Merdekakan jiwa melalui merdeka kewangan

Sambutan ini bukan sahaja memperingati detik bersejarah negara yang merdeka daripada penjajahan tetapi menjadi lambang kebebasan, kedaulatan dan jati diri bangsa.

Feature Image (3)

SABAN tahun, tanggal 31 Ogos, seluruh rakyat Malaysia tentunya menantikan sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, persediaan dan persiapan telah dirancang lebih awal dengan pelbagai aktiviti agar sambutan di setiap tempat lebih meriah dengan disertai oleh seluruh lapisan generasi.

Sambutan ini bukan sahaja memperingati detik bersejarah negara yang merdeka daripada penjajahan tetapi menjadi lambang kebebasan, kedaulatan dan jati diri bangsa.

Namun, dalam menghayati erti kemerdekaan ini, perlu juga difikikan tentang kemerdekaan ekonomi individu yang mencorakkan hidup sejahtera tanpa tekanan kewangan.

Dalam kerangka Malaysia Madani, yang berteraskan nilai-nilai keinsanan, kemampanan dan kesejahteraan sejagat, konsep merdeka kewangan menjadi teras sebagai satu bentuk kemerdekaan peribadi yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

Dalam erti kata lain, kemerdekaan kewangan adalah asas kepada pencapaian kesejahteraan yang inklusif dan mampan.

Merdeka kewangan atau kebebasan kewangan merujuk kepada keadaan di mana seseorang individu mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan asas hidup, membuat pilihan kewangan secara bebas serta memiliki keperluan lain yang mencukupi untuk masa depan tanpa bergantung dengan pihak lain.

Individu yang mencapai merdeka kewangan dapat membuat keputusan secara lebih rasional, efisiyen dan mutlak, sama ada berkaitan kerjaya, keluarga, pendidikan anak-anak atau persaraan, tanpa disekat oleh rasa takut terhadap kekangan kewangan.

Jika dahulu nenek moyang kita berjuang menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah, hari ini generasi moden berhadapan dengan perjuangan membebaskan diri daripada ‘penjajahan’ kewangan seperti beban hutang, jumlah pendapatan yang kecil, kos sara hidup yang tinggi, peluang peningkatan kerjaya serta ketidaktentuan ekonomi.

Ramai tidak menyedari bahawa banyak masalah dalam kehidupan seperti tekanan rumah tangga, keruntuhan moral, konflik sosial serta jenayah kecil adalah berpunca daripada ketidakstabilan kewangan dalam keluarga dan masyarakat.

Apabila sering dibelenggu dengan kekurangan duit, mengakibatkan fokus hidup terganggu dan akhirnya menjejaskan hubungan sesama insan.

Sebaliknya, apabila seseorang merdeka dari segi kewangan, mereka lebih tenang dalam membuat keputusan, lebih sabar dalam menghadapi cabaran dan lebih mudah membantu orang lain. Mereka juga tak lokek menyumbang kepada masyarakat, sama ada dari segi masa, tenaga mahu pun harta.

Golongan yang bebas daripada tekanan kewangan akan jadi lebih fokus, bermotivasi dan produktif dalam kerjayanya. Akibat daripada tekanan hidup yang semakin berkurang, mereka lebih sihat secara mental dan fizikal, serta mampu bekerja dengan lebih cekap dan amanah.

Hasilnya, lebih ramai individu mampu mencapai kestabilan kewangan menyebabkan permintaan terhadap bantuan kebajikan, subsidi atau program pemulihan sosial akan menjadi semakin berkurang. Mereka ini mampu untuk merancang, menyimpan, melabur dan berbelanja secara bijak.

Tindakan ini secara tidak langsung akan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan aktiviti perniagaan, sumber pelaburan, dan permintaan terhadap produk serta perkhidmatan tempatan.

Sebenarnya, pendidikan awal yang bermula dari rumah melalui peranan dan tanggungjawab ibubapa merupakan asas kepada hasil yang baik.

Apabila keadaan sesebuah keluarga itu stabil dari segi kewangan, mereka mampu menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak-anak, yang seterusnya membentuk generasi berilmu dan berdaya saing.

Namun, masih ramai rakyat Malaysia hari ini masih belum mencapai merdeka kewangan. Banyak kajian menunjukkan sebahagian besar rakyat tidak mempunyai simpanan yang mencukupi, hidup pula ibarat kais pagi makan pagi serta terperangkap dalam hutang jahat seperti pinjaman peribadi dan kad kredit.

Faktor seperti kenaikan kos sara hidup, ketidakstabilan pasaran kerja dan kurangnya literasi kewangan menjadi antara punca utama rakyat gagal membebaskan diri daripada belenggu kewangan.

Akibatnya, ia menimbulkan tekanan terhadap emosi dan psikologi individu, seterusnya menjejaskan produktiviti dan struktur sosial masyarakat.

Sebuah negara yang benar-benar merdeka adalah negara yang rakyatnya hidup dalam kesejahteraan, termasuklah kesejahteraan kewangan.

Apabila mereka stabil dari segi kewangan, pastinya produktiviti turut meningkat, kegiatan jenayah berkurangan, dan pembangunan negara akan lebih mampan.

Kemerdekaan tidak seharusnya difahami dalam konteks sejarah semata-mata. Ia perlu diluaskan kepada realiti kehidupan hari ini agar kemerdekaan menjadi kunci kepada kehidupan bukan materialistik.

Bebas dan merdeka daripada bebanan kewangan adalah langkah tepat dalam mengejar impian, memenuhi keinginan dan memberi sumbangan bermakna kepada negara.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 ini, marilah kita bukan sahaja mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta dan kasih kepada tanahair tetapi juga mula melakar langkah-langkah kecil ke arah kemerdekaan kewangan yang lebih bermakna.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.