Penentuan 1 Syawal sebuah warisan ibadah
Melalui rukyah, masyarakat Islam diajak untuk memerhati peredaran bulan dan memahami perubahan fasa bulan yang menjadi asas kepada kalendar Hijri.

MENJELANG penghujung Ramadan setiap tahun, perbincangan mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri sering menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat.
Di media sosial, pelbagai “ramalan” mula tersebar lebih awal, ada yang menjangkakan hari raya jatuh pada hari Jumaat, manakala sebahagian lagi berpegang ia berlaku pada hari Sabtu.
Fenomena ini menunjukkan bahawa sebahagian masyarakat kini bergantung kepada data dan pengiraan astronomi bagi membuat jangkaan awal tentang kemungkinan tarikh hari raya.
Dalam tradisi Islam, penentuan awal bulan Hijri, termasuk Ramadan dan Syawal, mempunyai asas yang jelas dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Baginda bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah kamu kerana melihatnya. Jika ia terlindung daripada kamu, maka cukupkan bilangan bulan itu tiga puluh hari”.
Hadis ini menunjukkan bahawa kaedah asas yang ditetapkan ialah rukyah iaitu melihat anak bulan secara langsung atau istikmal, iaitu mencukupkan bilangan hari bulan kepada 30 jika anak bulan tidak kelihatan.
Kaedah ini bukan sekadar prosedur teknikal tetapi merupakan satu tradisi ibadah yang menghubungkan manusia dengan fenomena alam ciptaan Tuhan. Melalui rukyah, masyarakat Islam diajak untuk memerhati peredaran bulan dan memahami perubahan fasa bulan yang menjadi asas kepada kalendar Hijri.
Dalam perkembangan ilmu falak Islam, kaedah pengiraan astronomi atau hisab turut berkembang pesat. Dengan teknologi moden dan data astronomi yang sangat tepat, ahli falak hari ini mampu meramalkan kedudukan bulan dengan ketepatan yang tinggi.
Melalui hisab, kita boleh mengetahui waktu ijtimak, ketinggian bulan, jarak lengkung bulan-matahari serta pelbagai parameter astronomi lain yang berkaitan dengan kenampakan anak bulan.
Walau bagaimanapun, penting untuk difahami bahawa dalam banyak negara Islam, termasuk Malaysia, hisab tidak digunakan untuk menggantikan rukyah sepenuhnya.
Sebaliknya, ia berfungsi sebagai alat sokongan bagi membantu proses cerapan. Data hisab digunakan untuk menentukan lokasi cerapan yang sesuai serta menilai kemungkinan kenampakan anak bulan berdasarkan kriteria tertentu, seperti kriteria imkanur rukyah.
Di Malaysia, penentuan awal bulan Islam dilaksanakan melalui gabungan kaedah rukyah dan hisab. Pada petang 29 haribulan setiap bulan Hijri, cerapan anak bulan dilakukan di beberapa lokasi rasmi di seluruh negara. Jika anak bulan berjaya dilihat dan memenuhi syarat yang ditetapkan, maka awal bulan baharu akan diumumkan. Jika tidak, bulan tersebut akan digenapkan kepada 30 hari.
Keadaan ini menjelaskan mengapa jangkaan awal di media sosial tidak semestinya tepat. Walaupun data astronomi boleh memberikan gambaran kemungkinan kenampakan bulan, keputusan rasmi tetap bergantung kepada hasil cerapan serta pengisytiharan pihak berkuasa agama.
Fenomena andaian tarikh raya yang terlalu awal sebenarnya boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Ada yang sudah membuat kesimpulan tentang tarikh hari raya beberapa minggu lebih awal, sedangkan secara prinsipnya penentuan tersebut hanya dimuktamadkan selepas cerapan anak bulan dilakukan.
Dalam konteks ini, masyarakat perlu memahami bahawa ilmu astronomi sememangnya penting dalam membantu proses penentuan awal bulan Islam. Namun ia tidak seharusnya menggantikan prinsip asas yang telah ditetapkan dalam syariat. Hisab berperanan sebagai panduan saintifik manakala rukyah kekal sebagai kaedah utama yang mengekalkan tradisi syarak.
Tradisi melihat anak bulan juga mempunyai nilai simbolik yang besar dalam peradaban Islam. Sejak berabad-abad lamanya, umat Islam di pelbagai wilayah berkumpul di lokasi cerapan untuk memerhati kelahiran bulan baharu yang menandakan permulaan ibadah atau perayaan. Aktiviti ini bukan sahaja berkait dengan penentuan tarikh tetapi juga mencerminkan hubungan antara ilmu falak, ibadah dan alam semesta.
Oleh itu, dalam menghadapi pelbagai spekulasi tentang tarikh hari raya, pendekatan terbaik adalah kembali kepada prinsip asal yang telah digariskan oleh syarak. Pengiraan awal astronomi boleh dijadikan rujukan awal, tetapi keputusan muktamad tetap bergantung kepada proses cerapan anak bulan dan pengumuman rasmi pihak berkuasa agama.
Dengan memahami perkara ini, masyarakat dapat mengelakkan kekeliruan serta menghargai hikmah di sebalik kaedah penentuan awal bulan dalam Islam. Pada akhirnya, penentuan hari raya bukan sekadar soal pengiraan semata-mata, tetapi sebahagian daripada tradisi ibadah yang diwarisi sejak zaman Rasulullah SAW.

