Merdeka, Malaysia dan masa depan kewangan
Kemerdekaan yang dinikmati ini bukan juga satu tarikh keramat, sebaliknya merupakan lambang pengorbanan menggadaikan nyawa demi membebaskan tanah air tercinta agar berdiri megah sebagai sebuah negara yang bebas, bermaruah dan berdaulat.

MALAYSIA bumi bertuah inilah tempat kita mendapat jaminan perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan untuk meneruskan kehidupan. Di sinilah tempat utama sumber rezeki, di sinilah berlalunya umur dan kehidupan kita serta di sinilah juga tempat kita melakar masa depan cemerlang anak-anak yang dilahirkan.
Bebasnya negara daripada penjajahan serta jayanya pembentukan Malaysia, bukanlah jalan mudah, tanpa perancangan dan perjuangan jitu dengan darah, keringat dan air mata. Semangat ini telah ditunjukkan oleh negarawan, ilmuan dan pahlawan terdahulu sebagai batu asas, agar sikap begini terus kekal dalam sanubari generasi muda, meskipun suasana berbeza.
Kemerdekaan yang dinikmati ini bukan juga satu tarikh keramat, sebaliknya merupakan lambang pengorbanan menggadaikan nyawa demi membebaskan tanah air tercinta agar berdiri megah sebagai sebuah negara yang bebas, bermaruah dan berdaulat.
Untuk merdeka, perlukan perancangan yang rapi, persediaan kental fizikal dan peralatan, diiringi pemimpin yang mempunyai ilmu dan jati diri yang tinggi. Setiap gerak perlu dimulai dengan merancang strategi agar peluang yang ada dapat dimanfaat dengan sempurna. Itulah cara perjuangan yang ditinggalkan untuk diwarisi hingga kini.
Sebaliknya, perjuangan zaman moden ini memerlukan generasi masa kini mempunyai ketahanan jiwa dan minda lebih kuat. Perjuangan kini bukannya memerlukan kerahan fizikal seperti dahulu. Kini serangan datang dalam bentuk yang sukar dilihat dengan mata kasar. Mempertahankan sesuatu yang telah dimiliki adalah lebih berat daripada berjuang mendapatkannya.
Apabila dunia telah berubah, corak perjuangan juga turut berubah kepada keadaan memastikan kedudukan ekonomi serta kewangan negara sentiasa kukuh dan mampan. Hasil negara tidak lagi di bawa keluar sesuka hati. Oleh itu, semua pihak perlu bertanggungjawab memastikan kedudukan kewangan individu, keluarga dan masyarakat sentiasa dalam keadaan terkawal agar selari dengan keperluan negara.
Selaras dengan pejuang kemerdekaan suatu ketika dulu, mereka sanggup berkorban berperang bagi mempertahankan tanahair tercinta daripada pihak penjajah. Zaman ini, generasi kini perlu mengambil sifat pengorbanan seperti generasi terdahulu dan diterapkan dalam perjuangan kehidupan seharian di era kini agar hidup kita menjadi lebih baik.
Hidup dengan kemampuan sendiri, tanpa perlu bergantung harap dengan bantuan atau hutang daripada pihak tertentu, yang nampak sedia membantu, namun mungkin ada niat lain yang tersembunyi. Sebagai landasan melaksanakan kewajipan ini, generasi hari ini perlulah persiapkan diri dengan keadaan kewangan yang lebih kukuh, pengetahuan yang tinggi serta perbelanjaan yang lebih berdisiplin memandangkan banyak keperluan yang terus meningkat saban tahun.
Di dalam kehidupan seharian, setiap individu sentiasa berhadapan dengan pembuatan keputusan kewangan. Itulah sebabnya pengetahuan, sikap dan perilaku kewangan merupakan antara elemen penting dalam mempengaruhi individu untuk membuat sebarang keputusan.
Setiap keputusan daripada sekecil individu, keluarga dan masyarakat akan memberikan impak yang besar terhadap kewangan dan eknomi negara. Justeru, bagi memastikan seluruh rakyat mempunyai tahap literasi kewangan yang tinggi, pihak kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran agar rakyatnya bijak membuat keputusan kewangan untuk negara.
Tidak dinafikan, generasi sekarang ini berdepan dengan pelbagai cabaran selepas negara mencapai kemerdekaan. Kepesatan teknologi dan media sosial yang mudah akses, telah membuka ruang penjajahan dalam bentuk baharu, khususnya penjajahan minda, jiwa dan budaya.
Kita mungkin tidak lagi berperang dengan senjata dan meriam, namun kita sedang menghadapi pertempuran intelektual, berjuang menangkis serangan ideologi dan pemikiran yang bertentangan dengan nilai agama dan jati diri bangsa. Perlu juga kita ketahui bahawa setiap perjuangan ada corak tersendiri yang diatur agar mampu menyerang dan bertahan dengan baik hingga meraih kemenangan yang dikehendaki.
Medan pertempuran zaman ini amat berbeza dengan zaman dulu, namun semangat dan sikap perjuangan ada persamaan. Pertempuran di medan ekonomi dan kewangan sebenarnya mempunyai impak yang amat besar terhadap sesebuah negara.
Jika sumber ekomoni dan kewangan negara diserang dan dilumpuhkan, pastinya negara tersebut tidak mampu bertahan lama dalam peperangan tersebut. Serangan melumpuhkan kedudukan kewangan dan ekonomi boleh dilakukan menerusi mata wang, pasaran saham dan institusi perbankan seperti berlakunya krisis kewangan pada tahun 1997.
Tanpa perancangan, aturan strategi dan minda yang kreatif di kalangan pemimpin negara, sukar untuk kita kekal aman dan sejahtera hingga ke hari ini. Semangat serta sikap perjuang yang diwarisi inilah sebenarnya telah menyelamat negara kita kekal berdaulat, dan berjaya mengharungi krisis kewangan dengan acuan kita sendiri.
Jika ekonomi kita tidak diurus dengan baik, negara kita terbuka kepada penjajahan yang baharu. Setiap inci kebebasan dan keamanan yang kita nikmati di bumi bertuah ini merupakan hasil perjuangan yang panjang dan berliku, bermula daripada tragedi berdarah di medan perjuangan hinggalah ke gelanggang diplomasi.
Jangan gadaikannya hanya kerana terliur dengan imbalan dunia hingga terperangkap dengan sikap khianat kepada negara merdeka ini. Semuanya mesti bermula dari individu, keluarga dan masyarakat untuk menolak sebarang bentuk perbuatan khianat kepada negara.
Oleh itu, marilah kita menyambut Hari Malaysia yang telah ditetapkan pada setiap 16 September. Ia bukan sekadar cuti umum serta acara warna-warni tetapi dengan penuh rasa cinta kepada tanah tumpah darah kita serta sentiasa berjuang untuk memastikan tanah air ini terus berdaulat. Sesungguhnya, tarikh ini kekal sebagai simbol perpaduan dan kesatuan rakyat dari Semenanjung hingga ke Borneo atas satu nama Malaysia.
—