UM gilap kesedaran keselamatan digital remaja SMK La Salle
Program advokasi ini dilancarkan atas dasar kesedaran yang tinggi serta kebimbangan yang mendalam terhadap peningkatan drastik kes jenayah siber.
KUALA LUMPUR, 15 Julai 2026 – Mahasiswa Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM) melalui kursus (LIA1007) Undang-Undang dan Masyarakat telah berjaya menganjurkan sebuah program jalinan komuniti yang berimpak tinggi bertajuk ‘Ancaman Siber: Remaja Celik Digital’.
Program advokasi ini dilancarkan atas dasar kesedaran yang tinggi serta kebimbangan yang mendalam terhadap peningkatan drastik kes jenayah siber yang kian meruncing dan mensasarkan generasi muda di Malaysia kini.
Berdasarkan statistik semasa yang amat membimbangkan, sejumlah 40 peratus kanak-kanak di Malaysia dilaporkan langsung tidak mengetahui cara atau kaedah terbaik untuk melindungi diri mereka ketika melayari internet. Keadaan ini menjadi lebih kritikal apabila 83 peratus daripada golongan tersebut terdedah kepada pelbagai risiko eksploitasi dalam talian akibat daripada sistem perlindungan peranti dan kesedaran kendiri yang tidak mencukupi.
Trend negatif ini mendedahkan golongan remaja kepada ancaman keselamatan yang serius seperti gejala buli siber, pencurian identiti, taktik pengantunan seksual dalam talian (online grooming), serta penyebaran maklumat peribadi tanpa kebenaran secara tidak terkawal.

Oleh yang demikian, tujuan utama bengkel advokasi ini diadakan adalah untuk melatih para pelajar sekolah menengah mengesan bahaya dan risiko tersorok di alam maya melalui pendedahan intensif kepada kes-kes jenayah sebenar yang pernah dikendalikan di mahkamah negara.
Projek komuniti ini juga bermatlamat untuk menerapkan kemahiran praktikal yang komprehensif bagi menjamin keselamatan peranti peserta ketika mereka menggunakan aplikasi media sosial harian dan platform permainan video. Pada masa yang sama, bengkel ini berfungsi meningkatkan pemahaman undang-undang mereka terhadap hak, tanggungjawab sivik, serta implikasi perundangan yang ketat terhadap sebarang bentuk tingkah laku jelik atau hantaran yang dimuat naik di internet.
Bagi merealisasikan objektif murni jalinan masyarakat ini, sebuah bengkel interaktif secara bersemuka telah diadakan dengan jayanya di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya, Selangor. Memandangkan program ini berbentuk advokasi komuniti khusus, ia secara bersasar memfokuskan kepada kelompok remaja sekolah menengah yang mempunyai akses penuh kepada peranti elektronik dan aktif menggunakan media sosial popular seperti Instagram, TikTok dan X, serta platform permainan video global seperti Mobile Legends, PUBG, Roblox dan Minecraft.
Kumpulan sasaran ini dikenal pasti sebagai golongan yang paling berisiko tinggi untuk terjerat sama ada sebagai mangsa penggodaman atau sebagai pelaku jenayah siber secara tidak sengaja akibat kekurangan literasi undang-undang.
Dari sudut keterlibatan penganjuran, seramai 24 orang mahasiswa dan mahasiswi dari Fakulti Undang-Undang UM telah menggembleng tenaga, masa, dan kepakaran undang-undang mereka untuk bertindak sebagai fasilitator, penceramah advokasi, serta pembimbing teknikal sepanjang program berlangsung. Usaha yang dinamik ini telah berjaya menarik penglibatan aktif sekitar 80 orang pelajar sekolah yang hadir sebagai peserta utama.

Selain itu, impak program ini dijangka berterusan selepas tamatnya pelaksanaan bengkel melalui peranan pelajar sebagai ejen penyebaran kesedaran keselamatan digital dalam keluarga masing-masing. Pelajar akan membawa pulang pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh untuk dikongsikan bersama ibu bapa dan penjaga, sekali gus meningkatkan kesedaran serta menggalakkan amalan penggunaan teknologi yang selamat dalam persekitaran rumah. Pendekatan ini memperluas capaian program kepada komuniti keluarga dan menyokong pembudayaan keselamatan digital secara berterusan.
Inisiatif yang terbahagi kepada fasa fizikal pada 13 Mei 2026 dan fasa soal selidik bermula 14 hingga 22 Mei 2026 ini telah dikendalikan secara tersusun dengan jumlah peruntukan bajet yang efisien sebanyak RM 1,200.00.
Bagi mengupas keberkesanan program, beberapa pihak telah memberikan maklum balas positif. Pengarah Projek, Nur Afiqah Safwanah Amdi, 20, pelajar tahun pertama Fakulti Undang-Undang UM, menegaskan bahawa literasi digital pada zaman ini bukan lagi sekadar satu pilihan, sebaliknya telah bertukar menjadi satu keperluan undang-undang yang kritikal.
“Kami mahu para remaja memahami dengan jelas bahawa setiap butang ‘klik’, perkongsian, atau komen yang mereka tinggalkan mempunyai impak perundangan yang nyata di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan,” ulas beliau dengan tegas.
Pandangan ini disokong kuat oleh wakil peserta, Muhammad Raiyan, 15, pelajar Tingkatan 3 SMK La Salle, berkongsi bahawa dia kini lebih berwaspada mengenai perkongsian data peribadi.
“Sebelum ini, saya sering bermain game dan memuat naik gambar tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Sekarang, saya sudah tahu cara untuk mengaktifkan pengesahan dua faktor (2FA) dan bagaimana mahu melaporkan kes buli siber sekiranya ia berlaku kepada rakan-rakan” katanya.
Wakil komuniti, Hafizah, kaunselor kepada peserta-peserta memuji inisiatif ini kerana membantu guru-guru dan ibu bapa memantau aktiviti digital anak-anak dengan lebih berkesan menerusi garis panduan yang disediakan dengan lebih efektif tanpa menjejaskan privasi mereka.
Penganjur berharap agar program ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi antara universiti dan sekolah dalam menangani isu keselamatan siber. Usaha ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan skala yang lebih besar, melibatkan agensi keselamatan siber negara bagi membentuk ekosistem digital yang selamat untuk masa depan Malaysia.
Harapan utama daripada penganjuran program pada kali ini adalah untuk melahirkan sebuah kelompok rujukan dinamik yang bertindak sebagai ‘Duta Siber’ dalam kalangan pelajar SMK La Salle sendiri. Melalui modul praktikal dan pemahaman perundangan yang telah dicurahkan, para peserta diharapkan tidak sekadar menjadi pengguna media sosial yang bijak, malah berupaya menjadi pelindung barisan hadapan yang menyebarkan ilmu keselamatan siber ini kepada rakan sebaya dan ahli keluarga terdekat secara berterusan.
Bagi perancangan masa hadapan, penganjur mempunyai visi yang besar untuk meluaskan skala program advokasi ini daripada peringkat sekolah komuniti tempatan ke peringkat daerah, negeri dan akhirnya ke peringkat nasional. Struktur modul ‘Remaja Celik Digital’ ini dirancang untuk diinstitusikan secara rasmi sebagai program khidmat masyarakat tahunan oleh Fakulti Undang-Undang UM, terutamanya dengan memfokuskan kepada sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi merapatkan jurang literasi keselamatan digital.
Pihak penganjur juga menyasarkan kolaborasi strategik yang lebih erat bersama agensi keselamatan negara seperti CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Gabungan jalinan ini penting bagi menyediakan silabus latihan yang lebih dinamik, interaktif dan sentiasa dikemas kini mengikut evolusi trend ancaman siber terkini, demi memastikan masa depan landskap digital Malaysia sentiasa selamat, makmur, dan berpaksikan undang-undang.
