1,020 murid berisiko kemurungan di Selangor
NGO Desak Penambahbaikan Menyeluruh Sistem Sokongan Psikososial Sekolah.

PETALING JAYA, 16 Julai 2025 – Seramai 1,020 murid sekolah menengah di Selangor dikenal pasti berisiko tinggi mengalami kemurungan, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius berhubung keperluan memperkukuh sistem sokongan psikososial di sekolah secara menyeluruh.
Presiden NGO Empati, Syahida Zulkarnain berkata, angka tersebut sebagaimana didedahkan oleh Exco Kesihatan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin baru-baru ini, mencerminkan keperluan mendesak untuk kerajaan dan pihak berkepentingan melaksanakan pembaharuan dasar yang lebih holistik dan sistematik.
“Jumlah ini hanyalah permukaan gunung ais, di bawahnya mungkin terdapat ribuan lagi murid yang sedang bergelut secara senyap. Jika tiada tindakan segera diambil, kita mungkin kehilangan mereka, sama ada dari segi emosi, akademik atau lebih tragik, nyawa mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Peranan Kaunselor Sekolah Perlu Diperkasa
Menurut NGO berkenaan, antara punca utama kepada situasi ini adalah bebanan tugas yang dihadapi kaunselor sekolah, termasuk tugasan pentadbiran yang menjejaskan keupayaan mereka memberi sokongan psikososial secara berkesan.
Dengan nisbah kaunselor kepada murid yang dianggarkan mencecah 1:500, ketiadaan latihan berterusan serta kekurangan fasiliti sokongan yang sesuai, peranan kaunselor dikhuatiri semakin terpinggir dan kurang berkesan dalam menangani isu kesihatan mental pelajar.
Cadangan Reformasi Dasar
Bagi mengatasi perkara ini, NGO Empati mencadangkan beberapa langkah jangka panjang, termasuk:
1, Penyediaan garis panduan etika dan fungsi kaunselor serta Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang lebih jelas dan berautoriti.
2. Latihan berkala untuk kaunselor meliputi modul seperti Psychological First Aid, pendekatan trauma, dan komunikasi berasaskan empati.
3. Pemerkasaan PRS secara nasional agar pelajar tahu bahawa mereka tidak bersendirian.
4. Penyediaan ruang kaunseling yang selamat dan bebas stigma di setiap sekolah.
5. Kempen kesedaran kesihatan mental yang berterusan bagi menghapuskan persepsi negatif dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
Kesihatan Mental Sebagai Asas Pendidikan
Syahida turut menegaskan bahawa kesihatan mental perlu diangkat sebagai keperluan asas dalam sistem pendidikan negara, bukan lagi isu pinggiran.
“Sudah tiba masanya kita hentikan naratif ‘murid lemah tidak tahan tekanan’ dan mula membina struktur sokongan yang lebih berperikemanusiaan. Kaunselor bukan pilihan, mereka adalah tulang belakang kesejahteraan pelajar,” katanya.
Ditubuhkan pada 2022 dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Adam Adli, NGO Empati kini dianggotai lebih 600 sukarelawan termasuk individu yang pernah mengalami isu kesihatan mental.
Organisasi itu aktif di peringkat akar umbi, termasuk dalam program intervensi awal bersama remaja berisiko, pelajar juvana dan komuniti sekolah di seluruh negara.