Inisiatif penandaarasan staf makmal merintis pendidikan lebih menyeluruh

Dalam landskap pendidikan yang sentiasa berubah dan menuntut kecekapan pelbagai penjuru, penandaarasan bukanlah suatu usaha mencari perbezaan tetapi medan memperhalusi kekuatan dan meneliti potensi penambahbaikan.

Feature Image (3)

PENANDAARASAN antara institusi pendidikan merupakan suatu amalan penting dalam menjamin mutu pendidikan yang terbaik dan berdaya saing. Meskipun sesebuah institusi itu berada di kedudukan tertinggi sekalipun, tetap ada ruang untuk diperbaiki dan peluang untuk belajar daripada institusi lain.

Malah, dalam landskap pendidikan yang sentiasa berubah dan menuntut kecekapan pelbagai penjuru, penandaarasan bukanlah suatu usaha mencari perbezaan tetapi medan memperhalusi kekuatan dan meneliti potensi penambahbaikan.

Namun begitu, lazimnya penandaarasan digerakkan oleh pentadbir dan sebilangan wakil akademik. Sebaliknya bagi golongan pelaksana teknikal khususnya staf makmal, kebiasaannya mereka dikehendaki menghadiri kursus atau bengkel untuk peningkatan kemahiran diri. Mereka jarang dilibatkan dalam lawatan penandaarasan sedangkan mereka merupakan antara individu penting yang menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran secara langsung di lapangan.

Dalam konteks pendidikan sains khususnya, kejituan, keselamatan dan keberkesanan aktiviti makmal tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan kemahiran tinggi daripada staf-staf ini. Maka peluang untuk mereka turut terlibat dalam penandaarasan sewajarnya dilihat sebagai pelaburan kepada kualiti sistem secara menyeluruh, bukan sekadar pengiktirafan bersifat simbolik.

Pada 27 Julai 2025 yang lalu, saya bersama seorang lagi rakan pensyarah diberi kepercayaan untuk mengiringi delegasi 12 orang staf makmal dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) ke Pusat Asasi STEM, Universiti Malaysia Terengganu (PASTEM, UMT).

Delegasi ini terdiri daripada tiga orang Penolong Pegawai Sains dan sembilan orang Pembantu Makmal merentas bidang Fizik, Kimia dan Biologi. Lawatan penandaarasan ini membuka ruang untuk melihat sendiri amalan makmal di institusi lain. Misalnya, staf makmal Biologi begitu teruja untuk mengetahui bagaimana pengawetan sampel dilakukan oleh staf makmal UMT bagi memastikan ketahanan dan kebolehgunaan jangka panjang sampel.

Bukan sahaja lawatan tersebut bermanfaat kepada staf makmal, bahkan saya selaku pengiring juga terinspirasi untuk turut mencadangkan agar PASUM melaksanakan ujian bertulis tentang peraturan dan keselamatan makmal kepada pelajar dan mewajibkan mereka untuk lulus ujian sebelum dibenarkan untuk menjalankan eksperimen di dalam makmal seperti yang dilaksanakan di PASTEM.

Meskipun ujian ini tidak termasuk dalam mana-mana markah penilaian berterusan, namun ia sangat penting bagi memastikan pelajar benar-benar faham dan bersedia untuk memasuki makmal. Ia jauh lebih efektif berbanding pelajar sekadar mengisi borang pengakuan dan menurunkan tandatangan setelah membaca semua peraturan yang ditulis kerana tiada indikator yang mengesahkan bahawa pelajar betul-betul baca dan memahami peraturan yang disenaraikan.

Sudah tentu lawatan seperti ini membawa pelbagai lagi dapatan yang menarik dan membina, namun tidak semuanya perlu diperincikan. Yang lebih penting adalah kesedaran bahawa penandaarasan dalam kalangan staf makmal juga tidak kurang pentingnya berbanding penandaarasan oleh pihak pentadbir dan staf akademik.

Staf makmal yang menjadi tulang belakang aktiviti amali wajar diberi pendedahan kepada cara kerja dan inovasi institusi lain. Malah, mereka paling arif tentang selok-belok operasi harian makmal dan sering berhadapan secara langsung dengan kekangan daripada segi peralatan, ruang dan masa. Justeru, suara mereka dalam menentukan penambahbaikan adalah suara yang sah dan signifikan.

Penandaarasan dalam kalangan staf makmal bukan sahaja dapat membuka horizon baharu dari sudut teknikal dan pengurusan aset makmal, malah dapat memupuk budaya kerja yang lebih sistematik, selamat dan efisien. Ketelitian mereka dalam menguruskan stok bahan kimia, menjaga sampel biologi dan menyelenggara peralatan bukanlah semata-mata rutin berulang, sebaliknya berpotensi menjadi ruang inovasi dan penambahbaikan.

Justeru, apabila mereka dibekalkan dengan pendedahan baharu, ia memberi kesan langsung kepada kualiti pembelajaran pelajar dan kelancaran keseluruhan operasi makmal.

Lebih daripada itu, inisiatif seperti ini membuka ruang kerjasama antara institusi, bukan sahaja melalui jaringan pentadbiran dan akademik tetapi juga melalui rangkaian sokongan teknikal yang mantap. Apabila staf makmal dari dua institusi dapat berkomunikasi secara profesional, berkongsi cabaran serta penyelesaian, maka wujudlah sinergi yang sukar dicapai melalui teori semata-mata. Mereka boleh saling merujuk dalam situasi genting, berkongsi idea penyusunan makmal atau sistem penyimpanan bahan, dan membina komuniti amalan yang lebih hidup.

Penandaarasan seumpama ini wajar diteruskan dan diperluas. Tidak perlu menunggu sehingga terdapat isu besar untuk mencari solusi luar. Sebaliknya, dengan semangat penambahbaikan berterusan, institusi pendidikan boleh menjadikan penandaarasan sebagai budaya kerja yang bernafas secara semula jadi, bukan aktiviti bermusim yang menunggu giliran atau jemputan. Lebih kerap ia dilakukan, lebih besar impaknya terhadap sistem yang kita bina bersama.

Pendidikan tidak pernah cukup hanya dengan idea, dasar dan strategi di atas kertas. Ia menuntut sentuhan daripada pelbagai tangan yang bekerja dengan penuh integriti, termasuklah mereka yang saban hari berada di makmal, mencuci radas, menimbang bahan kimia, dan mengurus risiko keselamatan.

Maka, apabila mereka diberi ruang untuk belajar dan menilai, kita bukan sekadar membina staf teknikal yang mahir, tetapi turut menyemai ekosistem pendidikan yang inklusif, holistik, berdaya tahan dan mampan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.