Membudaya sokongan inklusif mahasiswa OKU dengan sistem “buddy”
Dalam konteks ini, pelaksanaan sistem buddy sering diketengahkan sebagai mekanisme sokongan rakan sebaya.

HAMPIR semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia telah mempunyai polisi kampus inklusif bagi mahasiswa OKU.
Perkara ini adalah selaras dengan cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE), Akta Orang Kurang Upaya 2008 serta Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kurang Upaya (UNCRPD), di samping dasar pendidikan inklusif kebangsaan seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 dan Dasar Sifar Penolakan (Zero Reject Policy).
Namun dari segi keberkesanan pelaksanaan polisi inklusif ini, masih banyak ruang yang perlu diteliti termasuklah pelaksanaan sistem buddy. Dalam konteks ini, pelaksanaan sistem buddy sering diketengahkan sebagai mekanisme sokongan rakan sebaya.
Di samping keperluan fizikal contohnya kemudahan asrama, lif dan tandas mesra OKU, sistem buddy juga sangatlah penting agar mahasiswa OKU benar-benar diintegrasikan dalam kehidupan sosial kampus.
Apabila sokongan sosial ini dapat dilaksanakan dengan baik, ia dapat membantu mahasiswa OKU dari segi emosi dan fizikal terutamanya dalam meningkatkan kesejahteraan, kebolehcapaian dan penyertaan aktif dalam kehidupan kampus bersama-sama dengan warga kampus yang lain.
Namun begitu, keperluan sistem buddy perlu diteliti dan tidak sepatutnya terpakai secara sama rata kepada mahasiswa OKU, malah ia sepatutnya dilaksanakan mengikut jenis ketidakupayaan. Sistem buddy ini amat penting bagi OKU yang kelihatan (visible disability) contohnya OKU fizikal dan penglihatan di mana cabaran kepada mereka bersifat nyata dan dapat dilihat.
Pergerakan dalam bangunan fakulti yang kompleks juga boleh menimbulkan cabaran kepada mereka. Sebagai contoh, kelas atau makmal yang terletak di blok berbeza, perubahan jadual kelas pada saat akhir serta keperluan bagi mahasiswa OKU Muslim untuk bergerak ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat boleh menjadi tekanan harian kepada mereka.
Dalam situasi ini, sistem buddy bukan sekadar simbolik tetapi praktikal dan signifikan. Rakan buddy boleh membantu dari segi orientasi kampus, pergerakan antara kelas, malah menjadi penghubung komunikasi antara pensyarah dan pelajar.
Kehadiran buddy juga membantu mempercepat proses penyesuaian diri pada minggu-minggu awal pengajian, sekali gus mengurangkan risiko pengasingan sosial. Tanpa sokongan ini, mahasiswa mungkin berasa terpinggir bukan disebabkan kekurangan kemampuan akademik tetapi kerana halangan persekitaran dan sosial.
Oleh itu, bagi kategori OKU yang jelas dari segi fizikal, pelaksanaan sistem buddy secara formal dan berstruktur boleh dianggap sebagai satu keperluan asas, bukan pilihan.
Bagi kategori OKU yang tidak kelihatan (invisible disability) pula, contohnya OKU pembelajaran yang terdiri daripada mahasiswa yang mempunyai disleksia, ADHD dan autisme tahap ringan, mereka sering berdepan cabaran yang tidak dapat dilihat secara zahir.
Mereka mungkin kelihatan “normal” pada pandangan umum tetapi bergelut dengan fokus, pengurusan masa atau interaksi sosial. Dalam situasi sebegini, pelaksanaan sistem buddy secara automatik atau wajib mungkin tidak sesuai.
Pendekatan fleksibel adalah lebih sesuai bagi menyokong integrasi sosial kepada kategori OKU ini. Sokongan bagi kategori ini mungkin lebih sesuai dalam bentuk bimbingan akademik khusus bagi membantu masalah fokus dalam pembelajaran dan sesi kaunseling atau sistem sokongan atas permintaan (on-demand support).
Dalam konteks ini, sistem buddy boleh ditawarkan sebagai pilihan, bukan kewajipan. Justeru, universiti perlu memahami bahawa keperluan integrasi sosial tidak semestinya sama bagi setiap individu.
Walaupun pelaksanaan sistem buddy ini mempunyai banyak manfaat, perkara yang paling penting adalah pelaksanaannya perlu dirancang secara berhati-hati agar tidak mewujudkan budaya kebergantungan. Buddy sepatutnya berfungsi sebagai penyokong dan pemudah cara, bukan sebagai penjaga tetap, supaya mahasiswa OKU dapat membina autonomi, keyakinan diri dan keupayaan berdikari dalam kehidupan kampus.
Perkara ini selaras dengan matlamat utama pendidikan tinggi negara iaitu pembangunan modal insan berkualiti iaitu graduan yang kompeten, berdaya saing, beretika dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi. Jika buddy dilihat sebagai penjaga tetap, ia mungkin menjejaskan perkembangan kendiri mahasiswa OKU.
Selain itu, perkara yang paling penting juga adalah tahap kesedaran dan sensitiviti semua warga kampus termasuk pelajar, staf pentadbiran dan staf akademik.
Apabila kesedaran dan sensitiviti terhadap kepelbagaian keupayaan dipupuk secara berterusan, ia berpotensi berkembang menjadi budaya inklusiviti dalam kalangan warga kampus.
Dalam persekitaran sedemikian, semua individu menjadi lebih peka dan menerima kepelbagaian sebagai sesuatu yang normal. Inklusiviti sebenar terhasil apabila seluruh komuniti kampus memahami kepelbagaian keupayaan, bukan sekadar menyerahkan tanggungjawab kepada individu tertentu.
Apa yang lebih utama ialah komitmen institusi untuk membina budaya kampus yang benar-benar inklusif yang bukan sekadar mematuhi dasar tetapi memahami realiti kehidupan mahasiswa OKU.
Sistem buddy wajar dilihat sebagai salah satu mekanisme ke arah integrasi sosial, namun keberkesanannya bergantung kepada sensitiviti pelaksanaan dalam budaya kampus yang inklusif.

