Mengenang Tun Daim: Ikon pembangunan sosial negara

KUALA LUMPUR, 15 November 2024 – Pemergian bekas Menteri Kewangan Keenam, Allahyarham Tun Daim Zainuddin merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan komuniti terutama dalam usaha memperjuangkan kesejahteraan sosial melalui Yayasan Haji Zainuddin (YHZ).

Legasi Allahyarham tidak hanya tercatat dalam bidang ekonomi dan politik, tetapi juga dalam dedikasinya membantu golongan terpinggir terutamanya dalam sektor pendidikan, alam sekitar dan kesihatan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Allahyarham percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah kunci untuk melahirkan generasi
yang berpengetahuan, menghargai kesihatan dan peka terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Melalui YHZ, beliau menyumbang kepada program pendidikan seperti kerjasama dengan Cikgu Mardziyah di Kampung Semeling, Kedah, untuk mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.

Persatuan Kebajikan Suara Kanak-kanak Malaysia (SUKA) yang berperanan melindungi dan mendidik kanak-kanak Malaysia juga mendapat sokongan YHZ, termasuk penerbitan buku cerita dalam tiga bahasa Orang Asli.

Selain itu, melalui Yayasan Dignity for Children, pelajar kurang berkemampuan diberikan tajaan penuh setiap tahun.

Allahyarham turut prihatin dan menyumbang kepada akses kesihatan yang lebih baik untuk golongan
kurang bernasib baik.

Melalui YHZ, Allahyarham menyokong Pertubuhan Kebajikan HOSPIS Malaysia dalam memastikan setiap pesakit terminal mempunyai akses kepada perkhidmatan penjagaan paliatif yang dapat meningkatkan kualiti hidup melalui rawatan perubatan, psikologi, dan emosi yang sesuai.

Sokongan turut diberikan kepada Pertubuhan Kebajikan Hope Worldwide Malaysia dalam menyediakan rawatan perubatan yang diperlukan dan memastikan jaminan makanan untuk kanak-kanak.

Sebagai pencinta alam sekitar, Allahyarham melalui YHZ menyokong Organisasi SE Asia Rainforest
Research Partnership (SEARRP) dalam membangunkan modul pendidikan alam sekitar (EE),
menyediakan latihan untuk pendidik tempatan serta menghasilkan kit pendidikan yang merangkumi
kelestarian pertanian, kualiti air dan pemeliharaan biodiversiti.

Turut mendapat sokongan adalah ‘Projek Penyelidikan Lumba-Lumba Matang’ oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan MareCet yang memulihara habitat spesies lumba-lumba di Matang, Perak, Pertubuhan Bukan Kerajaan Save Our Seahorses (SOS) yang komited menyelamatkan kuda laut dan Estuari Sungai Pulai di Johor dan Pertubuhan Pemuliharaan Biodiversiti Sabah (Seratu Aatai) yang menjalankan penyelidikan mengenai gajah Borneo di Sabah.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen Allahyarham dalam memperkasakan penyelidikan alam sekitar dan pemuliharaan ekosistem demi generasi akan datang.

Usaha Allahyarham melalui YHZ telah menjadi inspirasi kepada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk turut menyumbang kepada pembangunan sosial di negara ini.

YHZ berbangga menjadi platfom bagi meneruskan legasi kebajikan Allahyarham demi kesejahteraan
generasi akan datang. Semangat, dedikasi, dan impian Allahyarham akan terus menjadi panduan
kepada yayasan ini.