Raikanlah Syawal dengan gembira tetapi beradab

Dalam berinteraksi dengan kreativiti masyarakat Islam bagi memeriahkan aktiviti berbentuk kekeluargaan itu, terdapat suara-suara yang menyokong dan melarang.

Poster Terkini (10)


KEHADIRANNYA disambut meriah oleh umat Islam di seluruh dunia. Pelbagai aktiviti dilakukan bagi memeriahkan suasana di samping rakaman kebersamaan yang bakal menjadi kenangan dan ingatan bersama.

Terdapat pengisian yang berdasarkan trend-trend semasa dan selari dengan perkembangan teknologi semasa. Biasanya trend yang dilakukan akan menjadi tular dan menjadi ikutan banyak pihak.

Umpamanya trend cabaran mikrofon terbuka (open-mic challenge), pelbagai tarian dan gerakan secara berkumpulan selari dengan iringan lagu raya pilihan, trend velocity, permainan menarik tali yang diikat dengan hadiah, menyudip wang kertas ke dalam kuali, meneka suara, melakukan tarian untuk mengambil duit raya, membuat ucapan beramai-ramai dan seumpamanya.

Dalam berinteraksi dengan kreativiti masyarakat Islam bagi memeriahkan aktiviti berbentuk kekeluargaan tersebut, terdapat suara-suara yang menyokong dan melarang.

Setiap pihak mempunyai hujah yang tersendiri. Di pihak yang menyokong dan terlibat dengan trend tersebut, mereka cenderung melihat ia sebagai hiburan kekeluargaan semata-mata tanpa niat meniru amalan keagamaan pihak lain, di samping ia sebagai aktiviti untuk mengeratkan tali silaturahim dalam kesempatan pertemuan yang ada serta bagi mencipta memori indah bersama.

Bagi pihak yang melarang dan cenderung mengharamkan trend tertentu pula, mereka berpandangan ia boleh mencemarkan sambutan Syawal, melalaikan di samping adanya unsur penyerupaan dengan tarian orang Yahudi.

Asasnya, Aidilfitri adalah sambutan perayaan untuk meraikan kemenangan dalam mujahadah melawan hawa nafsu selama sebulan.

Nabi SAW tidak melarang hiburan yang secara mutlak. Dalam satu kisah, Baginda SAW mengizinkan Saidatina Aisyah untuk mendengar nyanyian dua orang hamba pada hari raya, yang pada mulanya dilarang keras oleh Sayyidina Abu Bakar kerana menghormati hari raya.

Hadis Nabi SAW, maknanya: “Suatu hari Abu Bakar RA datang melawatnya pada hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha dan Nabi Muhammad SAW ada bersamanya pada hari itu. Bersama Aisyah juga ada dua orang penyanyi wanita yang sedang menyanyikan lagu kaum Ansar tentang hari Bu’ath. Maka Abu Bakar pun berkata “seruling syaitan” sebanyak dua kali. Maka Nabi SAW pun bersabda: “Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari perayaan, dan hari ini merupakan hari raya bagi kita. (HR al-Bukhari).

Berdasarkan hadis tersebut, Rasulullah SAW menasihati Sayyidina Abu Bakar untuk membiarkan Saidatina Aisyah untuk mendengar nyanyian tersebut kerana meraikan Aidilfitri. Ia juga adalah sebahagian daripada menzahirkan rasa kegembiraan.

Perlu diingat, dalam rakaman trend yang dikongsi dalam media sosial mempunyai beberapa implikasi sama ada melibatkan keselamatan fizikal, harta benda dan juga spiritual.

Daripada aspek keselamatan fizikal, pendedahan wajah-wajah ahli keluarga di media sosial membuka ruang kepada para penjenayah untuk melakukan tindakan jenayah seperti penculikan dan tebusan wang ringgit.

Pendedahan suasana dan susun atur rumah juga membuka ruang kepada penjenayah untuk melihat ruang dalam rumah tangga, susun atur rumah, barang berharga dan ia membuka ruang kepada sasaran rompakan, rogol dan pembunuhan.

Dalam sisi yang lain, pendedahan wajah insan yang tersayang akan membuka ruang kepada ain golongan yang hasad dengki dan juga sihir pemisah kerana ada orang yang tersakiti dengan kebahagiaan dan keindahan keluarga orang lain, sedangkan kebahagiaan yang dipaparkan oleh orang lain tidak mendatangkan kerugian kepada mereka walau sedikit.

Mereka yang terkena ain pendengki dan sihir pendendam ini akan jatuh sakit dan perlukan rawatan yang sesuai.

Pada dasarnya, Islam tidak mengharamkan hiburan secara mutlak kerana naluri manusia biasanya ingin berhibur untuk merehatkan diri dan mencipta kenangan serta mewujudkan kegembiraan dan kebahagiaan.

Jadi, setiap orang mempunyai cara berhibur yang tersendiri. Selari dengan itu, dalam mencipta kandungan hiburan di media sosial dan dalam meniru trend di musim perayaan, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak tergelincir dari landasan syariat.

Antara panduan tersebut adalah:

Pertama, tiada unsur maksiat. Unsur maksiat melibatkan elemen kandungan trend sama ada pergerakan, tarian, ungkapan, nyanyian dan seumpamanya. Ia termasuklah tiada aksi berbaur lucah, pornoaksi, lirik lucah atau tidak senonoh.

Kedua, tiada unsur penyerupaan (tasyabbuh). Tidak semudah ABC untuk menisbahkan sesuatu trend atau amalan dengan penyerupaan yang dilarang. Ia memerlukan kepada penelitian yang mendalam. Penyerupaan adalah dilarang keras terutamanya melibatkan elemen yang berkaitan dengan akidah. Jadi, umat Islam tidak boleh untuk meniru trend secara membuta tuli agar tidak terjerumus dalam perkara yang dilarang.

Ketiga, tiada unsur pergaulan bebas. Ia termasuklah bersentuhan, bertepuk tampar dan sebagainya. Pergaulan antara yang bukan mahram perlu dijaga kerana ia dapat menghindari perilaku maksiat.

Keempat, tiada unsur berlebihan dan melampaui batas. Sikap melampau dilarang keras oleh Syarak kerana ia akan membuka ruang kepada isu berbangkit lain. Justeru bersederhana adalah lebih baik kerana ia selari dengan akhlak Islam.

Sehubungan dengan itu, dalam meraikan Aidilfitri, umat Islam perlu menjaga adab sopan. Berhati-hatilah dalam menapis dan menilai trend yang sesuai dengan Syariat Islam dan kesantunan sosial Melayu. Dalam memenuhi naluri berhibur, biarlah ia mempunyai nilai keindahan, di samping ia dapat membawa diri mengagungkan dan membesarkan Allah SWT.

Hiburan yang dianjurkan adalah yang dapat membawa manusia semakin rapat kepada Allah SWT. Pilihlah trend yang tidak keterlaluan atau tidak membuka jalan kepada maksiat dan fitnah. Sebaiknya, rakaman memori tersebut kekal sebagai milik peribadi dan tidak menjadi tontonan awam.

Apa gunanya manfaat untuk tular, jika ia membuka ruang kepada penjenayah dan golongan hasad dengki, di samping ia hanya mengalirkan dosa jariah.

Sementelah orang Melayu-Islam khususnya mempunyai akal budi yang tinggi dan kesantunan sosial yang indah, diadun bersama panduan Syarak, maka hasilkanlah trend raya yang menggembirakan tetapi mempunyai nilai yang baik, mencipta kenangan indah, mengeratkan silaturrahim dan mampu mengalirkan pahala jariah.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.