Penstrukturan tarif elektrik jimatkan pengguna, mampankan ekonomi
Ini dapat mengelakkan subsidi bocor kepada golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar.

KERAJAAN telah melaksanakan penstrukturan tarif elektrik dengan tujuan memastikan sistem subsidi lebih adil, tepat sasaran dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang.
Langkah ini dilakukan kerana kos tenaga global yang berubah-ubah, sekali gus memberi kesan kepada kewangan negara. Dengan penstrukturan tarif, kerajaan mahu memastikan bantuan benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan, bukan kepada semua tanpa mengira tahap penggunaan.
Secara mudah, penstrukturan tarif bermaksud kerajaan mengubah cara kiraan bil elektrik. Ia seperti menyusun semula ‘tangga harga’. Siapa guna sedikit, bayar rendah, siapa guna lebih banyak, bayar ikut kadar sebenar.
Ini dapat mengelakkan subsidi bocor kepada golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar.
Dari sudut isi rumah, golongan B40 dan M40 sederhana paling mendapat faedah. Keluarga dengan bil sekitar RM60–RM80 sebulan mungkin akan melihat jumlah bayaran yang sama atau lebih rendah.
Sebaliknya, rumah dengan bil RM300 ke atas akan mula membayar lebih, kerana subsidi dikurangkan untuk penggunaan tinggi.
Bagi golongan berpendapatan rendah, penjimatan walaupun hanya RM10 hingga RM20 sebulan sudah cukup bermakna. Dalam setahun, jumlah itu bersamaan RM120–RM240, cukup untuk menampung belanja dapur, minyak masak atau barangan sekolah anak.
Kesan positif penstrukturan tarif juga dapat dilihat kepada ekonomi tempatan. Apabila isi rumah menjimatkan sedikit daripada bil elektrik, lebihan wang akan dibelanjakan di kedai runcit, pasar malam, dan perkhidmatan tempatan.
Ini memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menambah pendapatan dan seterusnya menggerakkan ekonomi komuniti. Dengan kata lain, penjimatan di peringkat isi rumah akhirnya berbalik kepada keuntungan masyarakat setempat.
Daripada perspektif fiskal negara, langkah ini adalah contoh subsidi tersasar. Subsidi tersasar bermaksud hanya golongan layak yang menerima bantuan.
Analogi mudah, dalam sebuah kenduri, hanya tetamu dijemput yang patut menikmati hidangan, bukan semua yang lalu di tepi jalan.
Dengan cara ini, kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan, mengurangkan defisit dan menyalurkan dana kepada sektor penting lain seperti kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam.
Selain itu, struktur tarif ini juga mendidik pengguna untuk lebih berhemah. Bila tahu bil lebih tinggi jika guna berlebihan, rakyat terdorong menjimatkan tenaga.
Contoh mudah, tetapkan suhu penghawa dingin pada 24 darjah Celsius, gunakan lampu LED, tutup suis dan cabut plag apabila tidak digunakan. Amalan ini bukan sahaja mengurangkan bil tetapi juga mengurangkan pelepasan karbon dan membantu negara mencapai sasaran pembangunan lestari.
Dari sudut makroekonomi, penstrukturan tarif memberi kesan positif kepada inflasi. Jika tarif naik terlalu tinggi tanpa kawalan, kos operasi kilang, kedai dan perkhidmatan turut meningkat.
Akhirnya harga barang akan melonjak. Dengan struktur tarif baharu, kenaikan harga barang dapat diminimumkan, sekaligus membantu kestabilan inflasi negara.
Bagi sektor tenaga pula, tarif yang adil membolehkan syarikat utiliti mengekalkan pendapatan mencukupi untuk menyelenggara infrastruktur dan melabur dalam tenaga baharu.
Ia seumpama kutipan tol jalan raya apabila kutipan seimbang, jalan dapat diselenggara dengan baik tanpa menekan pengguna miskin.
Walau bagaimanapun, cabaran tetap wujud. Kerajaan perlu memastikan subsidi tidak disalah guna dan pada masa sama bersedia menghadapi kemungkinan kos tenaga global yang lebih tinggi.
Galakan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan angin menjadi penyelesaian jangka panjang yang mampan.
Akhir sekali, nasihat kepada pengguna ialah memanfaatkan penjimatan melalui gaya hidup bijak tenaga. Jika setiap rumah mampu mengurangkan 10 peratus penggunaan elektrik, kesannya cukup besar , seolah-olah seluruh sebuah bandar kecil berjaya menurunkan bil elektrik serentak.
Inilah matlamat utama penstrukturan tarif elektrik apabila rakyat mendapat penjimatan, ekonomi lebih mampan dan negara berada di landasan betul untuk masa depan tenaga yang lebih lestari.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.