanpa sistem yang telus dan boleh dipertanggungjawabkan. Realiti semasa menunjukkan bahawa persoalan tersebut bukan lagi sekadar drama tetapi cabaran tadbir urus yang nyata.
Organisasi kebajikan beroperasi dalam struktur yang berbeza daripada syarikat komersial. Matlamatnya bukan memaksimumkan keuntungan tetapi memaksimumkan impak sosial.
Namun dana yang diurus tetap dana awam. Ia menuntut disiplin kewangan yang sekurang-kurangnya setara dengan sektor korporat. Kepercayaan masyarakat adalah aset utama dan apabila ia terhakis, kesannya boleh menular sebagai risiko reputasi kepada seluruh ekosistem amal.
Beberapa kelemahan lazim boleh menyumbang kepada risiko dalam organisasi bukan bersifat keuntungan. Antaranya ialah kawalan dalaman yang tidak mencukupi.
Banyak pertubuhan bermula secara kecil dan berkembang pesat melalui sokongan awam. Namun sistem perakaunan dan pemantauan tidak sentiasa diperkukuh seiring pertumbuhan dana. Apabila individu yang sama mengutip, meluluskan dan merekodkan transaksi, ruang risiko salah laku terbuka.
Selain itu, tumpuan kuasa pada satu figura berpengaruh boleh melemahkan semak dan imbang. Kepimpinan yang kuat mampu menggerakkan sokongan tetapi tanpa pengawasan bebas oleh badan pentadbir seperti jawatankuasa atau pemegang amanah, keputusan kewangan mungkin tidak diteliti secara objektif. Populariti tidak boleh menggantikan system kawalan dalaman yang diperlukan dalam sebauh organisasi.
Tekanan untuk kelihatan cekap juga boleh mempengaruhi pelaporan kewangan dalam organisasi kebajikan. Penderma sering menilai organisasi melalui nisbah perbelanjaan program berbanding kos pentadbiran.
Ini boleh mewujudkan insentif untuk mengklasifikasikan kos tertentu agar kelihatan lebih baik di atas kertas, walaupun tidak sepenuhnya mencerminkan realiti. Tanpa audit yang teliti, persepsi kecekapan mungkin tidak selari dengan tadbir urus sebenar.
Pada masa sama, pengumpulan dana secara digital yang semakin pesat menambah kerumitan pengurusan kewangan. Kutipan dalam talian memudahkan sumbangan tetapi memerlukan sistem rekonsiliasi dan pemantauan yang lebih canggih. Tanpa penyesuaian struktur kawalan dalaman, risiko kesilapan atau penyalahgunaan meningkat.
Dari sudut kerangka kawal selia, organisasi kebajikan di Malaysia boleh berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi syarikat berhad menurut jaminan atau sebagai badan amanah.
Setiap struktur mempunyai keperluan pematuhan tertentu untuk memastikan tadbir urus yang baik. Namun banyak aspek tadbir urus bergantung kepada disiplin dalaman organisasi itu sendiri. Tidak semua entiti diwajibkan menerbitkan penyata kewangan yang diaudit secara terbuka dan tahap ketelusan berbeza-beza.
Bagi mengurangkan risiko, beberapa langkah boleh diperkukuh. Badan pentadbir perlu berfungsi secara aktif dan bebas, bukan sekadar simbolik. Penyata kewangan perlu diteliti secara substantif dan transaksi signifikan disemak dengan teliti.
Pemisahan tugas dalam pengurusan dana mesti jelas, agar tiada individu memegang kawalan penuh ke atas kutipan dan perbelanjaan. Pemisahan tugas dalam pengurusan dana perlu diwajibkan sebagai amalan standard. Tiada individu seharusnya mengawal keseluruhan rantaian kewangan daripada kutipan hingga pelaporan
Audit bebas wajar dijadikan norma bagi organisasi yang mengutip dana awam dalam jumlah besar. Audit bukan sekadar mengesahkan angka tetapi menilai keberkesanan kawalan dalaman dan mengenal pasti risiko sebelum ia menjadi krisis. Yang lebih penting, setiap teguran audit mesti disusuli dengan tindakan pembetulan yang dipantau.
Ketelusan juga perlu dipertingkatkan melalui penerbitan laporan tahunan yang merangkumi penyata kewangan diaudit serta ringkasan penggunaan dana yang mudah difahami oleh masyarakat.
Masyarakat berhak menuntut standard akauntabiliti yang tinggi daripada mana-mana organisasi yang mengutip dana atas nama kebajikan dan agama. Tuntutan ini bukanlah prasangka tetapi sebahagian daripada norma tadbir urus yang sihat.
Dalam sektor kebajikan, mata wang sebenar bukan sekadar ringgit. Ia adalah kepercayaan ini hanya dapat dipertahankan apabila sistem perakaunan, kawalan dalaman dan audit berfungsi secara berkesan sebagai pelindung integriti yang bukan sekadar formaliti pentadbiran.

