Aidilfitri di media sosial, silaturahimnya di mana?
Rakan yang suatu ketika dahulu sering kita hubungi kini hanya tinggal sebagai kenalan di media sosial.

SEDAR tak sedar, sudah hampir sebulan kita berpuasa. Bagi umat Islam, pelbagai persiapan telah disediakan untuk menyambut Aidilfitri dari pakaian, makanan, hinggalah duit raya.
Menjelang Aidilfitri ini, media sosial kembali meriah dengan pelbagai perkongsian tentang persiapan raya. Gambar kuih raya, pakaian baharu, dekorasi rumah serta video perjalanan pulang ke kampung memenuhi ruang di skrin telefon kita.
Ucapan “Selamat Hari Raya” juga kini lebih banyak dihantar melalui media sosial berbanding kad raya seperti dahulu. Media sosial seolah-olah menjadi ruang untuk kita berkongsi kegembiraan menyambut Aidilfitri bersama rakan-rakan dan keluarga.
Melalui satu perkongsian sahaja, kita dapat melihat perkembangan kehidupan orang lain dan merasai suasana perayaan walaupun berada jauh.
Namun di sebalik kemeriahan itu, ada satu perkara yang mungkin jarang kita fikirkan. Walaupun kita melihat kehidupan rakan-rakan di media sosial, tidak semestinya kita masih benar-benar berhubung dengan mereka. Kesibukan kerja dan rutin harian sering membuatkan hubungan dengan rakan lama semakin jarang disambung.
Pada mulanya, kita mungkin hanya menangguhkan niat untuk menghubungi mereka. Kita berkata kepada diri sendiri, “Tak apa, nanti esok saya mesej.” Atau mungkin, “Minggu depan saya hubungi dia.” Tanpa sedar, masa terus berlalu. Hari berganti minggu dan minggu bertukar menjadi bulan.
Niat untuk bertanya khabar akhirnya semakin jauh daripada ingatan. Rakan yang suatu ketika dahulu sering kita hubungi kini hanya tinggal sebagai kenalan di media sosial. Ada juga nombor telefon yang sudah lama tiada dalam senarai kenalan.
Mungkin mereka telah bertukar nombor atau kita sendiri sudah kehilangan maklumat untuk menghubungi mereka. Yang tinggal hanyalah akaun media sosial yang kadangkala menjadi satu-satunya jejak hubungan yang masih ada,.
Namun, apabila terlalu lama tidak berhubung, timbul pula rasa segan dan malu untuk memulakan semula perbualan. Kita tertanya-tanya sama ada mereka masih mengingati kita atau tidak. Ada juga yang bimbang mesej yang dihantar nanti akan kelihatan janggal kerana sudah terlalu lama tidak bertegur sapa.
Hakikatnya, keadaan ini dialami oleh ramai orang. Hubungan yang pernah rapat suatu ketika dahulu boleh menjadi renggang hanya kerana masa dan kesibukan.
Aidilfitri sebenarnya memberi peluang yang sangat bermakna untuk memulakan semula hubungan tersebut. Dalam budaya masyarakat kita, hari raya bukan sekadar tentang juadah, pakaian baharu atau kunjung-mengunjung. Ia juga adalah masa untuk memohon maaf, memperbaiki hubungan dan mengeratkan kembali silaturahim.
Kadang-kadang, langkah pertama itu sebenarnya sangat mudah. Ia boleh bermula dengan satu mesej ringkas: “Assalamualaikum, Selamat Hari Raya. Apa khabar sekarang?” Mesej yang ringkas itu mungkin cukup untuk membuka kembali perbualan yang sudah lama terhenti.
Media sosial juga boleh menjadi jambatan untuk menyambung semula hubungan yang pernah terputus. Jika nombor telefon sudah tiada, mungkin kita masih boleh mencari rakan lama melalui Facebook, TikTok atau platform digital lain.
Walaupun ada yang beranggapan media sosial bukanlah ruang yang sesuai untuk berkomunikasi secara peribadi dengan rakan-rakan lama, hakikatnya platform ini boleh menjadi langkah awal yang sangat baik untuk memulakan semula hubungan.
Satu mesej ringkas atau ucapan bertanya khabar mungkin cukup untuk membuka kembali pintu silaturahim yang sudah lama terhenti. Teknologi yang sering dianggap menjauhkan manusia sebenarnya juga boleh digunakan untuk mendekatkan kembali hubungan, asalkan kita tahu bagaimana memanfaatkannya dengan baik.
Lebih bermakna sekiranya hubungan itu tidak hanya terhenti di alam maya. Jika berpeluang, menziarahi rakan lama ketika hari raya boleh menjadi pengalaman yang sangat berharga. Kadang-kadang kunjungan yang sederhana mampu menghidupkan kembali kenangan lama dan mengeratkan semula persahabatan yang pernah terjalin.
Aidilfitri tahun ini adalah masa yang sesuai untuk kita berhenti seketika dan mengingati kembali rakan-rakan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup kita dari sekolah, universiti atau kerja.
Kita tidak perlu lagi menunggu masa yang “sempurna” untuk memulakan semula hubungan. Kadang-kadang satu ucapan “Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin” sudah cukup untuk membuka kembali pintu silaturahim yang pernah tertutup. Aidilfitri bukan sekadar tentang berkongsi gambar di media sosial, tetapi tentang menghidupkan kembali hubungan yang pernah memberi warna dalam kehidupan kita.
Jadi, sempena Aidilfitri ini, jom la kita mulakan langkah kecil ini, hubungi rakan-rakan lama dengan menghantar pesanan atau ucapan di sosial media mereka untuk mengeratkan kembali silaturahim yang mungkin pernah renggang. Kadangkala satu mesej ringkas mampu membawa kembali sebuah persahabatan.

